Muhammad Saufi Hassan


JENAMA perkakas permainan terkemuka, MSI memperkenalkan sistem penyejuk semua dalam satu atau 'AIO' daripada siri MSI MAG CoreLiquid K240 khusus untuk pengguna yang minimalis.

Siri sama juga dikeluarkan untuk saiz radiator 360 milimter yang dilengkapi dengan tiga kipas, manakala untuk K240 ia didatangkan dengan dua kipas saja.

Kedua-dua variasi berkenaan menawarkan kuasa penyejukan yang sama dan membezakan adalah saiz radiator saja.

Walaupun secara praktikalnya, saiz radiator berkenaan mempengaruhi keupayaan penyejukan, namun kedua-dua variasi ini menawarkan prestasi yang hampir sama.

MSI MAG CoreLiquid K240 ini sangat sesuai untuk jenis kerangka 'Mid Tower' yang tidak dilengkapi dengan banyak ruang besar dan saiz radiator 240mm cukup untuk melakukan kuasa penyejukkan optimim untuk setiap keadaan.

Sistem penyejuk ini menggunakan teknologi penyejukan kipas MSI TorX Fan 4.0 bersama-sama dengan pam penyejuk generasi ketujuh Asetek.

Ia juga dilengkapi dengan skrin LCD 2.4 inci pada permukaan pam penyejuk sekali gus menambahkan nilai kosmetik termasuk penyeragaman lampu ARGB.

Untuk penyejukan pemproses kapasiti penuh, ia mampu memberikan suku sekata sekitar 65 darjah celcius manakala untuk prestasi pegun pada 45 darjah celcius.

Bacaan itu adalah antara yang terbaik dan boleh diletakkan sebaris dengan penyejuk premium yang lain.

Teknologi kipas penyejuk yang diletakkan di bahagian pam itu juga bukan saja membantu menyejukkan pemproses sebaliknya memberi kesan langsung kepada pengudaraan untuk keseluruhan desktop.

Pengguna akan melihat penurunan suhu sekitar lima hingga 10 peratus tatkala kipas pam dihidupkan.

Skrin LCD pam itu juga boleh dijadikan penunjuk bacaan frekuensi, kadar suhu semasa dan kapasiti prestasi mengikut ketetapan pengguna.

Pengguna boleh memilih empat mod penyejukan iaitu seimbang, senyap, mod permainan, ubahsuai dan GI mod yang memberikan setiap satunya kelainan kelajuan kipas serta prestasi penyejukan.

Soket sokongan bagi AIO ini menyokong Intel LGA 1150 hingga LGA 2066 manakala untuk AMD adalah AM4 sehingga kepada sTRX4.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 10:05 PM