PLATFORM dengan suasana pembelajaran maya lebih interaktif serta tidak membosankan.
PLATFORM dengan suasana pembelajaran maya lebih interaktif serta tidak membosankan.
Muhammad Saufi Hassan


KAEDAH pembelajaran pada hari ini tidak hanya tertumpu secara konvensional iaitu berada dalam kelas sebaliknya kini wujud pelbagai kaedah yang boleh diambil untuk menimba ilmu.

Kemajuan teknologi masa kini sebenarnya banyak membuka peluang kepada segenap lapisan masyarakat untuk menambah ilmu pengetahuan mereka membabitkan pelbagai disiplin ilmu.

Bermula daripada pembelajaran 'playtime' sehingga kepada disiplin ilmu yang serius, semuanya boleh dimanfaatkan menerusi kemajuan teknologi masa kini terutama aplikasi yang berfaedah.

Medium aplikasi pintar tidak terkecuali apabila banyak pembangun sudah mula mengorak langkah untuk menggunakan platform itu sebagai salah satu bentuk pendidikan era baharu.

Dua pembangun aplikasi iaitu Plan-B dan MindValley menggunakan platform aplikasi untuk memberi pendidikan kepada semua lapisan pengguna dengan objektif melaksanakan integrasi pembelajaran bersama-sama aplikasi pintar.

Kedua-dua pembangun aplikasi pintar ini berusaha memberikan platform pendidikan yang berguna kepada masyarakat menerusi mekanisme tersendiri terutama menjadikan suasana pembelajaran maya itu lebih interaktif serta tidak membosankan.

Kedua-dua pembangun aplikasi ini menawarkan pengalaman penggunaan yang sangat baik di samping pengguna dapat mempelajari serta meningkatkan keupayaan kendiri.

Aplikasi pintar ini sewajarnya dimanfaatkan untuk semua lapisan masyarakat supaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dapat dimanfaatkan dan tidak hanya menghabiskan masa dengan bermain permainan mudah alih sahaja.

APLIKASI pintar menerusi platform pendidikan menjadi perhatian pengguna susulan norma baharu dalam pengajaran semasa.
APLIKASI pintar menerusi platform pendidikan menjadi perhatian pengguna susulan norma baharu dalam pengajaran semasa.

Bagi Pengarah Plan B, Ryan Tjandra berkata, cetusan idea untuk membina sebuah aplikasi yang membolehkan pengguna meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bertitik tolak menerusi pengalamannya sendiri.

"Saya sebenarnya bermula sebagai cikgu Bahasa Inggeris dan mula mengajar sejak 2012.

"Hasil daripada pengalaman itu, saya serta pasukan ini sentiasa mahukan aplikasi yang boleh memberi manfaat kepada semua pengguna terutama membabitkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama antarabangsa.

"Aplikasi ini menjadi rakan maya pengguna untuk mempelajari Bahasa Inggeris, sekali gus menjadi platform melatih diri pengguna untuk bercakap dan menggunakan bahasa berkenaan," katanya.

Beliau berkata, penghasilan aplikasi ini bermula dengan projek cabaran Akademi Pembangunan Apple (Apple Developer Academy) pada Mei dua tahun lalu dan hanya mempunyak masa empat minggu untuk menghasilkan aplikasi yang boleh berfungsi sepenuhnya.

PENGGUNA boleh menikmati manfaat terhadap aplikasi yang menampilkan segmen pendidikan.
PENGGUNA boleh menikmati manfaat terhadap aplikasi yang menampilkan segmen pendidikan.

"Dalam tempoh itu, kita perlu meletakkan konsep aplikasi pintar ini termasuk memikirkan beberapa perihal teknikal yang lain untuk membangunkan sebuah prototaip yang berfungsi.

"Terdapat beberapa fasa pembangunan aplikasi ini sejak tempoh berkenaan dan kini berada di pelancaran versi dua pada bulan ini.

"Secara keseluruhannya, daripada sebuah idea kepada aplikasi berfungsi, ia mengambil masa tiga bulan dan seperti yang kita tahu, pembangunan aplikasi ini tiada noktahnya," katanya.

Perjalanan untuk membangunkan aplikasi bukan sesuatu yang mudah dan bagi Mindvalley menyatakan bahawa penguasaan mengenai pengetahuan kemahiran teknikal adalah sangat penting.

Ketua Pegawai Pemasaran Mindvalley Marisha Lakhiani berkata, untuk tujuan itu, sesiapa saja yang berminat untuk membangunkan aplikasi perlu mahir dan mengetahui dokumentasi XCode kerana ia akan memudahkan proses seterusnya.

BARISAN pembangun aplikasi daripada Plan B menggunakan mekanisme pendidikan untuk manfaat semua lapisan masyarakat.
BARISAN pembangun aplikasi daripada Plan B menggunakan mekanisme pendidikan untuk manfaat semua lapisan masyarakat.

"Kami di Mindvalley juga mempunyai fokus yang sama untuk mewujudkan aplikasi yang memberi manfaat kepada semua golongan terutama menggunakan mekanisme pendidikan.

"Untuk itu, kemas kini aplikasi yang akan dibuat oleh Mindvalley adalah meningkatkan kemudahan pengguna dan ciri khusus untuk sosial media akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, ciri khusus lain yang akan dibangunkan adalah untuk membolehkan pengguna Mindvalley saling berhubung antara satu sama lain.

Ditanya berhubung maklum balas pengguna, Marisha berkata, aplikasi itu dominan di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan India.

PEMBANGUN aplikasi Mindvalley dan Plan B antara yang menggunakan medium aplikasi pendidikan serta mendapat maklum balas positif.
PEMBANGUN aplikasi Mindvalley dan Plan B antara yang menggunakan medium aplikasi pendidikan serta mendapat maklum balas positif.

"Rata-rata memberikan komen yang positif dan baik. Kita juga melihat bahawa pengguna di negara yang kurang membangun banyak memberi respons balas terhadap aplikasi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 6:10 AM