Muhammad Saufi Hassan


TAHAP kesihatan jantung sudah menjadi keutamaan buat rakyat hasil daripada pelbagai kempen kesedaran selain daripada penyakit itu menjadi faktor utama kadar kematian di negara ini.

Hasil daripada kemajuan teknologi masa kini, peranti boleh pakai pintar boleh memberikan 'petanda awal' buat pengguna terhadap masalah jantung menerusi kefungsian ECG sekali gus pengguna boleh mendapatkan pemeriksaan lanjut dengan doktor.

Baru-baru ini, kefungsian ECG bagi peranti Apple Watch sudah mendapat kelulusan untuk digunakan di negara ini sekali gus memberi kelebihan kepada pengguna yang sangat prihatin terhadap gaya hidup sihat.

Kefungsian ECG berkenan boleh digunakan untuk tiga generasi Apple Watch iaitu siri 4,5 dan 6 dengan sistem operasi iOS 14.6 serta watchOS 7.5 untuk membolehkan peranti merakam maklumat tentang kadar degupan jantung pengguna.

Peranti itu juga boleh memberi peringatan kepada pengguna tentang kadar degupan jantung tidak seragam yang dikenal pasti sebagai 'Atrial Fibrillation' (AFib).

Naib Presiden Bahagian Kesihatan Apple, Dr Sumbul Desai berkata, kefungsian itu akan memberi amaran awal kepada pengguna sebelum pengguna mendapatkan pemeriksaan lanjut dengan pakar kesihatan.

"Aplikasi ECG ini dapat memberi notifikasi awal kepada pengguna terhadap kadar degupan jantung tidak teratur dan ia juga sebagai langkah awal untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

"Kami juga yakin bahawa keupayaan fungsi ini dapat membantu pengguna daripada segi maklumat tambahan ketika mendapatkan rawatan dengan pakar kesihatan jika didapati peranti memberikan notifikasi kadar degupan jantung tidak seragam," katanya dalam temubual khas bersama #ITMetro, baru-baru ini.

Baru-baru ini, aplikasi ECG dan kefungsian notifikasi kadar irama degupan jantung tidak seragam itu bmendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sebagai Perisian Kelas B untuk peranti perubatan.

Pihak Apple memaklumkan bahawa kemampuan aplikasi ECG untuk mengklasifikasikan rakaman ECG dengan tepat sebagai irama AFib atau sinus disahkan dalam percubaan klinikal kira-kira 600 peserta, sementara ciri pemberitahuan irama tidak teratur dipelajari dalam Apple Heart Study dengan lebih daripada 400,000 peserta.

Aplikasi ini berfungsi bersama dengan elektrod yang dibina di kristal belakang dan pemutar jam pintar dikenali 'Digital Crown' pada Apple Watch Series 4, 5, dan 6 untuk membolehkan pengguna mengambil rakaman EKG.

Ini dilakukan dengan meminta pengguna memegang jari Digital Crown, yang melengkapkan litar dan kemudian mengukur isyarat elektrik di jantung mereka.

Selepas 30 saat, irama jantung dikelaskan dan disimpan dengan selamat di aplikasi kesihatan pada telefon pintar yang disambungkan dengan peranti pengguna.

Sementara itu, Pakar bedah kardiotorasik Institut Jantung Negara (IJN) Dr Mohamed Ezani Taib berkata, aplikasi itu akan memberi petunjuk awal kesihatan jantung kepada pengguna.

APLIKASI ECG dan notifikasi kadar irama degupan jantung tidak seragam baru-baru ini mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sebagai Perisian Kelas B untuk peranti perubatan.
APLIKASI ECG dan notifikasi kadar irama degupan jantung tidak seragam baru-baru ini mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sebagai Perisian Kelas B untuk peranti perubatan.

"Kes AFib menyumbang kira-kira satu pertiga daripada 200,000 kes kami setiap tahun di IJN, di mana 40 peratus tidak didiagnosis.

"Oleh itu, mempunyai sistem amaran awal akan sangat bermanfaat yang akan membolehkan penyedia perkhidmatan kesihatan mendiagnosis dan merawat masalah irama jantung dengan lebih awal dan berpotensi mengurangkan risiko komplikasi, seperti strok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 7:01 AM