Muhammad Saufi Hassan

 

 

Kuala Lumpur: Pemilihan bekalan kuasa untuk set desktop terutamanya bagi kelas permainan serta prestasi tinggi amat penting untuk membekalkan arus elektrik yang stabil kepada semua perkakas.

  Paling utama adalah bekalan kuasa yang diiktiraf mampu untuk mengelakkan desktop anda menjadi 'bom jangka' serta merosakkan perkakas yang lain.

  Untuk itu, jenama kelas permainan terkemuka MSI memperkenalkan bekalan kuasa daripada siri MPG dengan bekalan 750 watt daripada siri A750GF.

  Bekalan kuasa ini mendapat pengiktirafan kecekapan guna tenaga 80 Plus Gold di samping penggunakan rintangan berkualiti tinggi untuk mengelakkan sebarang ketidakstabilan arus ketika penggunaan.

  MPG A750GF ini mampu untuk menyokong semua siri kad grafik Nvidia RTX 2000 dan 3000 serta dilengkapi dengan tiga sambungan kabel VGA.

  Sesuai dengan kelas prestasi tingginya, bekalan kuasa ini menawarkan jaminan 10 tahun kepada pengguna.

  MSI juga bijak untuk menggunakan 100 peratus kapasitor buatan Jepun untuk MPG A750GF ini dan ia adalah kategori bekalan kuasa 'full modular'.

  Pengguna hari ini lebih cenderung untuk mendapatkan bekalan kuasa full modular kerana kemasan pemasangan kabel.

  Terminal sambungan untuk setiap kabel adalah menggunakan tembaga aloi yang mempunyai kelebihan lebih baik berbanding terminal sambungan gangsa.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 10:33 PM