Muhammad Saufi Hassan

 

Kuala Lumpur: Pengeluar cip pemproses terkemuka, Intel Malaysia mengumumkan inisiatif baharu untuk membantu pelajar universiti menikmati pengalaman aktiviti pembelajaran dengan pelancaran 'Sistem Awam untuk Universiti' (SC4U).

  Ia adalah hasil kerjasama antara Intel Malaysia bersama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Program Penyelidikan Kolaborasi Kejuruteraan, Sains, dan Teknologi (CREST).

  SC4U bermula daripada usaha Intel untuk memberikan capaian dan perkhidmatan, serta sokongan yang lebih baik kepada kumpulan pelanggan lebih besar.

  Intel meningkatkan pelaburan infrastruktur sistem untuk menawarkan perkhidmatan ini kepada universiti dan merapatkan jurang pembelajaran yang kini wujud di pusat pengajian tinggi di negara ini akibat pandemik.

  Intel, CREST dan TalentCorp akan berganding bahu untuk melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran baharu ini dalam 'norma baharu' bidang pendidikan.

  Terdahulu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dalam ucaptamanya menyatakan bahawa inisiatif SC4U adalah contoh yang baik di mana industri dan dunia akademik berganding bahu untuk meningkatkan keupayaan, kemahiran dan ilmu pengetahuan tenaga kerja berbakat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 10:00 PM