KAD grafik MSI Gaming X Trio RX6800 tawar kuasa prestasi optimum berbanding jenama lain.
KAD grafik MSI Gaming X Trio RX6800 tawar kuasa prestasi optimum berbanding jenama lain.
Muhammad Saufi Hassan


PENGGUNA hari ini lebih mementingkan kepada prestasi kad grafik terutamanya untuk resolusi 1440p serta 4K tanpa menghadapi sebarang masalah dalam tetapan mod grafik ultra.

Menerusi kad grafik baharu keluaran Advanced Micro Devices (AMD) iaitu siri RX 6800 adalah jawapan untuk kelas prestasi termasuk menawarkan kestabilan bacaan bingkai sesaat (FPS) ketika permainan.

Jenama perkakas kelas permainan terkemuka, MSI kali ini tampil dengan siri kad grafik RX 6800 daripada barisan produk Gaming X Trio sekali gus menawarkan kuasa prestasi lebih baik berbanding jenama lain.

Untuk MSI Gaming X Trio RX 6800, kadar FPS yang direkodkan adalah lebih baik sekitar 10 peratus untuk resolusi 1080p, 1440p dan 4K berbanding jenama lain.

Bacaan purata bagi resolusi 1080p adalah 170FPS, 1440p pada kadar 140FPS manakala untuk 4K adalah 90FPS.

Bacaan suhu juga merekodkan bahawa MSI Gaming X Trio RX 6800 adalah lebih baik berbanding jenama lain dengan kadar perbezaan sekitar lima hingga lapan peratus.

Mengikut kedudukan kad grafik, RX 6800 menawarkan kuasa prestasi lebih baik daripada siri kad grafik Nvidia GeForce iaitu RTX 3070 dengan kadar perbezaan sekitar 10 hingga 15 peratus.

Variasi kad grafik daripada MSI ini iaitu barisan Gaming X Trio sememangnya tidak perlu diperkatakan lagi kerana ia menawarkan kuasa prestasi pada tahap tertinggi termasuk ciri penyejukan khusus terhadap perkakas.

Menyentuh binaan fizikal kad grafik ini, MSI Gaming X Trio dilengkapi dengan tiga unit kipas penyejuk serta dua punca kuasa lapan pin sesuai kelas prestasi perkakas ini.

Ia turut mempunyai sokongan sambungan skrin paparan DisplayPort 1.4 serta HDMI untuk pilihan pengguna.

Perkakas daripada siri ini dilengkapi dengan sistem penyejukan TorX Fan 4.0 bersama-sama paip penyejuk termasuk rekaan bilah kipas yang memastikan suhu pada tahap paling minimum biarpun ketika kapasiti penuh (full load).

Rekaan bilah kipas TorX Fan 4.0 itu menjadikan sedutan udara luar lebih maksimum berbanding rekaan kipas biasa oleh jenama lain.

MSI Gaming X Trio RX 6800 ini juga dilengkapi dengan plat belakang berfungsi untuk sebaran haba termasuk sokongan supaya kad tidak melengkung ketika diletakkan secara melintang di dalam desktop pengguna.

Pengguna juga akan dibekalkan dengan perkakas sokongan tambahan yang turut disertakan di dalam kotak sekali gus meningkatkan nilai kosmetik perkakas anda.

Talaan prestasi juga boleh dibuat menerusi perisian MSI Dragon Center dan pengguna boleh membuat pengubahsuaian prestasi mengikut selera atau menggunakan tetapan yang sudah dibuat.

Penyeragaman lampu RGB juga boleh dibuat menerusi perisian berkenaan dan jika pengguna mempunyai set lengkap perkakas MSI, pastinya penyeragaman boleh dibuat merangkumi semua perkakas.

Secara keseluruhannya, MSI bijak melakukan talaan prestasi terhadap variasi ini apabila ia merekodkan prestasi lebih baik berbanding mana-mana jenama kad premium yang lain.

Pengguna juga tidak perlu bimbang dengan suhu kad memandangkan teknologi TorX Fan oleh MSI memastikan suhu sentiasa dalam keadaan minimum untuk penggunaan tempoh panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 6:45 AM