TIGA aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma iaitu Raudhah, Solat Checkist dan Waktu Solat Malaysia.
TIGA aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma iaitu Raudhah, Solat Checkist dan Waktu Solat Malaysia.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

Sempena bulan Ramadan yang bermula hari ini, pengguna sebenarnya boleh memanfaatkan teknologi menerusi aplikasi tertentu bukan saja untuk rujukan waktu solat tetapi fungsi yang pelbagai.

Manfaat kemajuan teknologi pada hari ini juga memudahkan urusan pengguna supaya termasuk menerima notifikasi waktu solat, arah kiblat termasuk beberapa fungsi khusus yang lain seperti surah lazim termasuk doa harian.

#ITMetro pada minggu ini akan menyenaraikan tiga aplikasi yang boleh membantu pengguna untuk memenuhi waktu Ramadan mereka dan ia sarat dengan pelbagai fungsi selain daripada petunjuk waktu solat.

Ketiga-tiga aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma dan ia turut unik daripada aspek ciri khusus dan pastinya pengguna boleh memilih aplikasi yang dirasakan sesuai.

KEMAJUAN teknologi hari ini membolehkan pengguna bergantung kepada peranti pintar untuk membuat pengisian sempena bulan Ramadan.
KEMAJUAN teknologi hari ini membolehkan pengguna bergantung kepada peranti pintar untuk membuat pengisian sempena bulan Ramadan.

Aplikasi bertema Islamik ini juga tidak hanya menjadi panduan waktu solat tetapi wujud pelbagai fungsi yang boleh dimanfaatkan terutama memenuhi keperluan sepanjang bulan Ramadan.

1. Solat Checklist

Seperti aplikasi bertemakan Islamik yang lain, Solat Checklist ini turut mempunyai petunjuk waktu solat namun ciri tambahan yang diberikan adalah pengguna boleh memasukkan waktu solat yang sudah didirikan atau terlepas.

Contohnya, pengguna tidak sempat untuk mendirikan solat Zohor dan boleh memasukkan input tidak mendirikan solat pada waktu berkenaan dan kemudian data berkenaan akan dimasukkan ke dalam pengurusan waktu qada' solat.

Menerusi ciri khusus itu juga, pengguna boleh melihat adakah solat sudah didirikan lima waktu sehari semalam atau terdapat waktu solat yang perlu qada'.

Ruangan pengurusan qada' itu juga akan mempunyai butiran waktu solat yang tertinggal serta tarikhnya jadi memudahkan pengguna untuk menggantikan solat.

Pengguna juga boleh memasukkan data sendiri selepas menekan waktu solat, adakah sudah digantikan atau belum termasuk memasukkan input masa solat.

Hasil pengumpulan data berkenaan akan dijana setiap hari dan pengguna boleh melihat tempoh masa yang diperuntukkan untuk solat serta melakukan muhasabah diri.

Selain itu, aplikasi ini juga dilengkapi dengan laporan bulanan prestasi solat pengguna dan ia akan dijana menerusi bentuk graf sekali gus memberi gambaran kepada pengguna mengenai mutu solat mereka sepanjang sebulan.

Aplikasi ini juga boleh digunakan di mana saja dan pengguna hanya perlu memasukkan input negara, daerah pen

empatan dan semua data seperti waktu solat akan mengikut waktu terkini.

2. Raudhah

Penulis boleh meringkaskan bahawa ia adalah aplikasi paling interaktif yang pernah digunakan kerana ia bukan saja mengandungi keperluan untuk solat tetapi turut disertakan dengan video tazkirah.

Pemuka untuk aplikasi ini mengandungi zon waktu solat pengguna dan kompas magnetik yang boleh disesuaikan untuk mencari arah kiblat di sesuatu kawasan.

Selain ciri khusus untuk kegunaan solat, ia mengandungi petunjuk restoran halal yang berada di sekeliling pengguna sekali gus memberi banyak pilihan.

Ia sangat sesuai untuk pengguna yang sering bertugas di luar daerah memandangkan ruang pilihan restoran berkenaan akan memaparkan nama restoran serta anggaran jarak dengan lokasi pengguna.

APLIKASI yang memudahkan pengguna sepanjang Ramadan.
APLIKASI yang memudahkan pengguna sepanjang Ramadan.

Aplikasi ini juga dilengkapi dengan pemuka pengira tasbih interaktif dan pengguna hanya perlu menekan skrin paparan dan ia akan mengeluarkan bunyi 'klik' menandakan tasbih yang dibaca sudah dikira.

Pengguna juga boleh melihat jumlah zikir semasa dan memadamkan kiraan zikir dengan menekan pilihan padam di bahagian atas pemuka aplikasi.

Raudhah ini juga dilengkapi dengan pelbagai pilihan doa yang boleh dibaca oleh pengguna serta 30 juzuk al-Quran bersama terjemahannya sekali gus menjadikan bulan Ramadan kali ini penuh dengan pengisian ibadah.

3. Waktu Solat Malaysia

Aplikasi ini antara yang paling popular dimuat turun oleh pengguna tidak kira platform Android mahupun iOS kerana pemuka yang mudah untuk dilihat.

Waktu Solat Malaysia ini turut dilengkapi dengan wirid serta zikir ringkas selepas solat selain daripada petunjuk waktu solat bersama arah kiblat.

Ia juga mengandungi beberapa kemudahan untuk pengguna termasuk kaedah melakukan solat jamak, tahajjud, sujud sahwi, solat hajat, solat taubat dan beberapa solat sunat yang popular.

Keunikan aplikasi ini adalah mengandungi satu ruangan dikenali 'Nur' untuk artikel agama berkaitan pelbagai disiplin ilmu termasuk kelebihan dalam sesuatu ibadah.

Petunjuk waktu solat untuk aplikasi ini juga akan berubah mengikut kedudukan terkini pengguna berdasarkan kepada data Sistem Kedudukan Global (GPS) peranti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 7:00 AM