ROBOT pintar yang membantu tugasan harian di rumah serta mempunyai keupayaan pemetaan lokasi rumah sebelum tugasan mencuci dilakukan oleh robot berkenaan.
ROBOT pintar yang membantu tugasan harian di rumah serta mempunyai keupayaan pemetaan lokasi rumah sebelum tugasan mencuci dilakukan oleh robot berkenaan.
Husain Jahit


SEPANJANG tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ramai orang duduk di rumah bersama keluarga.

Boleh bayangkan si ibu sibuk mengemas dan memasak walaupun ada di antara mereka juga perlu bekerja. Dua tanggungjawab besar mesti dibereskan dalam satu masa setiap hari.

Sudah tentu banyak habuk di lantai akibat banyak pergerakan manusia pada lingkungan sama. Lebih-lebih lagi dengan kipas yang berpusing dan habuk sentiasa berterbangan dan melekat pada kaki.

Kalau hendak disapu atau vakum hari-hari boleh bengkok pinggang dibuatnya.

Bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi sekarang banyak kerja rumah boleh dibantu oleh perkakasan yang dimajukan oleh syarikat ternama dunia.

Electrolux sebagai jenama terkemuka tampil dengan robot vakum Pure i9.2 yang bergerak secara pintar membersihkan lantai rumah.

ROBOT vakum Electrolux Pure i9.2 pastikan lantai rumah bersih.
ROBOT vakum Electrolux Pure i9.2 pastikan lantai rumah bersih.

Pada mulanya penguji memang agak dangkal dan tiada keyakinan dengan perkakasan rumah dalam bentuk robot atau yang bergerak sendiri ini. Kebimbangan juga jika ia tersangkut di mana-mana terutamanya kaki perabot. Dan ia masih memerlukan pemantauan kita untuk menyelamatkannya.

Apabila diberi peluang menguji Pure i9.2, ketidakyakinan itu rupanya meleset. Ia mampu bekerja dengan baik dan amat memuaskan.

Rupanya kita tak perlu alihkan perabot, sebaliknya Pure i9.2 bertindak pintar dengan membuat imbasan serta memetakan kawasan terlebih dulu menggunakan teknologi laser dan kamera 3D Vision sebelum beroperasi.

Memiliki reka bentuk segi tiga kerana dikatakan mampu bergerak lebih efisien ketika berada di kawasan sempit atau di bucu dinding.

Ia terbukti ketika ujian dijalankan di rumah. Di bawah sudut kanan Pure i9.2 terdapat satu berus yang berpusing untuk memastikan habuk atau sampah pada bucu yang sempit dapat dicapai dan disedut sebaik mungkin.

Robot ini dikuasai oleh bateri cas pantas dari jenis Lithium Turbopower yang boleh beroperasi sehingga 70 minit di dalam mod ekonomi.

Ia mengecas bateri di atas unit pangkalan yang tersambung ke plug punca kuasa. Ia keluar dari pangkalan seolah-olah sebuah kereta keluar dari garaj. Buat imbasan dan kerja. Ia mampu menyimpan peta imbasan itu untuk kerja pada masa lain.

Sebaik mengeluarkannya dari dalam kotak, penguji membaca arahan dan terus pindah turun aplikasi Pure i9.2 ke dalam telefon pintar yang digandingkan terus dengan sistem WiFi di rumah.

Ada sedikit pelarasan pemula ketika menggandingkan aplikasi dengan Pure i9.2. Penguji beri nama 'Makcik Cleaner' dan semua kawalan boleh dilakukan dari jarak jauh walaupun dari luar rumah.

Ketika pertama kali ujian, agak lama juga Pure i9.2 hanya berpusing-pusing di kawasan sama di bawah meja serta dua meter sekitarnya. Bateri pun habis dalam hanya tempoh 24 minit dan ia kembali ke pangkalan. Rupanya ia beroperasi sambil memeta kawasan. Mungkin sebab pertama kali guna di kawasan baharu.

Sebaik baterinya penuh, ujian kedua dilakukan. Namun kali ini ia pergi lebih jauh ke seluruh kawasan ruang tamu rumah. Keluasan kawasan pembersihan sekitar 25 meter persegi dalam tempoh 25 minit dan baterinya masih berbaki.

Ia merekod setiap pergerakan lengkap dengan waktu dan keluasan kawasan pembersihan di dalam aplikasi. Kita juga boleh menjadualkan waktu pembersihan, malah boleh menyelaras kawasan pembersihan mengikut zon.

Tapi ia tidak membersihkan di kawasan berkarpet. Mungkin disebabkan karpet itu agak tebal walaupun ia mampu memanjat jika lantai tidak rata pada ketinggian sehingga 2.2 sentimeter.

ROBOT ini dikuasai oleh bateri cas pantas dari jenis Lithium Turbopower yang boleh beroperasi sehingga 70 minit di dalam mod ekonomi.
ROBOT ini dikuasai oleh bateri cas pantas dari jenis Lithium Turbopower yang boleh beroperasi sehingga 70 minit di dalam mod ekonomi.

Penguji perhatikan dua kali ia membuat cubaan naik ke atas karpet. Walaupun berjaya, tapi ia hanya berpusing di kawasan sama tiga kali lalu turun semula. Karpet itu adalah jenis bulu tebal dan mungkin menyukarkan sedutan dan pergerakan. Sedangkan guna vakum biasa pun menjadi berat jika di atas karpet sama.

Apapun penguji berpuas hati dengan cara kerja robot vakum Pure i9.2 ini yang menjamin kebersihan lantai terutamanya daripada habuk dan bulu kucing. Tak perlu menolak tarik vakum tradisional dan pinggang pun tak sakit lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 6:12 AM