FIRMA keselamatan siber terkemuka, Kaspersky menjangkakan bahawa 'trend' serangan siber untuk tahun ini masih sama.
FIRMA keselamatan siber terkemuka, Kaspersky menjangkakan bahawa 'trend' serangan siber untuk tahun ini masih sama.
Muhammad Saufi Hassan


SEPANJANG tahun lalu memperlihatkan perubahan mendadak dalam cara kerja serta kehidupan kebanyakan individu di dunia terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Malaysia antara negara yang dikategorikan sebagai berjaya dalam adaptasi teknologi semasa untuk sektor awam mahupun swasta dan kadar digitalisasi di negara ini sangat tinggi berbanding negara lain di rantau ini.

Adaptasi itu juga memperlihatkan seramai 40 juta pengguna baharu Internet di rantau Asia Tenggara yang kebanyakannya datang dari lokasi bukan bandar dan keadaan itu memperlihatkan sisi positif.

Bagaimanapun, pengguna Internet di kawasan bukan bandar kurang terdedah dengan pengetahuan berhubung keselamatan siber dan keadaan itu mendedahkan mereka dengan pelbagai kemungkinan.

Memberi petunjuk awal berhubung situasi jenayah siber untuk tahun ini, pakar keselamatan daripada Pasukan Penyelidikan dan Analisis Global Kaspersky (GReAT) memberi gambaran bahawa jenayah siber boleh berlaku untuk semua pengguna.

Penyelidik Keselamatan Kanan (GReAT) Kaspersky, Muhammad Umair berkata, rantau Asia Tenggara dikenal pasti sebagai pengguna paling aktif Internet dan ia dibuktikan dengan kadar kepenggunaan yang memuncak ketika tempoh kawalan pergerakan di beberapa negara rantau berkenaan.

"Ia memberi tempoh kritikal apabila pengguna Internet yang sudah berusia di kawasan luar bandar tidak mahir dalam kawalan keselamatan siber dan mereka amat mudah mempercayai mengenai sesuatu perkara.

"Selain daripada pengguna berusia, rantau ini juga mempunyai jumlah pengguna baharu yang sangat tidak matang terhadap penggunaan Internet dan kedua-dua kategori ini dianggap mangsa mudah untuk penjenayah siber.

"Jika kita imbas semula jenayah siber sepanjang 2020, kita dapati bahawa beberapa negara di Asia Tenggara kerap terdedah dengan serangan perlombongan kripto, penipuan 'phishing', serangan bersasar Ransomware dan DDoS," katanya kepada #ITMetro ketika ditemu bual baru-baru ini.

Muhammad berkata, serangan berkenaan tidaklah efektif namun penjenayah siber menyasarkan rantaian paling lemah dalam pengguna Internet dan keadaan itu perlu diberikan perhatian.

RANTAU Asia Tenggara mempunyai pengguna aktif Internet tertinggi berbanding kawasan lain termasuk merekodkan lebih 40 juta pengguna baharu tahun lalu.
RANTAU Asia Tenggara mempunyai pengguna aktif Internet tertinggi berbanding kawasan lain termasuk merekodkan lebih 40 juta pengguna baharu tahun lalu.

"Tahun lalu juga merekodkan pendedahan data peribadi di mana lebih 310,000 maklumat kredit kad yang dikeluarkan oleh institusi kewangan terkemuka di Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan beberapa negara lain terbabit dalam ketirisan data itu.

"Selain itu, maklumat peribadi membabitkan 91 juta pengguna di platform laman dagang Indonesia juga dilaporkan tertiris manakala di Thailand, sebanyak 8.3 bilion pelanggan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih didedahkan pada Mei lalu.

"Singapura tidak terkecuali apabila platform pembelian atas talian untuk barangan dapur turut mengalami ketirisan data sebanyak 1.1 juta pemilik akaun pada Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata, penjenayah siber juga turut mengeksploitasi situasi pandemik Covid-19 untuk segmen kesihatan apabila sebanyak 230,000 data peribadi pesakit di Indonesia didedahkan.

"Keadaan itu menunjukkan bahawa serangan boleh berlaku di mana saja membabitkan pengguna Internet tidak terkecuali faktor umur dan lokaliti.

"Pengguna yang tidak mengamalkan 'kebersihan Internet' pastinya akan menjadi sasaran dan tahun ini tidak terkecuali apabila situasi pandemik di beberapa negara termasuk Malaysia masih dalam keadaan tidak menentu.

"Adaptasi digitalisasi juga semakin rancak terutamanya di Malaysia dan pengguna diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penggunaan Internet dan tidak menekan mana-mana pautan yang meragukan," katanya.

Menurutnya, organisasi membabitkan semua skala juga tidak terkecuali apabila kebanyakan masih mempraktikkan ruang pejabat maya sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 7:00 AM