Cyberpunk 2077.
Cyberpunk 2077.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Platform permainan konsol paling popular, Sony menarik balik judul permainan paling 'hype' 2020 iaitu Cyberpunk 2077 daripada PlayStation Store (PS Store) dengan alasan ia tidak mencapai 'kepuasan pengguna.'

Ia berikutan judul berkenaan dilaporkan mengalami pelbagai masalah di dalam platform berkenaan termasuk aduan pengguna berhubung gangguan permainan (bugs), isu keserasian sistem termasuk kemungkinan isu kesihatan kepada pemain.

Perkara itu diumum menerusi kenyataan Sony Interactive Entertainment (SIE) dan keputusan menarik balik judul berkenaan bagi platform berkenaan dibuat berasaskan kepada aduan pengguna.

"SIE sentiasa memastikan kepuasan pengguna berada pada tahap terbaik dan pengguna yang membeli judul permainan itu menerusi PS Stora akan menerima pemulangan wang secara penuh mengikut peringkat.

"SIE juga mengeluarkan judul berkenaan daripada PS Store sehingga diberitahu kelak," katanya menerusi satu kenyataan, sebentar tadi.

Cyberpunk 2077 adalah judul paling dinantikan oleh semua pengguna termasuk pengkritik namun sejak pelancarannya, terdapat pelbagai isu terutama gangguan dalam permainan.

Walaupun menerusi platform desktop, judul berkenaan lebih stabil, namun untuk platform konsol terdapat pelbagai masalah.

Pembangun permainan itu, CD Projekt RED sebelum ini mengulangi pendirian untuk membaik pulih sebarang masalah dalam permainan itu dan penarikan semula judul terbabit untuk PS Store adalah satu tamparan hebat.

Pelancaran judul berkenaan sudah ditangguhkan sebanyak dua kali sepanjang tahun dan ia dilancarkan secara rasmi dua minggu lalu menerusi semua laman perdagangan permainan seperti Steak, Epic Games dan beberapa platform lain.

Berdasarkan laporan, CD Projekt RED membelanjakan lebih RM1.2 bilion untuk pembangunan permainan berkenaan dan menjadikan permainan paling mahal pernah dibangunkan oleh mana-mana pembangun.

Walaupun terdapat kritikan untuk judul berkenaan, CD Projekt RED memaklumkan pada minggu lalu bahawa kutipan jualan judul itu sudah melepasi kos pengeluaran, pembangunan dan pengiklanan.

Minggu lalu, pembangun judul itu sedang berusaha untuk mencari penyelesaian berhubung isu 'kesihatan pemain' dan kemaskini baharu akan dilancarkan sebaik isu itu berjaya ditangani sebaiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 12:43 PM