CYBERPUNK 2077 tidak mengecewakan dengan penampilan pelbagai mekanik permainan yang baharu di samping plot penceritaan yang menarik.
CYBERPUNK 2077 tidak mengecewakan dengan penampilan pelbagai mekanik permainan yang baharu di samping plot penceritaan yang menarik.
Muhammad Saufi Hassan


PENANTIAN lapan tahun yang berbaloi. Itu yang penulis ringkaskan berhubung judul permainan yang ditunggu-tunggu semua peminat dunia 'games' iaitu Cyberpunk 2077.

Judul itu mula diumumkan kali pertama pada Mei 2012 oleh pembangunnya iaitu Projekt Red, sekali gus semua perhatian tertumpu kepada pembangunan judul terbabit.

Hampir setiap tahun pastinya peminat tidak sabar untuk menunggu pelancaran rasminya dan awal minggu lalu, Cyberpunk 2077 dilancarkan secara rasmi menerusi platform Steam dan beberapa platform permainan lain.

'Hype' permainan itu semakin memuncak apabila awal tahun lalu, bintang Hollywood dalam filem John Wick iaitu Keanu Reaves bakal menjadi watak 'pillars' kepada permainan berkenaan.

Penulis tidak ketinggalan untuk membeli judul berkenaan dan mula bermain sebaik ia dilancarkan. Secara keseluruhannya, ia satu permainan yang sangat baik dengan jalan penceritaan yang sarat.

Cyberpunk 2077 menampilkan konsep 'story riched' dan ia mirip kepada Red Dead Redemption 2 atau Assassin's Creed Valhalla apabila pemain diberikan pilihan untuk membuat sesuatu keputusan.

Biarpun ada rungutan daripada segelintir pemain berhubung gangguan 'bugs' dalam permainan, namun penulis merasakan itu adalah perkara biasa dan enjin permainan akan dipertingkatkan setiap masa.

Berbalik kepada Cyberpunk 2077, pemain boleh memilih tiga jalan hidup iaitu Nomad, Street Gangs atau Corpo dan setiap satunya memiliki epilog yang berbeza.

Ia tidak hanya epilog, tetapi setiap pemilihan 'lifeline' pemain akan mempengaruhi cara bermain sehingga kepada kepakaran watak berkenaan.

Contohnya, jika pemain memilih Corpo, ia adalah organisasi terancang dan pemain memiliki kelebihan tatkala berurusan dengan 'orang dalam' organisasi itu manakala untuk Nomad, pemain akan lebih mahir dalam aspek 'crafting'.

Untuk jalan cerita kempen, masa permainan yang diperlukan antara 35 hingga 40 jam bergantung kepada kaedah pemain.

Walaupun plot utama sudah ditamatkan, pemain masih boleh meneroka Night City secara bebas dan penulis boleh menyatakan bahawa Cyberpunk 2077 adalah GTAV pada masa depan.

Pembangun permainan itu sudah memberi bayangan berhubung perjalanan kandungan judul itu sepanjang dua tahun pertama dan ia suatu yang menarik untuk ditunggu.

Aspek grafik pula, pemain perlu kad grafik keupayaan tinggi jika mahu menikmati setiap kesan terperinci dengan mod Ray Tracing atau DLSS dihidupkan pada tahap tertinggi.

Secara keseluruhannya, penulis sangat menyukai mekanik permainan Cyberpunk 2077 yang ditampilkan dan ia boleh dikatakan kacukan GTAV dan Watch Dog kerana karakter boleh melaksanakan penggodaman kepada mesin berteknologi tinggi.

Tahniah untuk Projekt Red!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 6:30 AM