HUAWEI Mate 40 Pro menawarkan kuasa prestasi dan rakaman imej terbaik dalam kelasnya.
HUAWEI Mate 40 Pro menawarkan kuasa prestasi dan rakaman imej terbaik dalam kelasnya.
Muhammad Saufi Hassan

Huawei tidak pernah sunyi dengan inovasi mengagumkan bagi barisan segmen telefon pintar kelas perdana keluaran mereka bermula dengan revolusi lensa untuk fotografi sehingga kepada kefungsian peranti lebih kompleks yang menjadi resepi utama pilihan pengguna.

Terbaru, syarikat itu menampilkan peranti kelas perdana mereka iaitu Huawei Mate 40 Pro yang sarat dengan pelbagai ciri khusus terutamanya prestasi mengagumkan untuk kepelbagaian tugas tanpa sebarang masalah.

Paling mencuri tumpuan adalah keberanian Huawei dalam menampilkan reka letak lensa untuk peranti baharu itu secara membulat dengan tiga tetapan lensa bersama sensor khusus hasil kerjasama dengan Leica.

Menyentuh aspek spesifikasi, Huawei Mate 40 Pro menggunakan pemproses paling maju iaitu Kirin 9000 rekaan 5nm yang lengkap terbina dengan sokongan jaringan 5G.

Peranti itu menggunakan kapasiti memori (RAM) 8GB bersama storan 256GB atau 512GB serta menyokong tambahan kad nano untuk pengguna.

Tetapan empat kamera pula menggunakan lensa utama berkeupayaan 50 megapiksel (MP), lensa 20MP untuk sudut ultra lebar, 12MP lensa telefoto dan 'Laser Sensor' untuk memastikan imej dirakam dengan tajam dan kepantasan proses fokus imej.

Ciri khusus lain yang perlu diberikan perhatian adalah peranti ini menggunakan skrin dengan kadar segar semula 90Hz serta paparan OLED.

INOVASI Huawei amat mengagumkan apabila berani untuk mengubah reka letak kamera secara membulat menerusi peranti berkenaan.
INOVASI Huawei amat mengagumkan apabila berani untuk mengubah reka letak kamera secara membulat menerusi peranti berkenaan.

Penggunaan skrin 90Hz bukan saja boleh dimanfaatkan untuk sesi permainan yang lebih baik malah imej atau video yang dimainkan juga akan lebih jelas serta terperinci berbanding skrin dengan kadar segar semula yang rendah.

Kelebihan pastinya pada penggunakan cip pemproses Kirin 9000 yang juga pemproses rekaan 5nm pertama untuk segmen Android dan ia didatangkan dengan 15.3 bilion transistor.

Pengalaman penulis menggunakan peranti ini sangat mengagumkan bagi kefungsian pelbagai tugas termasuk keupayaan kamera yang boleh beroperasi dalam pelbagai keadaan terutamanya ketika pencahayaan sangat kurang.

Huawei sememangnya raja untuk kategori kamera memandangkan mereka sangat menitikberatkan aspek berkenaan dan hasilnya, Huawei Mate 40 Pro sangat membanggakan daripada aspek rakaman imej malam.

Untuk meningkatkan aspek keselamatan peranti, peranti ini dilengkapi dengan sistem kunci wajah 3D dan imbasan cap jari biometrik terbina di bawah skrin.

Secara keseluruhannya, peranti Huawei Mate 40 Pro sangat baik bagi semua aspek ujian antaranya kepelbagaian fungsi dalam satu-satu masa, prestasi kamera mengagumkan serta pengalaman permainan yang baik.

Ia adalah peranti pelbagai tugas atau 'multi role' dan pastinya ciri khusus yang ditawarkan bakal menjadi penanda aras untuk evolusi peranti pintar pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 6:22 AM