Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Syarikat pengeluar perkakas komputer kelas permainan terkenal, Gigabyte Technology memperkenalkan dua kad grafik baharu keluaran mereka yang menggunakan cip unit pemproses grafik (GPU) rekaan Nvidia GeForce RTX 3080.

Syarikat berkenaan memperkenalkan dua siri RTX Ampere menerusi barisan produk GeForce RTX 3080 Gaming OC 10G dan RTX 3080 Eagle OC 10G untuk pilihan pengguna.

Dua kad grafik berkenaan menggunakan ciri khusus iaitu Gigabyte Windforce yang mempunyai tiga kali sistem penyejukan serta didatangkan bersama tiga kipas untuk pengawalan suhu.

Sistem penyejuk kad berkenaan turut dilengkapi dengan 'graphene' nano, plat tembaga bersaiz besar dan paip haba termasuk sistem pencahayaan RGB yang boleh ditetapkan menerusi perisian Fusion 2.0.

Menyentuh aspek spesifikasi kad RTX 3080 Gaming OC 10G dan versi Eagle OC, ia dilengkapi dengan pemproses teras CUDA 8,704 dengan talaan memori 19,000Mhz bersama kapasiti video memori (VRAM) 10GB dengan rekaan GDDR6X.

Kad berkenaan mempunyai dua slot punca kuasa 8 pin dan bekalan kuasa yang dicadangkan ada 750W.

Tanda harga bagi versi Gaming OC 10G adalah RM3,899 manakala untuk versi Eagle OC adalah RM3,789.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 9:26 AM