Muhammad Saufi Hassan

SEPERTI dijangka, pengeluar unit pemproses grafik (GPU) gergasi, Nvidia mengumumkan siri baharu kad grafik mereka yang dikenali sebagai RTX 3000 dengan kod nama 'Ampere', awal pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang berkata, kad grafik siri baharu ini adalah perkakas yang menggunakan spesifikasi paling maju dalam industri.

"Buat masa ini, Nvidia memperkenalkan tiga barisan produk terdiri daripada Nvidia GeForce RTX 3070, RTX 3080 dan RTX 3090 yang mempunyai perbezaan daripada aspek pemproses grafik.

"Untuk siri kad paling tinggi iaitu RTX 3090, ia dilengkapi dengan 10,496 teras pemproses grafik CUDA dan hadir dengan kapasiti memori video (VRAM) 24GB bersama rekaan memori GDDR6X," katanya ketika pengenalan pertama produk baharu berkenaan.

Beliau berkata, untuk rekaan kad asas ini, ia hadir dengan keupayaan sistem penyejuk dua kipas songsang iaitu kipas pertama bertindak sebagai penyejuk manakala kipas kedua menolak haba keluar bagi mengekalkan suhu optimum.

Katanya, kad grafik ini mampu menggerakkan permainan AAA moden pada resolusi 8K dan kadar segar semula 60FPS pada tetapan tinggi tanpa masalah.

"Bagi RTX 3080 pula, ia menggunakan 8,704 teras CUDA dan mempunyai kapasiti memori VRAM 10GB dengan kadar transmisi data 760 GB/s dan berdasarkan perangkaan, kad berkenaan dua kali ganda lebih berkuasa daripada RTX 2080 Ti.

"Kesemua kad-kad grafik ini akan menyokong antaramuka PCIe 4.0, dan menyokong kadar penghantaran data yang jauh lebih pantas dan dengan lengah masa yang lebih rendah berbanding sebelum ini," katanya.

Berdasarkan tanda harga asas yang dianjurkan oleh Nvidia, untuk kad RTX 3090 (kadar tukaran wang terus tanpa duti import) adalah RM6500, RTX 3080 (RM3,000) dan RTX 3070 (RM2,000).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 9:20 AM