HUAWEI MatePad Pro versi WiFi pantas dalam melancarkan sebarang aplikasi.
HUAWEI MatePad Pro versi WiFi pantas dalam melancarkan sebarang aplikasi.
Muhammad Saufi Hassan

MEMILIKI sebuah peranti mudah alih yang berkeupayaan seperti laptop sudah menjadi satu perkara wajib untuk individu yang sering bergerak dan melakukan tugasan harian dan lebih penting adalah kefungsiannya yang perlu menyamai laptop.

Selain itu, antara faktor penting adalah saiz serta berat peranti mudah alih berkenaan untuk dibawa dan tidak membebankan pengguna jika diletakkan dalam beg sandang atau mungkin tas tangan yang bersaiz sederhana.

Untuk semua keperluan berkenaan, Huawei MatePad Pro versi WiFi adalah jawapan kepada semua masalah berkenaan memandangkan ia memenuhi semua keperluan pengguna terutama memiliki tanda harga yang mesra pengguna.

Mungkin ada pengguna yang tidak mahu mengeluarkan bajet keras untuk memiliki peranti mudah alih seperti tablet, tetapi untuk versi WiFi ini, ia hanya dijual RM2,399.

Menyentuh aspek spesifikasi, ia tidak banyak berbeza dengan Huawei MatePad Pro 5G dan masalah jaringan Internet tidak perlu risau kerana pengguna boleh melakukan sambungan menerusi telefon pintar.

Huawei MatePad Pro versi ini menggunakan pemproses Kirin 990 dengan rekaan 7nm+ yang dipadankan bersama memori (RAM) sehingga 8GB mengikut variasi pilihan pengguna.

Peranti ini memiliki keluasan skrin 10.8 inci dengan resolusi 2560 x 1600 piksel serta kadar kecerahan skrin diukur pada tahap 540 Nits, sekali gus sesuai untuk beroperasi dalam sebarang keadaan termasuk di bawah sinar matahari.

HUAWEI MatePad Pro memudahkan tugasan pengguna dan mempunyai kefungsian mirip laptop.
HUAWEI MatePad Pro memudahkan tugasan pengguna dan mempunyai kefungsian mirip laptop.

Ciri lain pastinya saiz tablet yang memuaskan hati kerana ia didatangkan dalam saiz 90 peratus nisbah skrin terbesar berbanding jenama hebat lain yang menawarkan sehingga antara 83 peratus saja.

Secara keseluruhannya, penulis amat kagum dengan keupayaan tablet berkenaan kerana sepanjang menggunakannya, ia sangat berkuasa malah pantas dalam melancarkan sebarang aplikasi.

Kepelbagaian tugas serta antara muka juga sangat baik apabila penulis pernah menguji membuka puluhan tetingkap lain dengan bermacam aplikasi dan tablet Huawei MatePad Pro masih mampu beroperasi dengan lancar tanpa sebarang 'lagged' atau lengah yang panjang.

Selain untuk tujuan tugasan, tablet ini juga mampu untuk melancarkan permainan dan skrin paparan HD yang ditawarkan memberikan kejelasan pada imej serta pengalaman permainan lebih baik untuk pengguna.

Ciri lain yang menarik ialah ditawarkan HUAWEI Share yang berfungsi sebagai multi-skrin, membantu mencerminkan skrin telefon pintar pada paparan MatePad Pro yang tidak dapat dijumpai pada tablet jenama lain.

Pengguna hari ini cenderung untuk memilih ekosistem pintar dan Huawei menawarkan kemudahan berkenaan dengan tablet ini dan semua rangkaian produknya.

Tablet ini juga disokong dengan Huawei MeeTime bagi membolehkan pengguna membuat panggilan video antara tablet dan telefon bimbit berdefinisi tinggi (HD).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 6:20 AM