JUDUL Horizon Zero Dawn mula dilancarkan untuk versi PC 7 Ogos lalu.
JUDUL Horizon Zero Dawn mula dilancarkan untuk versi PC 7 Ogos lalu.
Muhammad Saufi Hassan


JUDUL permainan Horizon Zero Dawn (HZD) tidak lagi memerlukan pengenalan lanjut kerana judul berkenaan boleh dianggap antara yang paling berjaya kerana ia adalah permainan eksklusif untuk konsol Sony PlayStation 4 (PS4).

Sejak judul berkenaan diperkenalkan pada 28 Februari 2017, ia mendapat pengiktirafan yang tinggi dalam kalangan pengkritik permainan malah judul berkenaan menawarkan aspek mekanik yang sangat berbeza ketika itu.

Realisasi konsep membunuh raksasa robot berbanding organik adalah satu perjudian yang sangat berjaya untuk Guerrilla Games selaku pembangun judul berkenaan malah mencatatkan pulangan lebih 8 juta salinan permainan di seluruh dunia.

Kini, judul eksklusif PS4 berkenaan dilancarkan untuk versi desktop dan ia boleh dibeli menerusi gedung jualan atas talian, Steam pada harga RM80 untuk semua koleksi judul berkenaan termasuk episod tambahannya.

Penulis tidak terkecuali merasakan hype pelancaran judul berkenaan dan sudah membeli secara pratempahan dua minggu sebelum tarikh pelancarannya iaitu pada 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun, hype yang dirasakan oleh kebanyakan peminat permainan video kurang menjadi kenyataan apabila judul berkenaan banyak mengalami kekurangan untuk versi PC termasuk keupayaan kesan grafik yang tidak dioptimasi secara maksimum.

Hasilnya, wujud beberapa masalah kesan grafik terutama membabitkan kesan terperinci karakter dan kesan grafik versi PC dikatakan lebih teruk berbanding konsol sedangkan keupayaan untuk segmen PC adalah lebih besar berbanding konsol.

Penulis yang menggunakan kad grafik MSI Gaming X Trio Nvidia GeForce RTX 2070 Super juga tidak memperoleh kesan grafik permainan seperti Shadow of Tomb Raider yang jauh lebih baik berbanding HZD.

Wujud dakwaan segelintir pengkritik permainan bahawa optimasi kesan visual berkenaan tidak dilakukan oleh pembangunan HZD iaitu Guerrrilla Games sebaliknya pihak pembangun melantik pihak ketiga untuk melaksanakan optimasi grafik.

Berdasarkan carian penulis mengenai masalah teknikal permainan itu untuk versi desktop, beberapa pengguna turut berdepan masalah apabila imej permainan tidak seperti diharapkan termasuk ada bertukar menjadi imej dua dimensi walaupun tiada masalah perkakas.

Selepas berdepan dengan pelbagai rungutan, Guerrilla Games berjanji untuk melakukan proses optimasi dalam kadar segera dan ia akan dilakukan menerusi satu fail kemas kini patch baharu kepada pengguna tidak lama lagi.

Syarikat pembangun permainan itu menyatakan mereka kesal dengan kejadian berkenaan dan berjanji masalah yang dihadapi pemain akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Walaupun pelbagai masalah teknikal yang dihadapi, permainan HZD ini bukanlah terlalu teruk namun setakat ini ia satu judul yang 'biasa-biasa' dan memerlukan pelbagai proses optimasi untuk setanding dengan keupayaan grafik Death Stranding terbitan Kojima.

Apapun, penulis tetap merasakan bahawa masih ada ruang untuk pembangun judul ini melakukan tambah baik dalam kadar segera sebelum pemain hilang sabar sekali gus melenyapkan hype judul berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 6:42 AM