PERMAINAN Valorant mirip judul CS GO dan menampilkan mekanik yang hampir sama namun dinaik taraf kepada genre penembak taktikal.
PERMAINAN Valorant mirip judul CS GO dan menampilkan mekanik yang hampir sama namun dinaik taraf kepada genre penembak taktikal.
Muhammad Saufi Hassan

JIKA anda penggemar permainan genre 'CS:GO' sudah pasti judul Valorant pilihan yang paling sesuai untuk menggantikan permainan Counter Strike yang dikategorikan sebagai 'judul mati' kerana pembangunan untuk siri berkenaan sudah dihentikan.

Konsep, reka muka dan mekanik permainan Valorant dan CS:GO sangat mirip bermula daripada pembelian senjata, baju kalis peluru dan yang membezakan adalah Valorant menampilkan ciri unik setiap karakter yang dipilih.

Permainan berkenaan boleh dimuat turun secara percuma dan kini sudah mempunyai tiga juta pemain aktif pada pertengahan Julai lalu dan kini statistik pemain semakin meningkat sekali gus menjadikan judul berkenaan antara 'kandungan' hangat di arena dunia permainan elektronik.

Menyentuh aspek konsep permainannya, Valorant menampilkan tiga mod yang boleh dimainkan iaitu Spike Rush, Unranked dan Ranked. Bagi mod Ranked, pemain baharu perlu mencukupkan sejumlah kuota permainan dan label batch pemain hanya akan kelihatan selepas menamatkan lima sesi mod Ranked.

Menerusi mod Ranked, pemain akan mendaki lapan tangga untuk memperoleh batch bermula daripada Iron sehingga kepada Radiant dan kenaikan setiap label dikira daripada mata permainan individu serta pasukan.

Maksud yang lebih ringkas, jika pasukan pemain kalah, pemain akan turun kepada label sebelumnya dan jika pasukan memperoleh kemenangan serta memenuhi mata label, pemain akan naik kepada label berikutnya.

Lebih jelas, setiap Ranked mempunyai tiga langkah contohnya Iron 1 kepada Iron 2 mendaki Iron 3 dan pemain akan berubah label kepada Bronze 1 sebaik menamatkan Iron 3.

Penulis ingin menyentuh aspek konsep permainan, Riot Games menyatakan bahawa Valorant adalah genre permainan 'Penembak Pandang Pertama' (FPS) taktikal. Ini bermaksud, pemilihan setiap karakter oleh rakan sepasukan amat penting.

Setiap karakter mewakili kelas tertentu seperti Sentinel, Initiator, Duelist dan beberapa kelas yang lain. Jelas, setiap kelas berkenaan akan memiliki keupayaan khusus atau ability serta skil tertinggi (ultimate) dengan memperolehnya menerusi bilangan menembak mati pemain lawan atau mengumpul sfera kuasa di peta permainan.

Penulis merasakan ia satu judul yang berpotensi besar jika Riot Games meneruskan usaha untuk mengekang penipuan atau modder di dalam permainan yang sekali gus mengubah imbangan permainan dan ia akan mengakibatkan pemain bosan jika kerap berdepan dengan situasi berkenaan.

Pemain perlu memahirkan setiap keupayaan karakter kerana ia penting untuk mengimbangi taktikal pasukan. Sehingga kini, pemain kagum dengan konsep permainan berkenaan dan ia satu judul yang menyeronokkan untuk dimain bersama rakan lain.

Riot Games menjanjikan bahawa mereka akan meneruskan usaha untuk mengekang pemain yang penipu (hackers) dan modder. Selain itu, pembangun judul itu juga menjanjikan kandungan baharu untuk setiap suku tahunan termasuk pengenalan karakter yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 6:45 AM