PENAWARAN teknologi terkini termasuk kemas kini sistem operasi iOS 14
PENAWARAN teknologi terkini termasuk kemas kini sistem operasi iOS 14
Muhammad Saufi Hassan

SETIAP tahun semua pihak pastinya menanti sidang penting anjuran Apple iaitu Persidangan Pembangunan Sedunia (WWDC) yang menjadi platform rasmi syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu untuk menetapkan hala tuju baharu untuk tahun berkenaan.

Ia juga menjadi platform khusus untuk semua pemain industri melihat pembaharuan yang bakal dibawa Apple serta penawaran teknologi terkini termasuk kemas kini sistem operasi untuk barisan produk syarikat itu.

Maka tidak hairan Apple adalah 'trend-setters' untuk industri teknologi secara menyeluruh apabila kebanyakan pembaharuan yang dibawa Apple akan diikuti pemain utama industri lain.

Pentas persidangan itu juga umpama 'spotlight' buat semua lapisan bermula daripada industri teknologi itu sendiri sehingga kepada pengguna sebagai pemakai produk akhir.

Untuk WWDC tahun ini, ia pertama kali dilaksanakan secara maya memandangkan penularan Covid-19, namun keupayaan Apple dalam memperkenalkan teknologi baharu dan pembaharuan yang dilakukan tidak mengurangkan magnitud persidangan itu.

Terdapat beberapa pembaharuan yang dianggap 'radikal' oleh Apple serta pendedahan teknologi baharu.

Minggu ini, #ITMetro melakukan senarai pendek beberapa pembaharuan yang akan dilaksanakan untuk sistem operasi peranti iPhone iaitu iOS 14.

APPLE iOS 14 menampilkan pelbagai ciri khusus untuk pengguna termasuk kemasan widget.
APPLE iOS 14 menampilkan pelbagai ciri khusus untuk pengguna termasuk kemasan widget.

Kunci kereta digital

Ini adalah satu pembaharuan dalam teknologi masa kini apabila pengguna boleh mengunci atau membuka kereta hanya menerusi kunci kereta digital.

Ciri khusus itu akan didatangkan menerusi kemas kini sistem operasi terbaharu iOS 14 tidak lama lagi dan ia menyokong NFC.

Kereta pertama yang akan menyokong fungsi berkenaan adalah BMW 5 Series pada 2021 dan fungsi berkenaan akan digunakan kereta lain yang menggunakan cip U1 Wideband.

Pengguna hanya perlu melakukan padanan atau 'pairing' menerusi peranti iPhone atau Apple Watch bagi model kereta yang menyokong fungsi kunci digital ini.

Penggunaan widget bagi paparan utama peranti

Apple mengambil langkah drastik apabila melakukan perubahan pada tetapan skrin utama menerusi tetapan widget dan ia bakal memberi nafas baharu buat sistem operasi berkenaan.

Pengguna boleh meletakkan sebarang widget kesukaan mereka mengikut tahap kepenggunaan dan ia langkah berani untuk Apple bagi versi terbaharu iOS 14.

Menerusi pembaharuan ini, pengguna boleh menetapkan widget kegunaan mereka di paparan skrin antara muka dan ia satu pendekatan baik untuk Apple.

PENGGUNA iPhone boleh letak sebarang kemasan pada tetapan skrin ikut tahap kepenggunaan
PENGGUNA iPhone boleh letak sebarang kemasan pada tetapan skrin ikut tahap kepenggunaan

Aplikasi terjemahan

Apple sedar terhadap tuntutan pengguna yang sering kali menggunakan aplikasi terjemahan bahasa dan kali ini, Apple memperkenalkan aplikasi khusus untuk tujuan berkenaan.

Aplikasi berkenaan menyokong 11 alih bahasa saja buat masa ini dan Apple akan melakukan tambahan sokongan selepas ia dilancarkan.

Bar notifikasi panggilan kecil

Sebelum ini, wujud rungutan dalam kalangan pengguna apabila panggilan masuk, ia akan membawa keluar pengguna dalam satu-satu aplikasi atau permainan.

Ia secara tidak langsung agak merunsingkan pengguna terutama bagi individu yang gemar bermain permainan mudah alih kerana mereka sering terkeluar daripada sesi permainan jika panggilan masuk.

Menerusi pembaharuan berkenaan, pengguna tidak lagi runsing dengan panggilan masuk sebaliknya boleh melakukan pilihan untuk menerima atau menolak panggilan itu.

Mod tanpa gangguan malam/mod tidur

Mod tanpa gangguan ini dikenali sebagai fungsi 'Wind Down Mode' khusus untuk pengguna peranti pintar menetapkan satu fungsi tiada gangguan sepanjang tempoh ditetapkan.

Fungsi itu membolehkan pengguna menetapkan waktu tidur dan bangun mengikut masa yang diinginkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 7:00 AM