Muhammad Saufi Hassan


SEGMEN laptop kelas permainan pada hari ini sememangnya menawarkan pelbagai peranti berprestasi tinggi untuk membolehkan pengguna melayani permainan kegemaran tanpa mengira tempat dan masa.

Bagi segmen berkenaan, Lenovo Legion bijak melakukan padanan spesifikasi menerusi laptop terbaharu mereka iaitu siri Legion 5 yang dikuasakan dengan pemproses terkini selain kad grafik berprestasi tinggi.

Siri Legion 5 menawarkan empat variasi berbeza menerusi kuasa pemproses iaitu AMD Ryzen dan Intel serta padanan kad grafik bermula GTX 1650 sehingga RTX 2060.

Barisan produk ini adalah Lenovo Legion 5 (menggunakan pemproses AMD Ryzen), Legion 5i dan Legion 5P bagi kelas tinggi.

Variasi tinggi untuk kelas Legion 5 menggunakan kod produk Lenovo Legion 5P 15IMH05H bersama pemproses Intel Core i7-10750H iaitu didatangkan dengan enam teras dan 12 Thread.

Ia menggunakan unit pemproses grafik (GPU) daripada Nvidia GeForce RTX 2060 yang dipadankan bersama memori (RAM) 16GB (8GB x 2) DDR4 dan storan 512GB SSD M.2 untuk memberikan hasil optimum dalam pemindahan data dalam kadar pantas.

Panel skrin menggunakan 15.6 inci dengan resolusi 1920 x 1080 bersama panel IPS anti silau dengan kadar segar semula 144Hz.

Pengguna yang mahu melakukan pertambahan storan tidak perlu bimbang kerana ia mampu untuk menyimpan dua storan daripada cakera keras konvensional serta dua storan M.2 2280 dan 2242.

Lenovo juga menawarkan barangan eksklusif kepada pengguna yang melakukan pra tempahan untuk produk Legion 5i dan Legion 5Pi bermula 1 hingga 15 Jun ini dengan melayari laman web l (http://lenovo.my/legionpreorder)enovo.my/legionpreorder (http://lenovo.my/legionpreorder) atau memilih kedai eksklusif Lenovo (LES) dan mendapat barangan khusus bernilai lebih RM5,000.

Spesifikasi Legion 5P

Pemproses : Intel Core i7-Generasi 10

GPU : RTX 2060

Storan : M.2 SSD 512GB

RAM : 16GB DDR4

Paparan : 15.6 inci IPS 144Hz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 12:41 PM