Muhammad Saufi Hassan


USAHASAMA dua syarikat teknologi terkemuka iaitu Apple dan Google melancarkan Sistem Notifikasi Pendedahan menerusi format aplikasi program antaramuka (API) sekali gus membantu agensi kesihatan untuk membangunkan perisian berasaskan kepada sistem berkenaan.

Menerusi kemaskini aplikasi terbaharu untuk telefon pintar berkenaan, agensi kesihatan seluruh dunia boleh memulakan pembangunan aplikasi yang sesuai untuk menggunakan sistem API yang dibangunkan oleh dua syarikat terkemuka berkenaan.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan selepas Apple dan Google melaksanakan beberapa siri perbincangan dengan agensi kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar kesihatan tentang keperluan untuk menggunakan teknologi sebagai medium pencegahan kepada penularan wabak.

CONTOH perisian yang menggunakan sistem API yang dibangunkan oleh Apple dan Google
CONTOH perisian yang menggunakan sistem API yang dibangunkan oleh Apple dan Google

Sehingga hari ini, sebanyak 22 negara membabitkan lima benua sudah mengemukakan permohonan dan mempunyai akses kepada sistem API terbabit dan lebih banyak lagi negara akan menerima kemas kini baru berkenaan dalam beberapa minggu akan datang.

Sistem berkenaan berfungsi menerusi identiti denyutan Bluetooth daripada satu peranti kepada peranti lain dan identiti berkenaan akan diubah secara automatik setiap masa untuk mengelakkan daripada dimanipulasi pihak ketiga.

Agensi kesihatan boleh membangunkan perisian berasaskan kepada sistem API berkenaan dan ia mampu untuk mengesan pendedahan wabak dengan lebih efektif memandangkan setiap peranti pengguna akan saling menghantar denyut identiti Bluetooth.

Jika seseorang itu didapati positif dijangkiti virus Covid-19 dan memuatnaik keputusan di dalam perisian yang akan dibangunkan kelak, sistem API akan menjejak semua kontak sepanjang suatu tempoh yang ditentukan menghantar notifikasi kepada pengguna yang berada dekat dengan pesakit positif terbabit.

Apple dan Google akan sentiasa bekerjasama untuk memastikan bahawa kemaskini terbaharu ini dapat membantu agensi kesihatan serta memaksimumkan teknologi Bluetooth.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 2:27 PM