JAM pintar Apple Watch mampu kendali pelbagai aktiviti untuk kekal aktif. - FOTO  Google
JAM pintar Apple Watch mampu kendali pelbagai aktiviti untuk kekal aktif. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan


ORANG ramai pada ketika ini pastinya melalui tempoh sukar kerana setiap pergerakan adalah terbatas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan saja di negara ini malah kebanyakan negara turut mengenakan arahan sama.

Duduk di rumah mungkin satu idea yang baik untuk satu tempoh masa singkat namun tidak untuk jangka panjang apabila mungkin pembaca akan mengalami perubahan daripada aspek tekanan serta emosi yang tidak stabil.

Bagi pemilik peranti jam pintar Apple Watch, anda mungkin bertuah kerana boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti senaman yoga, mendengar lagu, melakukan senaman di dalam rumah dan bermacam lagi dengan mengikuti aturan jam Apple Watch yang dipakai.

Penulis minggu ini mahu berkongsi tip dan kaedah bagi pemakai Apple Watch untuk memanfaatkan peranti boleh pakai pengguna serta mengurangkan tekanan sepanjang tempoh sukar ini.

Tip pertama - tiga aktiviti setiap hari:

Pengguna boleh memilih tiga aktiviti utama untuk dilakukan setiap hari iaitu bersenam, bangun untuk seketika atau bergerak di sekitar kawasan rumah untuk kekal aktif.

Ketiga-tiga aktiviti berkenaan juga sudah ditetapkan objektif utama dan pengguna boleh memantau tahap pembakaran kalori seharian tatkala berada di rumah.

Tip kedua - senaman tujuh minit:

Duduk di rumah sambil melakukan tugasan pejabat ada kalanya mendatangkan tekanan.

Jadi, penting untuk kekal aktif di dalam rumah dan ia bukan alasan untuk hanya duduk dan menonton televisyen saja.

Menerusi aplikasi di dalam Apple Watch, pengguna boleh memilih mod senaman tujuh minit dan ia akan mengajar pengguna kaedah untuk melakukan senaman di dalam persekitaran kawasan rumah.

Contoh senaman yang boleh dilakukan adalah ‘lompat bintang’, ‘tekan tubi’ dan beberapa kaedah lain sekali gus peranti dapat membaca degupan jantung pemakainya tatkala melakukan senaman berkenaan.

PELBAGAI aktiviti senaman di dalam rumah dimuatkan di dalam peranti berkenaan dan pengguna boleh memilih sebarang aturan mengikut kesesuaian.
PELBAGAI aktiviti senaman di dalam rumah dimuatkan di dalam peranti berkenaan dan pengguna boleh memilih sebarang aturan mengikut kesesuaian.

Tip ketiga - senaman yoga:

Pengguna tidak perlu untuk hadir ke kelas yoga semata-mata untuk mempelajari senaman berkenaan kerana ia boleh dipelajari menerusi peranti boleh pakai saja.

Aplikasi berkenaan akan mengajar pengguna untuk melakukan beberapa teknik senaman yoga yang mudah dilakukan seperti penumpuan pernafasan, meregangkan badan.

Semua aktiviti berkenaan boleh memantau kadar degupan jantung pengguna dan jika wujud degupan kurang normal, Apple Watch akan memberi notifikasi peringatan kepada pengguna.

Tip keempat - gim pintar:

Bagi semua aktiviti yang kita lakukan tidak kira ia senaman, berlari di sekitar rumah atau pun sebarang bentuk aktiviti riadah, peranti boleh pakai keluaran Apple akan merekod semua kegiatan kita.

Jadi tidak perlu pengguna untuk menyalin nota seperti pembakaran kalori sehari, berapa langkah yang sudah dibuat minggu lalu dan banyak lagi kerana semuanya disimpan di dalam rekod pengguna.

Pengguna hanya perlu mengakses rekod berkenaan dan semua rekod tertera termasuk aktiviti yang pernah dilakukan sepanjang minggu.

Apa yang lebih utama adalah orang ramai kekal sihat sepanjang tempoh PKP dan aktif biarpun duduk di rumah.

APPLE Watch merekod semua aktiviti pengguna tanpa perlu menyalin data senaman kepada ruangan lain sebaliknya pengguna hanya perlu mengakses rekod.
APPLE Watch merekod semua aktiviti pengguna tanpa perlu menyalin data senaman kepada ruangan lain sebaliknya pengguna hanya perlu mengakses rekod.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:30 AM