Muhammad Saufi Hassan


Kebanyakan ‘kaki games’ hari ini mungkin sedikit keliru tatkala memilih sistem penyejuk semua dalam satu (AIO) memandangkan terdapat banyak jenama berada di pasaran bermula daripada saiz 120mm sehingga 360mm.

Sistem penyejuk ini penting untuk mengekalkan suhu pemproses pada tahap paling minimum walaupun menggunakan kadar teras kuasa yang tinggi untuk perkakasan berkenaan contohnya pengguna yang melakukan tugasan sintesis animasi atau model tiga dimensi (3D).

Penulis tidak terkecuali apabila perlu memilih serta melakukan sedikit kajian prestasi membandingkan setiap jenama memandangkan set AIO ini juga tidak murah bergantung kepada harga.

Untuk ‘kaki games’ yang tidak mempunyai bajet keras, mereka mungkin akan memakai penyejuk biasa atau ‘stock cooler’ yang berasaskan kepada kuasa angin kipas berbanding AIO yang menggunakan cecair penyejuk.

Bagi pengguna tahap bangsawan pula sudah pasti akan menggunakan set penyejuk cecair binaan sendiri atau ‘custom water cooling’ yang menelan belanja ribuan ringgit untuk membeli perkakasan.

Berbalik kepada persoalan utama iaitu pemilihan AIO, penulis sebenarnya ingin membina set desktop yang menggunakan pemproses AMD Threadripper dan perkakas ini adalah daripada kategori pemproses kelas prestasi tinggi.

Sudah pasti, set AIO perlu menampung keupayaan pemproses berkenaan dan penulis menjumpai dua jenama AIO yang dikategorikan antara yang terbaik iaitu NZXT dan Enermax.

Bagi Enermax, penulis melihat prestasi dalam binaan pemproses Threadripper agak mengagumkan untuk model Enermax Liqtech TR4 II 360 500W bagaimanapun ia agak berisiko dalam jangka panjang memandangkan wujud masalah daripada pengguna lain bahawa wujud hakisan pada pemuka haba sistem penyejuk itu.

Pilihan terbaik bagi penulis adalah NZXT Kraken X62 untuk kelas prestasi tinggi dan sejujurnya penulis tidak pernah menggunakan mana-mana produk AIO keluaran NZXT sebelum ini.

Hasilnya amat mengagumkan apabila bacaan suhu untuk pemproses Threadripper 2950X bagi status tanpa bebanan adalah 32 darjah celcius manakala untuk prestasi permainan serta sintesis pada 68 darjah celcius.

Pengguna juga boleh memuat turun perisian AIO NZXT iaitu NZXT Cam untuk memantau suhu pemproses serta melakukan talaan prestasi mengikut kepenggunaan.

Penulis lebih mudah untuk menetapkan pada mod ubah suai prestasi bagi mengekalkan suhu paling minimum untuk pemproses dan pengguna juga boleh melakukan tetapan warna RGB mengikut tema.

Secara keseluruhannya, penulis sangat berpuas hati dengan AIO keluaran NZXT berkenaan dan pastinya akan memiliki AIO terbaru syarikat berkenaan iaitu Siri Z yang bakal masuk ke pasaran negara Mac ini.

Spesifikasi desktop

Pemproses: AMD Threadripper 2950X

Papan induk : ASUS Zenith Extreme

Penyejuk : NZXT Kraken X62

GPU : ASUS ROG RTX 2080

Kipas pengudaraan : Noctua

Bekalan kuasa : Thermaltake RGB Grand 1200W

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 1:56 PM