REKAAN MacBook oleh Apple tidak pernah mengecewakan dan ia kelihatan elegan dan premium.
REKAAN MacBook oleh Apple tidak pernah mengecewakan dan ia kelihatan elegan dan premium.
Muhammad Saufi Hassan


PERANTI Macbook Pro terbaik. Itu kesimpulan secara keseluruhan berkaitan peranti baharu keluaran Apple iaitu MacBook Pro 16 inci versi 2019 sekali gus ia adalah manifestasi sebenar kepada kuasa prestasi serta produktiviti sebenar.

Apple tidak pernah mengecewakan dalam aspek penawaran peranti apabila mereka bijak melakukan padanan spesifikasi di samping ekosistem pintar yang membolehkan pengguna menyimpan data secara awanan (clouds) serta boleh diakses pada semua peranti menggunakan identiti sama.

Menerusi MacBook Pro versi 2019, ia menawarkan skrin 16 inci yang lebih luas dengan sempadan bezel nipis sesuai untuk penyedia kandungan yang gemar melakukan tugasan sintesis video atau animasi.

MacBook Pro 2019 (16 inci) bukan saja nipis serta mudah dibawa malah menawarkan spesifikasi yang sangat baik untuk tugasan suntingan video bersama ketahanan bateri lebih 12 jam biarpun penggunaan secara optimum.

Penulis sendiri mempunyai pengalaman yang sangat baik apabila menggunakan peranti ini untuk melakukan tugasan suntingan video tanpa sumber kuasa dan ia mampu bertahan lebih 12 jam dan tatkala proses suntingan selesai, baki bateri mencatatkan 12 peratus.

Untuk proses suntingan, kebiasaannya penulis akan menggunakan fon telinga memandangkan elemen paling penting dalam video adalah kesan bunyi, namun menggunakan MacBook Pro 2019 ini penulis tidak memerlukan fon telinga dan hanya bergantung kepada pembesar terbina.

MACBOOK 16 inci versi 2019 menggunakan pemproses Intel Core i9 sekali gus menawarkan prestasi pantas untuk sebarang tugasan.
MACBOOK 16 inci versi 2019 menggunakan pemproses Intel Core i9 sekali gus menawarkan prestasi pantas untuk sebarang tugasan.

Pembesar terbina untuk MacBook Pro 2019 menggunakan sistem bunyi dikuasakan enam pembesar yang direka khusus untuk ketulenan bunyi dipertingkatkan (high fidelity).

Ia juga menggunakan sistem ‘woofer’ baharu yang dipatenkan oleh Apple menerusi teknologi penyah-bingar berlapis untuk menyingkirkan getaran kesan bunyi yang tidak sepatutnya.

Hasil daripada rekaan khusus berkenaan, kesan bunyi yang terhasil lebih jelas, semula jadi dan sangat persis dengan kesan bunyi sebenar.

Menyentuh aspek spesifikasi, ia menggunakan pemproses Intel Core i9 dengan kuasa talaan 2.3GHz serta dipadankan bersama unit pemproses grafik (GPU) AMD Radeon Pro 5500M dengan memori 16GB frekuensi 2,666MHz DDR4.

Skrin peranti ini menggunakan 16 inci dengan resolusi 3,072 x 1,920 paparan panel Retina serta storan berjumlah 1TB SSD untuk membolehkan kadar bacaan data lebih pantas berbanding cakera keras konvensional.

MacBook Pro 2019 didatangkan dengan empat bicu Thunderbolt 3 (USB-C) dan secara keseluruhan, ia adalah MacBook terbaik yang pernah dikeluarkan oleh Apple setakat ini.

PAPARAN skrin Retina memberi kelebihan buat penyedia kandungan memandangkan bacaan tona warna menghampiri warna semula jadi.
PAPARAN skrin Retina memberi kelebihan buat penyedia kandungan memandangkan bacaan tona warna menghampiri warna semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 6:45 AM