GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Aizat Shamsuddin


SEBANYAK 9,686 kes membabitkan nilai lebih RM400 juta direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga 31 Oktober lalu berkaitan penipuan siber dan multimedia.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, polis menerima antara 25 hingga 30 laporan setiap hari membabitkan penipuan ini.

Katanya, kegiatan jenayah siber ini masih lagi berleluasa dan membimbangkan kerana membabitkan kerugian kepada mangsa berjuta ringgit.

Statistik merekodkan, 4,487 kes penipuan telekomunikasi dengan jumlah wang membabitkan RM 203 juta; pembelian dalam talian sebanyak 2,947 kes (RM24.7juta); 419 scam atau African scam sebanyak 1,303 kes (RM67.7 juta) dan penipuan E-Kewangan sebanyak 753 kes (RM122 juta)

“Walaupun banyak program kesedaran dan pendidikan diadakan, masyarakat masih lagi menjadi mangsa kepada penjenayah ini apabila menerima panggilan daripada pihak tertentu yang menyamar sebagai pihak bank, polis dan dari Jabatan Peguam Negara.

“Mangsa tidak kira siapa dan meliputi semuasektor masyarakat dan bukannya daripada golongan tertentu saja tetapi yang turut mempunyai kedudukan dalam ekonomi dan sosial dalam masyakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi Townhall: Jenayah Membarah Dalam Masyakat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Beliau juga percaya terdapat pihak tertentu yang mempunyai dan menyimpan maklumat seperti nombor telefon dan kad pengenalan menyalurkannya kepada penjenayah siber yang mana adalah kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2017.

“Kita percaya wujudnya sindiket tertentu yang mengumpul maklumat dan diberikan kepada penjenayah siber.

“Polis juga ada membuat tangkapan terhadap pihak yang membekal dan menjual maklumat serta dituduh di mahkamah di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 serta kita juga merujuk kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi,” katanya.

ROSLI (kiri) diiringi Lam Thye (dua kanan) dan Aidi (kanan) ketika melawat gerai pameran selepas merasmikan program Townhall: Jenayah Membarah Dalam Masyakat. FOTO Rozainah Zakaria
ROSLI (kiri) diiringi Lam Thye (dua kanan) dan Aidi (kanan) ketika melawat gerai pameran selepas merasmikan program Townhall: Jenayah Membarah Dalam Masyakat. FOTO Rozainah Zakaria

Sementara itu, Lam Thye berkata, satu jawatankuasa khas diwujudkan di bawah MCPF untuk melaksanakan program bagi mendidik masyakat mengenai masalah dan isu jenayah siber.

Katanya, MCPF akan bekerjsama rapat dengan polis antaranya menerusi program townhall sebegini untuk memberi maklumat dan informasi kepada orang ramai.

“Saya berharap masyarakat sedar dan berhati-hati apabila menerima panggilan telefon serta terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan untuk menjadi mangsa atau tidak.

“Menerusi maklumat dan informasi yang disalurkan berharap mereka akan membuat keputusan yang bijak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 1:19 AM