RISDA melancarkan aplikasi TS Easy Calculate untuk memudahkan pengiraan bantuan tanam semula dan boleh dimuat turun di PlayStore.
RISDA melancarkan aplikasi TS Easy Calculate untuk memudahkan pengiraan bantuan tanam semula dan boleh dimuat turun di PlayStore.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Inovasi yang dipelopori oleh lima anak muda daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) ini menyelesaikan masalah menerusi kiraan manual yang memerlukan penelitian pengiraan tanah sebelum diluluskan.

Aplikasi berkenaan bukan saja menjimatkan masa dan tenaga, malah pencarian maklumat mahupun fail boleh dilakukan dengan begitu efisien.

Ia juga boleh beroperasi tanpa jaringan data Internet memandangkan wujud penugasan yang merangkumi kawasan di luar liputan jaringan telekomunikasi.

Menerusi satu klik saja, pegawai Risda dapat menyampaikan maklumat bantuan tanaman semula dengan lebih cepat dan tepat kepada pekebun kecil.

Operator aplikasi hanya perlu memasukkan jumlah keluasan dan semua data lengkap bantuan tanam semula akan dipaparkan pada pemuka aplikasi.

Inovasi yang dibangunkan pada 2017 menerusi inisiatif kumpulan inovasi Sozoteki dari Pejabat Risda Pulau Pinang itu dinaungi Pengarah Risda negeri itu, Siti Rosnani Mohd Jalil.

Kumpulan berkenaan diketuai Intan Sarina Salleh yang juga ahli kumpulan terbabit, Mohd Aizat Che Husain, Khairul Ikhwan Mohd Bahar, Mohammad Yusuf Che Din dan Norzabarol Zainol Idris.

Inovasi berkenaan meraih beberapa kejayaan peringkat nasional, antaranya berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Inovasi Kebangsaan 2017 serta Naib Johan Pertandingan Inovasi dan Rekaan Kebangsaan 2019 (iComEx19).

Sementara itu, pembangun aplikasi berkenaan, Intan Sarina menerangkan kumpulannya sedang memberi fokus untuk menaik taraf aplikasi itu.

“Naik taraf ini juga akan memasukkan beberapa ciri baharu antaranya unit tukaran bagi hektar untuk memudahkan pegawai Risda melakukan kiraan dalam geran tanah lama yang masih menggunakan unit bukan metrik seperti relung, kaki dan sebagainya.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun di Android Playstore dengan memasukkan kata kunci RISDA TS Easy Calculate,” katanya.

KUALA LUMPUR 10 OKTOBER 2019. (IT@METRO) Aplikasi yang dibangunkan oleh RISDA untuk memudahkan pengiraan tanam semula. NSTP/EMAIL
KUALA LUMPUR 10 OKTOBER 2019. (IT@METRO) Aplikasi yang dibangunkan oleh RISDA untuk memudahkan pengiraan tanam semula. NSTP/EMAIL

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 12:13 PM