hmdigital

PEMINAT permainan mudah alih kini boleh memuat turun Call of Duty: Mobile menerusi sistem operasi Android di Play Store ataupun iOS bagi pemilik peranti iPhone.

Judul permainan paling fenomena dalam sejarah permainan desktop, Call of Duty memberi pengalaman baharu kepada pemain termasuk menawarkan mod permainan pertempuran beramai-ramai atau ‘Battle Royale’.

Ia permainan paling ditunggu-tunggu selepas judul berkenaan melalui fasa percubaan tertutup, beberapa minggu lalu dan dikatakan bakal menjadi pesaing kepada permainan PUBG: Mobile.

Call of Duty: Mobile adalah permainan mudah alih dibangunkan Tencent untuk Activision dan bagi pasaran tempatan, permainan itu diterbitkan oleh Garena.

Melalui permainan ini, ia menyediakan pelbagai mod permainan dalam talian seperti mod Deathmatch, mod pertempuran Royale dan juga mod Cari dan Musnah yang menggunakan bom.

Permainan itu menawarkan ciri kesan grafik yang lebih baik berbanding PUBG: Mobile walaupun kedua-dua judul berkenaan memberikan corak permainan hampir sama.

Kekuatan permainan itu adalah menampilkan kesan grafik yang sangat baik selain pengalaman mirip askar sebenar dengan kepelbagaian persenjataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 9:22 AM