SET perkakasan milik ASUS ROG dilengkapi dengan cahaya RGB boleh laras.
SET perkakasan milik ASUS ROG dilengkapi dengan cahaya RGB boleh laras.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Memiliki spesifikasi desktop yang terbaik bukan saja penting untuk setiap ‘kaki games’ bagi memberikan kepuasan pengalaman permainan namun ciri kosmetik juga diberikan keutamaan supaya set desktop milik individu tampak lebih cantik dan menawan.

Ramai peminat sukan elektronik kini gemar memilih perkakasan komputer seperti papan kekunci, tetikus dan pad tetikus yang dilengkapi dengan set cahaya ‘RGB’ boleh laras menerusi perisian supaya warna yang terhasil seragam dengan desktop anda.

Tidak banyak jenama di pasaran yang menawarkan set perkakasan menerusi pemilihan cahaya boleh laras dan kali ini, penulis memilih penggunaan perkakasan jenama ASUS daripada produk ‘Republic of Gamers (ROG)’.

Set pilihan penulis adalah papan kekunci ROG jenis Strix Scope, tetikus Gladius Tanpa Wayar (Wireless), pad tetikus RGB Balteus Qi dan pemegang set fon kepala Throne Qi.

Empat set perkakasan ini membolehkan penulis melakukan pelarasan cahaya selain daripada kualiti produk yang sangat baik sesuai dengan keperluan tugasan atau permainan penulis.

Pemilihan set berkenaan adalah bersesuaian dengan keperluan penulis termasuk pemegang set fon kepala jenis ROG Throne Qi yang turut didatangkan dengan pengecas pantas tanpa wayar Qi untuk telefon pintar (Qi Wireless Charging).

Hanya meletakkan telefon pintar pada pad bawah pemegang, telefon pintar akan melakukan pengecasan automatik tanpa wayar dan ia sangat memudahkan penulis daripada menyambungkan pengecas konvensional.

Papan kekunci pula, ROG Strix Scope sangat sesuai untuk pengguna yang gemar bermain permainan genre penembak pertama (FPS) atau aksi pantas memandangkan rekaan kekunci yang lebih lebar dan kesilapan untuk menekan kekunci dapat dikurangkan.

Gabungan tetikus dan pad tetikus, penulis memilih ROG Gladius Wireless serta ROG Balteus Qi.

Bagi tetikus, ROG Gladius mampu beroperasi tanpa wayar dan jika kehabisan bateri, ia boleh disambungkan menerusi wayar yang turut disertakan.

Bagi ROG Balteus Qi pula, ia bukan sekadar pad tetikus malah turut mempunyai ruangan pengecas Wireless Qi yang dibulatkan di bahagian atas.

Untuk semua set berkenaan, penulis boleh melakukan pelarasan cahaya dan apa yang lebih utama adalah produk berkenaan memiliki kualiti premium serta prestasi yang sangat baik untuk merangkumi tugasan dan pengalaman permainan.

Penilaian penulis

ROG THRONE QI: 5 / 5

ROG BALTEUS QI: 4.5 / 5

ROG GLADIUS WIRELESS: 4.5 / 5

ROG STRIX SCOPE: 4.5 / 5

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 8:49 AM