CALL of Duty (COD) Mobile bakal dilancarkan dan sudah memasuki fasa ujian.
CALL of Duty (COD) Mobile bakal dilancarkan dan sudah memasuki fasa ujian.
Muhammad Saufi Hassan


SIRI permainan Call of Duty (COD) Mobile bakal dilancarkan tidak lama lagi dan kini sudah memasuki fasa ujian di beberapa negara.

Berdasarkan latar permainan itu, ia menampilkan konsep sama yang digunakan oleh permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBG Mobile) iaitu pertempuran beramai-ramai (Battle Royale).

COD Mobile dikhabarkan akan menampilkan beberapa jenis permainan dengan pemain lain (PvP) termasuk mod permainan kegilaan ramai iaitu ‘Battle Royale’.

Beberapa video yang dimuat naik menunjukkan bahawa COD Mobile mempunyai kekuatan dalam aspek perincian grafik yang begitu baik jika dibandingkan dengan PUBG Mobile.

Judul permainan ini juga akan menggunakan sebahagian daripada dunia Call of Duty dalam versi desktop untuk menarik perhatian umum.

Konsep permainan COD Mobile mirip PUBG Mobile iaitu individu atau pasukan yang kekal bertahan sehingga penghujung adalah pemenangnya.

Penerbit permainan itu, Activision memaklumkan bahawa fasa ujian akan dikembangkan ke beberapa negara termasuk rantau Asia Tenggara tidak lama lagi.

Permainan ini juga boleh dimuat turun secara percuma sama ada menggunakan sistem operasi Android mahupun milik Apple iaitu iOS.

Setakat ini, mod permainan yang diketahui akan diperkenalkan adalah ‘Battle Royale’, ‘Frontline’, ‘Hardpoint’, ‘Domination’ dan ‘Team Deadmatch’.

Sesetengah pihak berpendapat bahawa COD Mobile bakal menandingi populariti PUBG Mobile kerana menggunakan konsep sama iaitu ‘Battle Royale’ dan persekitaran dunia sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 5:53 PM