HUAWEI P30 bersama Huawei Backup
HUAWEI P30 bersama Huawei Backup
Muhammad Saufi Hassan


SYARIKAT pengeluar telefon pintar gergasi, Huawei mengumumkan pengguna di negara ini mungkin akan mendapatkan peranti terbaru keluarannya iaitu P30 pada tarikh yang sama dengan Singapura iaitu 6 April depan.

Syarikat yang berpangkalan di China itu akan melancarkan telefon pintar mercu iaitu siri P30 petang ini di Paris, Perancis selepas kejayaan generasi terdahulu iaitu P20 Pro sehingga diiktiraf sebagai telefon pintar terbaik tahun lalu.

Huawei juga menyatakan bahawa pengguna terawal membeli peranti itu akan menerima barangan eksklusif.

Syarikat itu sudah mengesahkan satu daripada barangan eksklusif berkenaan adalah Huawei Backup yang mengandungi kapasiti storan 1TB cakera keras mudah alih.

Pelbagai barangan eksklusif akan menanti pembeli terawal dan Huawei akan mengumumkan barsngan berkenaan dan lokasi promosi dalam tempoh terdekat.

Huawei Backup berkenaan adalah jalan penyelesaian kepada pengguna untuk menyimpan apa jua fail dan gambar yang diambil menerusi persnti berkenaan.

Ia juga boleh disimpan secara automatik atau pilihan pengguna bergsntung kepada keselesaan pemilik peranti itu.

Peranti itu akan dilengkapi dengan teknologi pengecas cepat supaya memudahkan pengguna tanpa perlu menunggu masa pengecasan yang lama dan pengguna tidak perlu untuk memasang aplikasi berasingan untuk teknologi itu.

Syarikat itu berjanji untuk menambah lokasi promosi ketika pelancaran P30 di negara ini selepas melihat sambutan menggalakkan daripada beberapa siri sebelum ini.

Pengguna di Malaysia boleh mengikuti siaran secara langsung pelancaran global Huawei P30 menerusi YouTube Huawei Mobile.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 11:17 AM