FAKTOR ‘wow’ memang ada.
FAKTOR ‘wow’ memang ada.
Afiq Hanif


Bermain PUBG dan Mobile Legends menggunakan Xiaomi Mi Mix 2S memang menjadikan sebulan memakai fon terbabit sangat sekejap rasanya.

Tanpa ‘lag’ dan tempoh bateri lama menjadikan penguji gian seolah-olah tiada cacat cela pada Mi Mix 2S itu.

Itulah faktor ‘wow’ ditambah lagi sekali pandang memang tidak akan kelihatan dinding telefon kerana ia seolah-olah paparan imej terapung menyerlahkan imej cantik pada skrin.

Mana tidaknya, telefon ini datang dengan nisbah paparan tanpa bezel pada skrin 5.99 inci jenis FHD+ memang mempamerkan visual cantik.

Sekali gus, ia bermakna jarak antara skrin dan hujung telefon kini seolah-olah tiada lagi dipamerkan dan penguji yang mencubanya memang mengakui kehebatan peranti ini menampilkan skrin jenis itu.

Paparan IPS yang hampir tiada bezel ini bagaimanapun hanya cukup untuk 1080p, secara teknikalnya ia 2160 x 1080 piksel yang membolehkannya mempunyai nisbah aspek 18:9 iaitu sedikit lebar berbanding ‘frame’ video yang biasa.

Namun, Xiaomi terpaksa membuang beberapa komponen utama di ruang depan telefon seperti kamera depan dan penerima panggilan yang digantikan dengan inovasi khas getaran bagi mendengar suara pemanggil.

Agak menjengkelkan kalau mahu berswafoto kerana penguji terpaksa memusing telefon 180 darjah memandangkan kameranya terletak di bawah berbanding atas seperti kebanyakan telefon biasa, tapi ia bukan isu besar.

Meskipun tiada pembesar suara di atas untuk mendengar panggilan, tapi masih boleh menerima atau membuat panggilan seperti biasa dan mendengar suara di pihak sebelah berasaskan getaran suara hasil teknologi Xiaomi.

Uniknya, orang lain masih tidak boleh mendengar panggilan terbabit meskipun suaranya boleh dikatakan datang dari belakang.

Xiaomi Mi Mix memanfaatkan Snapdragon 845 dan RAM 6GB boleh dikatakan lancar.

Mi Mix menggunakan port USB-C dan baterinya pula berkapasiti 3400mAh. Penguji mampu mengecas dalam tempoh dua jam bagi memperoleh hingga 100 peratus bateri.

INFO:

PRODUK: XIAOMI MI MIX 2S

PENGELUAR: Xiaomi

CIRI: Tanpa bezel

PRO: Paparan cantik

KONTRA: Kalau jatuh, habis!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 2:10 PM