URUT belikat redakan sakit belakang, bahu dan leher
URUT belikat redakan sakit belakang, bahu dan leher
Siti Zarinah Sahib


DUDUK lama di hadapan komputer, mengangkat barang berat dan tidur dalam posisi yang salah menyebabkan ramai individu berhadapan masalah sakit leher serta ketegangan di bahagian bahu.

Walaupun kerap berurut, ia cuma mampu meredakan kesakitan seketika sahaja. Apabila melakukan aktiviti yang sama, rasa tidak selesa ini datang semula.

Selagi urutan kepada bahagian belikat tidak diselesaikan, selagi itulah wanita akan terus merasai kesakitan dan tegang pada bahagian ini. Malah jika tidak dirawat boleh menyebabkan sakit kepala, angin dalam badan serta demam.

Menurut pemilik Magnolia Salon dan Spa, Suryani Zakaria, apabila berkunjung ke pusat rawatan dan kecantikan, ramai orang tidak tahu masalah yang mereka hadapi. Kebiasaannya mereka melakukan urutan badan secara keseluruhan tanpa menjelaskan bahagian yang perlu diberikan tumpuan.

“Selepas dikenal pasti, kebanyakan wanita memberitahu mengalami masalah sakit belakang, bahu dan leher dan kawasan ini sebenarnya adalah belikat. Belikat adalah kawasan urat di bahagian tengah belakang bersambung sehingga kedua-dua bahu dan belakang telinga.

“Jadi apabila kawasan ini sakit, ia turut menjejaskan otot bahu. Pada masa sama ketegangan urat ini turut menyebabkan kepala tidak boleh menoleh malah mengakibatkan sakit kepala yang kronik,” katanya.

Ada sesetengah individu akan merasai kebas tangan, lenguh bahu dan lengan sehingga sukar bernafas. Oleh itu cara paling berkesan adalah dengan mendapatkan rawatan urutan pascal belikat di bahagian bahu sehingga ke kepala.

Menjelaskan lebih lanjut ujar Suryani, sepanjang mengendalikan pusat rawatan, dia banyak menerima kes kesakitan pada bahagian belakang yang dialami wanita. Ini berpunca daripada postur tubuh yang tidak betul ketika duduk mengendalikan komputer dan ketika mengangkat barang berat.

“Apabila ini berlaku, seseorang itu akan rasa tegang pada belakang dan leher. Lama-kelamaan urat menjadi tersimpul dan kesakitan sukar diredakan,” katanya.

Untuk pascal belikat, urutan bermula di bahagian belakang dengan ‘mencungkil keluar’ urat yang tersepit menggunakan hujung jari tangan, seterusnya meredakannya menerusi urutan lembut dan perlahan. Memang ada kala individu merasai kesakitan akibat urutan kuat ini namun ia hanya bersifat sementara.

“Proses ini juga mampu melembutkan simpulan urat seterusnya membuang angin dalam badan. Namun jika pesakit berasa sakit mereka boleh memberitahu juruterapi agar mengurangkan tekanan urutan,” katanya.

Ketika diurut pesakit harus berada dalam keadaan meniarap atau boleh duduk untuk kesan yang maksimum. Urut menggunakan bahagian tapak tangan bagi memperbetulkan urat yang tersimpul. Kemudian bergerak ke bahagian telinga sehingga ke pangkal leher. Boleh dilakukan urutan secara serentak atau sebelah demi sebelah.

“Bahagian ini sangat penting untuk diberikan perhatian kerana sekiranya simpulan urat tidak dilegakan pesakit akan berhadapan dengan kesakitan yang lebih teruk sehingga tidak mampu memusingkan kepala,” katanya yang menasihatkan wanita supaya mencari tukang urut berkebolehan dalam mengurut belikat kerana mencari titik tumpu otot adalah sangat penting bagi memastikan kesakitan dapat dikurangkan.

URUT menggunakan tapak tangan di bahagian belikat. Kanan, cungkil urat di bahagian tengah sehingga ke leher.
URUT menggunakan tapak tangan di bahagian belikat. Kanan, cungkil urat di bahagian tengah sehingga ke leher.

TIP ELAK SAKIT BELAKANG:

1. Kurangkan membongkok

Membongkok ketika ada sedang duduk akan memburukkan lagi masalah sakit belakang anda. Sebaiknya apabila berada di depan komputer, cuba duduk dengan tegak di atas kerusi berpenyandar. Letakkan bantal lembut di belakang badan untuk memberi sokongan pada tulang belakang dan punggung.

2. Ambil barang cara yang betul

Pastikan anda membongkok dan melutut ketika mengambil barang di lantai. Elakkan mengambil ketika sedang membongkok kerana ia akan menyebabkan kesakitan belakang badan bertambah teruk.

3. Berurut

Berurut dapat mengurangkan dan meredakan kesakitan. Tetapi pastikan anda berurut dengan terapi berpengalaman yang mengetahui bahagian titik otot yang perlu diredakan.

4. Berjalan perlahan

Jika anda mengalami sakit belakang elakkan berbaring. Sebaliknya bangun perlahan-lahan dan berjalan di sekitar rumah anda. Bersukan menjadi salah satu cara paling berkesan untuk meredakan sakit belakang dengan cepat. Anda boleh berenang atau berjalan santai di sekitar depan rumah anda.

5. Letak ais

Letakkan pek ais di kawasan yang sakit membantu mengurangkan rasa sakit dan keradangan akibat kecederaan. Cuba lakukan ini beberapa kali sehari selama 20 minit. Selain itu anda boleh membeli koyok ataupun ubat tampal pada belakang badan buat sementara waktu. Ia memberi kesan rasa panas dan sejuk untuk mengurangkan kesakitan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 5:20 AM