MURID SK Sibugal Besar belajar mengenai tabiat pemakanan sihat, amalan kebersihan dan gaya hidup aktif dalam sesi N4HK.
MURID SK Sibugal Besar belajar mengenai tabiat pemakanan sihat, amalan kebersihan dan gaya hidup aktif dalam sesi N4HK.
Yusliza Yakimir Abd Talib


TIADA apa yang lebih menggembirakan ibu bapa selain melihat anak membesar dengan sihat, cergas dan dapat menerima didikan sebaik mungkin.

Tidak kira di mana dan latar belakang kita, semua ibu bapa memang mahu memberikan kehidupan yang terbaik kepada anak mereka mengikut kemampuan masing-masing selaras dengan perkembangan semasa.

Ini jugalah misi Nestle Malaysia' yang komited dalam menggalakkan gaya hidup sihat melalui program Nestle for Healthier Kids (N4HK) yang kini sedang rancak untuk menjangkau kehidupan 5,000 kanak-kanak sekolah di Sabah dan Sarawak.

Seramai 250 murid sekolah terbabit dalam sesi N4HK lanjutan yang bermuka di Sekolah Kebangsaan Sibugal Besar, Sandakan, Sabah. Kanak-kanak ini diberikan pendedahan dengan aktiviti di luar bilik darjah seperti Amalan Gaya Hidup Sihat, Piramid Makanan, Makan Secara Teratur, Pilihan Makanan Sihat, Kebersihan Diri dan Jom Aktif iaitu acara senamrobik yang menyeronokkan.

Menurut Pengurus Nutrisi Korporat Kumpulan, Nestle (Malaysia) Berhad, Wong Mei Ching, berikutan peningkatan masalah penyakit tidak berjangkit yang disebabkan gaya hidup, jadi amat penting untuk mendidik anak mengenai amalan pemakanan yang baik dan menggalakkan gaya hidup aktif.

Kita juga tentu tidak mahu terus berbangga menjadi negara dengan penduduk paling gemuk di Asean kerana kegemukan dan obesiti boleh menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan yang seterusnya meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan sedangkan ia boleh dielakkan.

Tentunya cara yang lebih baik ialah dengan memulakannya dari peringkat awal iaitu kanak-kanak supaya ia boleh menjadi amalan sepanjang hayat.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, satu daripada dua rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan dan kajian juga membuktikan pelajar sekolah mempunyai kecenderungan untuk tidak mengambil sarapan.

Masih ramai yang tidak sedar kegagalan mengambil sarapan boleh menjejaskan tumpuan terhadap pembelajaran. Ini juga dibuktikan dalam kajian yang mendapati pelajar yang mengambil sarapan bukan saja lebih bertenaga malah menunjukkan prestasi lebih baik di sekolah.

“Program N4HK adalah sejajar dengan misi kami yang mahu meningkatkan kualiti hidup dan menyumbang balik dalam membentuk masyarakat sihat pada masa hadapan.

“Kami gembira tahun ini kami dapat memanjangkan program ini ke Sabah dan Sarawak. Diharap, dengan langkah ini kami dapat merealisasikan objektif mencapai 30,000 murid sekolah dalam tahun ini,” katanya.

Dilancarkan pada 2010, N4HK adalah program pendidikan yang dirangka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) bagi meningkatkan ilmu pemakanan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan murid sekolah rendah berusia tujuh hingga 12 tahun.

Lebih menarik, program N4HK tahun ini turut membabitkan ibu bapa melalui beberapa siri bengkel bagi memberi kefahaman kepada mereka supaya boleh membantu dan menyokong anak ke arah gaya hidup sihat.

Malah dengan pendedahan berkenaan juga, secara tidak langsung ibu bapa diberi ilmu mengenai pemakanan sihat supaya boleh melakukan perubahan dalam keluarga masing-masing yang seterusnya memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:00 AM