IBU bapa digalak bawa anak berjalan di tepi pantai apabila ada masa terluang.
IBU bapa digalak bawa anak berjalan di tepi pantai apabila ada masa terluang.
Siti Nadirah Hafidzin


“JANGAN pegang pasir itu, kotor tangan nanti, ada tahi kucing dan banyak kuman. Jangan buka selipar, nanti terpijak benda tajam” jerit si ibu apabila melihat anak berumur dalam lingkungan tiga hingga enam tahun bermain pasir di tepi pantai.

“Baik-baik nanti pasir masuk mata, mulalah esok lusa tak sihat,” sambung si ibu memberi penjelasan kepada anaknya.

Ini bukan perkara baharu, malah sejak bertahun-tahun lamanya, kanak-kanak diajar tidak bermain pasir dan tanah selain perlu memakai selipar ketika bermain di tepi pantai bagi mengelak jangkitan virus melalui tangan dan kaki daripada persekitaran.

Hakikatnya, ramai kanak-kanak sangat gemar bermain pasir dan tanah. Mereka juga lebih suka menanggalkan kasut ketika bermain untuk memijak pasir dan memegangnya menggunakan tangan tanpa dihalang.

Setiap ibu bapa perlu mengetahui aktiviti berkelah di tepi pantai dengan hanya duduk di atas tikar dan membenarkan anak memegang, meramas dan bermain dengan pasir sangat memberi manfaat kepada proses pembesaran mereka terutama yang berusia dalam lingkungan umur satu hingga enam tahun.

Mengupas mengenai pendedahan anak kepada pasir, Kaunselor Keluarga dan Kanak-Kanak Zumasni Rajikin berkata, setiap ibu bapa dan penjaga sangat perlu memberi pendedahan mengenai pasir yang juga sumber alam yang hebat kepada setiap anak.

“Pemerhatian dilakukan mendapati lebih 50 peratus kanak-kanak dan bayi masa kini tidak biasa dan berasa geli apabila terpijak dan terpegang pasir.

“Situasi itu nyata membimbangkan dalam aspek pembesaran anak. Ramai ibu bapa memberi alasan tinggal di kediaman jenis pangsapuri yang tidak mempunyai pasir menyebabkan anak juga tidak pernah mengenali dan bermain dengan pasir juga tanah,” katanya.

Menurutnya, ramai juga yang memberi alasan bimbangkan kebersihan pasir menyebabkan anak tidak diberi kebenaran bermain dengan sumber alam ini.

“Hakikatnya, banyak kelebihan di sebalik aktiviti bermain pasir kepada kanak-kanak. Anda boleh mencuci tangan dan kaki anak atau mandikan mereka sebaik selesai bermain pasir sekiranya bimbangkan soal kebersihan.

AJAR anak bermain pasir
AJAR anak bermain pasir

“Pasir adalah mainan terbaik untuk kanak-kanak kerana ia sesuatu yang bebas untuk diteroka. Tidak ada betul atau salah ketika bermain pasir dan anak berpeluang meneroka pelbagai perkara ketika bermain pasir. Bayi mungkin hanya menguis dan meramas pasir manakala anak yang lebih besar akan membuat pelbagai bentuk menggunakan acuan yang mereka mahukan,” ujarnya.

Katanya, terlalu banyak proses pembelajaran berlaku secara tidak langsung ketika bermain pasir antaranya kanak-kanak dapat belajar perbezaan sifat pasir kering dengan pasir basah.

“Mereka juga perlu berfikir bagaimana membuat binaan yang teguh dan seimbang menggunakan pasir. Semua ini memerlukan pemerhatian dan analisis ketika bermain.

“Lebih menarik, bermain pasir juga dapat memberi pendedahan konsep matematik dan pengiraan kepada si anak. Konsep lebih banyak, kurang dan sama banyak dapat difahami dengan lebih mudah ketika bermain pasir.

“Mereka juga dapat belajar kemahiran membuat anggaran kuantiti pasir dan saiz bekas yang sesuai. Ukuran sudu kecil, sudu besar dan cawan juga boleh diperkenalkan kepada anak yang sudah bersedia mempelajarinya,” katanya.

Zumasni berkata, atas pelbagai faktor dan kesan positif itu, dia amat menggalakkan ibu bapa membawa anak berjalan di tepi pantai dan bermain pasir apabila mempunyai masa terluang.

“Daripada pusing pusat beli-belah, lebih baik dan berfaedah sekiranya anda membawa anak berjalan-jalan meneroka alam terutama pasir. Mungkin boleh biasakan anak anda dengan pasir dengan membawa mereka sekali dalam sebulan.

“Jika terlalu susah untuk ke pantai, ibu bapa bolehlah dapatkan pasir bersih untuk bawa balik ke rumah dan berikan kepada si anak untuk bermain. Jangan terlalu memikirkan soal kebersihan rumah demi tumbesaran yang baik buat si kecil anda,” ujarnya.

MANFAAT BERMAIN PASIR

1. MERANGSANG MOTOR HALUS

Menggenggam, menghancurkan, menggumpal dan menyelerakkan pasir membantu membina otot kasar dan otot halus. Anak-anak boleh berlari, melompat, berguling dan menggali. Apabila berada di pantai pula anak-anak boleh belajar berjalan di pasir yang kering ataupun basah.

2. MENJADIKAN DERIA LEBIH PEKA

Pasir adalah bahan perangsang deria yang sempurna untuk kanak-kanak yang suka kepada sentuhan. Kanak-kanak mahu menyentuh segala-galanya dan sentiasa mencari kaedah sentuhan. Anak-anak akan menyentuh, memerah dan bermain pasir dengan gembira.

3. MENULIS DAN MELUKIS

Sebelum kanak-kanak cukup bersedia menggunakan pensel untuk belajar menulis, mereka perlu diberi peluang untuk mengamalkan kemahiran melukis dan pra-penulisan dalam pelbagai deria dan bermain pasir adalah jawapan paling tepat.

Kanak-kanak boleh menggunakan jari atau alat-alat kecil untuk menulis dan melukis di pasir. Ini boleh memberikan mereka beberapa input deria tambahan dan membantu mereka mengamalkan genggaman pensel dengan baik.

4. PEMIKIRAN KREATIF

Pasir boleh dimain dengan pelbagai cara dan gaya. Caranya tidak terhad seperti bermain bola yang hanya menyepak dan membaling. Apabila bermain pasir, anak terdedah dengan cara bermain yang tidak terhad dan ia menjadikan penjanaan idea kreatif itu berlaku. Selepas adanya idea, ada pula proses melaksanakan bagaimana idea itu berlaku.

Memberikan kanak-kanak sebesen pasir bersama-sama beberapa alat, bahan acuan atau bangunan, anda memberikan anak anda peluang untuk menjana idea kreatifnya.

5. AKTIVITI CERIA

Bermain pasir adalah aktiviti yang amat menceriakan kanak-kanak. Boleh bermain dengan pelbagai cara.

6. PERKEMBANGAN BAHASA DAN SOSIAL

Tanpa sedar, bermain menggunakan pasir boleh membantu dari sudut perkembangan bahasa dan sosial kanak-kanak. Mereka boleh berangan ketika bermain pasir selain cuba untuk tahu pelbagai perkara baru dan ia membantu mereka untuk lebih banyak berfikir dan bercakap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 6:00 AM