FATIHAF cekap menguruskan proses penghasilan batik.
FATIHAF cekap menguruskan proses penghasilan batik.
Intan Mas Ayu Shahimi


TERUJA melihat kecekapan dan kreativiti wanita ini mencanting serta mewarna batik di bengkel miliknya di Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan minggu lalu.

Dalam cuaca terik dan angin sepoi bahasa, Fatihaf A Latiff, 35, fokus pada fabrik yang terbentang di depan mata. Langsung tidak terganggu biarpun disapa ahli rombongan yang mengikuti lawatan liputan media anjuran Kraftangan Malaysia.

Kata Fatihaf, sebelum bergelar usahawan batik, dia mengikuti pengajian diploma Seni Kraf Batik di Institut Kraf Negara (IKN) selama tiga tahun. Kemudian wanita ini mencari pula pengalaman dengan membuat khidmat kraf di Selayang, Selangor.

“Saya bermula dalam bidang keusahawanan batik pada 2009. Memang balik saja ke Kelantan, saya menjadi inkubator kraf tangan selama lima tahun.

“Sebagai orang baharu dalam industri, percubaan pertama saya menggunakan modal sekitar RM10,000. Saya reka corak batik, mencanting dan mewarna sendiri. Sedikit demi sedikit, barulah modal bertambah dan perniagaan kian stabil,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Fatihaf, dia bertuah kerana mendapat dorongan dan sokongan keluarga sejak mula terutama ibu, bapa dan suami tercinta.

“Pada awal dulu, keluarga memang suruh berniaga. Kata mereka, memandangkan saya sudah belajar dalam bidang ini, jadi sesuailah kalau hendak berniaga.

“Namun, saya sendiri memilih menjadi usahawan batik kerana percaya industri ini mampu berdaya saing, kekal dan terus segar, tidak ditelan zaman.

“Tambahan batik memang mempunyai peminat tersendiri. Mereka terdiri daripada orang kebanyakan, kenamaan, hinggalah kepada kerabat di istana. Apabila permintaan sentiasa ada, bermakna peluang untuk menjana untung akan terbuka,” katanya.

Menurut Fatihaf dia jatuh cinta pada batik kerana keunikan seni yang ada padanya. Bagi ibu kepada dua anak ini, batik Malaysia sentiasa menonjolkan kelainan dan keutuhan hasil seni yang berkualiti berbanding negara jiran.

“Saya jadi seronok mencanting batik. Lebih teruja apabila melihat orang lain cantik apabila memakai hasil karya kita. Sehingga ke hari ini, jenama Tinta Batik House yang saya bangunkan sudah mendapat pengiktirafan daripada Kraftangan Malaysia.

“Kami juga mendapat sijil ISO untuk standard batik berkualiti, rekaan segar, warna tidak luntur dan diminati penggemar batik dari dalam serta luar negara.

“Selain berkarya, saya juga seronok memajukan industri batik tempatan kerana ia memberi pulangan berbaloi buat syarikat dan keluarga. Apabila memiliki kilang sendiri, secara automatik saya mempunyai lebih banyak masa dengan keluarga dan anak. Kalau sibuk sekalipun, saya masih boleh mengatur jadual, mengasingkan keperluan bekerja dengan anak,” katanya.

MARTABAT BATIK

Ditanya sama ada wanita ini mewarisi bakat mencanting daripada keluarga, kata Fatihaf, ia lahir daripada minat dan ketekunannya untuk mengangkat seni batik ke mata dunia.

“Dalam keluarga, tidak ada yang berniaga batik. Ada pun, cuma sepupu dan saudara jauh. Saya banyak mengenal batik melalui IKN. Masa itu, saya cuma terfikir hendak mendalami ilmu dan menjadi usahawan batik.

“Saya mahu menjadi antara generasi muda yang komited dalam berbakti kepada dunia seni dan warisan negara, khususnya batik. Saya percaya batik boleh ke hadapan dan menyimpan impian menjadikan usahawan batik sebagai kerjaya dihormati.

“Bayangkan, ketika orang sibuk mengejar kerjaya di bidang profesional, batik tetap berupaya membantu menjana ekonomi negara. Ia memberi pulangan pendapatan yang tinggi untuk keluarga.

“Sebab itu saya selalu ingatkan pelanggan daripada agensi kerajaan mahupun swasta, sokonglah batik Malaysia. Sarung pakaian yang diperbuat daripada batik tempatan, bukan Indonesia kerana batik kita jauh berkualiti daripada mereka,” katanya.

Jelas Fatihaf, besar cabaran terpaksa ditempuh untuk pengusaha sepertinya ialah memartabatkan batik negara. Lebih-lebih lagi dengan adanya produk ciplak dari China.

“Sejak dulu, cabaran dalam dunia fesyen batik tidak pernah hilang. Kita terpaksa berlawan dengan batik cetak dari China dan Indonesia. Mereka ini lazimnya meniru batik asli untuk dijadikan kain ela.

“Kalau meniru, sudah tentulah harganya lebih murah. Mereka tidak menggunakan tenaga mahir sebaliknya bergantung kepada mesin. Kita di sini menggunakan tenaga pakar untuk mencanting batik. Prosesnya agak lama dan memakan masa.

“Jadi, masyarakat terus membeli kain ela ciplak buatan China, siapa hendak menyokong batik asli di Malaysia? Saya harap pengguna lebih bijak menilai. Pakailah batik asli, bukan yang ditiru atau dibuat di Indonesia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 5:05 AM