BADAN dibersihkan dan direndam dalam mandian susu dan bunga. FOTO: Aziah Azmee
BADAN dibersihkan dan direndam dalam mandian susu dan bunga. FOTO: Aziah Azmee
Yusliza Yakimir Abd Talib


DARIPADA masalah ringan seperti sedikit bintik di muka, belakang badan dan dada, jerawat boleh berlarutan hingga menyebabkan tekanan emosi serta parut kekal jika tidak dirawat. Meskipun wajah adalah bahagian tubuh yang paling kerap dijangkiti, jerawat di badan juga sering meresahkan sesiapa saja yang mengalaminya.

Memanglah jerawat di badan boleh ditutup atau terlindung di sebalik pakaian kita, namun bagi yang mengalaminya, perasaan malu, tidak selesa dan keyakinan pasti merudum ketika melihat diri di depan cermin.

Secara umumnya jerawat adalah keadaan abnormal pada kulit disebabkan gangguan rembesan berlebihan kelenjar minyak hingga menyebabkan liang roma tersumbat, sekali gus menimbulkan radang.

SUE
SUE

Ada banyak faktor yang menjadi punca jerawat, antaranya hormon terutama untuk perempuan dalam lingkungan umur subur.

Sesetengah masalah jerawat juga timbul akibat ketegangan dan tekanan emosi yang dihadapi setiap hari. Ini mungkin akibat penghasilan minyak dan sebum di kulit yang bertambah.

Selain itu, pendedahan kepada asap dan bahan kimia atau faktor alam sekitar seperti cuaca panas turut menyumbang masalah itu.

Walau apa pun punca yang menyebabkan jerawat, apa yang perlu dilakukan adalah mengatasinya daripada terus mengganggu dan membelenggu anda.

BAHAN digunakan untuk lulur.
BAHAN digunakan untuk lulur.

Selain ubat-ubatan yang disyorkan doktor pakar, kita juga boleh mengatasi atau mengelakkan masalah jerawat di badan ini daripada terus berlaku dengan mengamalkan lulur badan yang dihasilkan menggunakan bahan semula jadi.

Lulur manggis misalnya, antara perawatan badan organik yang dapat mengurangkan masalah jerawat di badan di samping melembut dan menyegarkan tubuh.

Lulur manggis bersama gabungan bahan lain yang dioleskan pada permukaan kulit dibiarkan selama beberapa ketika hingga kering dan kemudian dibilas bersih.

Proses membiarkan selama beberapa waktu itu membolehkan bahan aktif dalam lulur meresap ke dalam kulit.

Menurut Pengasas Scentual Beauty, Sue Abdullah, perawatan lulur manggis disediakan di pusat rawatan di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur itu dimulakan dengan sauna, lulur, pupur, mandi bunga dan susu serta sapuan minyak aromaterapi untuk kesegaran tubuh.

Katanya, perawatan dimulakan dengan sauna yang mengambil masa 20 hingga 25 minit memberi manfaat buat tubuh supaya lebih relaks dan menghilangkan tekanan serta melembutkan kulit.

Rawatan kemudian dimulakan dengan lulur apabila juruterapi akan menyental seluruh badan menggunakan campuran ekstrak manggis.

Katanya, lulur manggis bukan saja dapat membersihkan kulit dengan membuang sel kulit mati dan mengurangkan jerawat badan, menjadikannya lebih sihat dan lembut, malah ia juga dikatakan mampu memperbaiki peredaran darah serta membantu memperbaiki beberapa masalah kulit, menghilangkan bau badan dan daki.

“Lulur boleh dibancuh dengan santan, yogurt atau air mawar hingga sebati, jangan terlalu cair. Basahkan kulit dengan air atau minyak zaitun untuk melembutkan kulit dan senang nak tanggalkan daki apabila menggosok.

“Kemudian, sapu rata dan biarkan seketika hingga separa kering sebelum gosok perlahan untuk tanggalkan daki. Proses diteruskan dengan mandian bunga dan susu bagi menambah kesegaran badan yang membuat pelanggan berasa lebih tenang dan segar. Sapukan minyak urutan aromaterapi untuk memelihara kelembapan kulit,” katanya.

GOSOK perlahan dengan gerakan pusingan untuk menanggalkan sel kulit mati.
GOSOK perlahan dengan gerakan pusingan untuk menanggalkan sel kulit mati.

Selain mengamalkan perawatan lulur untuk mengatasi masalah jerawat badan, Sue turut berkongsi tip bagi mengurang dan mengelakkan masalah itu antaranya:

- Setelah melakukan aktiviti luar rumah sepanjang hari, gantikan pakaian anda.

- Elak menggunakan pakaian yang berlapis agar bahagian dada dan badan tidak tertutup rapat.

- Elakkan memakai pakaian yang tidak menyerap peluh.

- Jaga kebersihan diri.

- Amalkan gaya pemakanan sihat.

- Sentiasa tukar tuala dan cadar tempat tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 4:30 AM