PILIH juadah ketika jamuan Aidilfitri untuk jaga kesihatan diri.
PILIH juadah ketika jamuan Aidilfitri untuk jaga kesihatan diri.
Siti Zarinah Sahib


GENAP seminggu lebaran diraikan dengan penuh kemeriahan. Selain dianggap sebagai bulan kemenangan, Syawal turut dikaitkan dengan limpahan makanan.

Melalui rumah terbuka pelbagai juadah enak dihidangkan. Kebanyakan yang disajikan seperti lemang, rendang, lontong, kari, biskut dan kek mempunyai jumlah kalori yang tinggi.

Oleh itu, pengambilan juadah seumpama ini tanpa kawalan boleh memberi risiko kepada kesihatan, sekali gus mendekatkan kita kepada risiko masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan obesiti.

Menurut Perunding Diet, Nurul Aziah Musa, sangat sukar mendidik masyarakat untuk makan secara sihat sepanjang Syawal. Ini kerana sejak bertahun-tahun lamanya raya dilihat sebagai bulan untuk menikmati apa sahaja juadah enak yang dihidangkan.

“Sama seperti budaya kunjung-mengunjung, menikmati juadah raya juga menjadi amalan yang sukar diubah, apatah lagi bagi sesetengah pendapat mengatakan ia disambut setahun sekali. Justeru, apalah salahnya jika menikmati semua hidangan disajikan,” katanya.

Bagi individu normal sudah semestinya tidak berasa ‘bersalah’ makan apa sahaja, berbeza bagi yang berpenyakit atau obes seharusnya lebih berhati-hati memilih makanan bagi memastikan tahap kesihatan mereka terjaga.

Secara umumnya ada beberapa perkara yang boleh diikuti bagi mengekalkan gaya hidup sihat sepanjang Syawal antaranya:

1. MAKAN IKUT WAKTU

Sama seperti bulan lain, setiap orang perlu memastikan makan secara teratur mengikut waktu iaitu mengambil sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Sebagai contoh, sekiranya anda sudah bersarapan di rumah dan kemudian berkunjung ke rumah terbuka pada waktu tengah hari, ambil makanan yang nilainya sama seperti makan tengah hari. Jadi apabila berkunjung ke rumah kedua atau ketiga, elakkan makan seperti makan tengah hari, sebaliknya ambil snek buah-buahan sahaja.

2. BUAT PILIHAN BIJAK

Pastikan anda membuat keputusan atau pilihan bijak. Sekiranya banyak menerima undangan ke jamuan rumah terbuka, tidak semestinya anda perlu menghadiri semuanya. Cuba elak daripada menghadiri terlalu banyak majlis. Namun sekiranya anda tidak dapat mengelak, pastikan anda tidak mengambil makanan berat.

3. PILIH MENU SIHAT

Hakikatnya sangat sukar mendapatkan menu sihat ketika jamuan Aidilfitri. Anda masih boleh memilih makanan berkuah seperti sup atau soto serta buah-buahan. Bagi makanan berlemak seperti lontong atau mi kari, elakkan menghirup kuah terlalu banyak. Elakkan makanan berlemak atau berminyak seperti lemang dan rendang juga makanan manis seperti kek dan biskut serta mengandungi banyak garam seperti kerepek.

4. AMBIL DALAM JUMLAH KECIL

Pilih pinggan kecil bagi memastikan anda tidak mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Walaupun sajian enak terhidang di depan mata, sentiasa ingat untuk mengamalkan konsep suku-suku-separuh iaitu suku untuk lauk, suku untuk nasi dan separuh lagi diisi dengan buah-buahan serta sayur-sayuran.

5. MINUM AIR KOSONG

Bawa botol air sendiri ke mana-mana anda pergi. Ini membolehkan anda minum air kosong. Elakkan minuman berkarbonat yang tinggi gula dan minuman manis yang lain.

6. SENAMAN

Sebelum menghadiri rumah terbuka, apa kata anda bersenam terlebih dulu bagi membakar kalori. Melalui cara ini anda tidak berasa bersalah untuk menikmati ketupat, rendang dan apa juga hidangan yang lain.

Selain aspek pemakanan sihat secara individu, adalah penting bagi penyedia atau penganjur rumah terbuka beralih kepada meraikan tetamu dengan menghidangkan makanan sihat.

“Antara yang boleh diusahakan adalah dengan menyediakan lebih banyak buah-buahan pelbagai warna serta sayur-sayuran. Hidangan ini boleh disediakan dalam bentuk rojak buah, salad, gado-gado atau pecal.

“Gunakan kaedah memasak iaitu membakar, merebus, kukus atau panggang dalam setiap hidangan anda,” katanya dalam majlis pelancaran minuman multi bijirin keluaran tempatan, S Great Grain.

Selain itu, sediakan makanan dalam saiz hidangan yang kecil, menyediakan air kosong kepada tetamu, mengasingkan gula apabila menghidangkan minuman seperti teh dan kopi bagi memberi ruang kepada tetamu menentukan kuantiti gula yang diingini di dalam minuman berkenaan.

Menurut Nurul Aziah, rahsia pemakanan sihat bagi keluarga adalah dengan menyajikan makanan kaya nutrisi dalam setiap hidangan. Ini boleh dilakukan dengan mendidik ahli keluarga mengenai pengambilan bijirin sebagai menu utama dalam sarapan setiap hari.

“Menerusi bijirin S Great Grain keluaran Surya Malaysia, kandungan oat yang kaya beta glucan membantu dalam pengurusan berat badan yang ideal menyebabkan individu cepat berasa kenyang, sekali gus memperlahankan kadar pemakanan dan pencernaan.

“Memandangkan ia juga berfungsi untuk menstabilkan tekanan darah dan kolesterol, minuman ini membantu menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular,” katanya.

Kandungan bahan moden bersama makanan sunah turut membantu mengimbangi paras glukosa dalam darah, sekali gus mengawal kepekaan insulin manakala kandungan serat yang tinggi meningkatkan proses pencernaan dan mengurangkan risiko sembelit. Mereka yang mempunyai masalah berat badan serta ingin mendapatkan berat badan ideal sepanjang Syawal ini boleh mengamalkannya sebagai permulaan.

“Selepas mengambil pelbagai makanan berlemak dan berminyak sepanjang Syawal, tiba masanya anda memikirkan mengenai cara mendapatkan berat badan ideal iaitu menerusi amalan pemakanan seimbang. Ini boleh dilakukan dengan mengambil bijirin setiap pagi secara konsisten,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 4:30 AM