DINAS menyiram pokok menggunakan air daripada Bokashi ini.
DINAS menyiram pokok menggunakan air daripada Bokashi ini.
Siti Zarinah Sahib


SEJAK menuntut di universiti, Dinas Elni Marni Punawan sudah mengamalkan pengasingan sampah membabitkan bahan kitar semula dan sampah basah. Mendalami jurusan kejuruteraan kimia membuatkan wanita ini sentiasa mencari jalan untuk memulihara alam sekitar sekali gus menjadikan kawasan sekitar rumahnya lebih bersih.

Bermula dengan kaedah menanam sampah basah di belakang rumah, namun ia tidak praktikal kerana tikus mula mengorek lubang dan menyepahkan semua sampah yang ditanamnya. Lalu dia mula menukar teknik lain iaitu menebuk lubang pada satu bekas besar bertutup.

“Semua sampah basah ini saya masukkan ke dalam bekas ini lalu ditimbus tanah. Begitulah yang saya lakukan setiap hari sehingga bekas ini penuh. Malangnya selepas empat minggu saya sendiri geli melihat banyak ulat besar muncul dan bau yang sangat busuk.

“Saya berasakan kaedah ini kurang berkesan kerana tidak bertahan lama. Selepas membuat banyak kajian dan pembacaan, saya menemui satu kaedah yang lebih praktikal dan sudah lama diamalkan di Jepun iaitu penggunaan tong Bokashi sebagai cara pengurusan sampah domestik dengan lebih bijak,” katanya.

Teknik pengkomposan Bokashi adalah mengumpulkan semua sisa dapur seperti daging, sayur-sayuran, buah-buahan, lebihan makanan dan produk tenusu yang dimasukkan dalam tong kedap udara sebelum ditambah serbuk seperti yis untuk menguraikan sisa berkenaan seterusnya dijadikan baja.

SERBUK Bokashi dimasukkan ke dalam tong khas.
SERBUK Bokashi dimasukkan ke dalam tong khas.

Kata Dinas Elni, kaedah Bokashi hanya memerlukan tong sampah khas kedap udara bagi menghalang sebarang serangga memasukinya serta serbuk Bokashi sebagai bahan penguraian. Di bahagian depan tong ada pili kecil bagi mengeluarkan air terkumpul yang boleh digunakan sebagai baja.

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menapis semua sisa makanan basah seperti kepala ikan, kulit ayam, kulit telur dan sisa sayuran dan buah-buahan supaya tidak terlalu berair. Kemudian sampah ini dimasukkan ke dalam tong Bokashi kemudian taburkan serbuk Bokashi di atasnya.

“Jika pada hari itu ada lebihan makanan keras seperti tulang atau biji mangga, letakkan lebih serbuk Bokashi bagi membantu proses penguraian. Ulang langkah yang sama sehingga tong penuh, kemudian biarkan selama dua minggu bagi membolehkan proses penguraian berlaku dengan lengkap,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh dua minggu sampah tadi akan mengeluarkan bau tetapi tidaklah sebusuk sampah biasa. Baunya seakan-akan buah-buahan masam dan manis sama seperti serbuk Bokashi.

“Sejak membuat pengkomposan ini penggunaan tong sampah semakin mengecil. Seminggu cuma dua kali sahaja saya membuang sampah. Itu pun hanya plastik kecil. Paling penting saya tidak bimbang pada ulat atau bau busuk kerana tiada sisa makanan basah,” katanya.

Kata Dinas Elni lagi, dalam tempoh penguraian ini Bokashi akan mengeluarkan cecair berwarna seperti teh. Air ini sangat boleh dijadikan baja dan membersihkan bekas kotoran pada sinki dan lantai.

“Oleh kerana ia berkesan sebagai baja, cecair ini perlu dicampur dengan air biasa terlebih dulu. Untuk secawan air Bokashi memerlukan 100 cawan air biasa. Jika disiram begitu saja tanaman akan mati,” katanya yang hanya menggunakan air Bokashi untuk menyiram tanam-tanaman di belakang rumahnya.

Jelasnya, kaedah ini sangat berkesan untuk mereka yang mempunyai banyak sampah basah. Bahkan sangat sesuai diamalkan pada Ramadan apabila sisa makanan melebihi hari biasa.

“Selain memudahkan pengurusan sampah, ia juga mesra alam kerana dapat mengurangkan penghasilan gas metana di kawasan pembuangan sampah,” jelasnya.

SAMPAH basah dimasukkan ke dalam tong Bokashi. SELEPAS dua minggu sampah ini akan mengeluarkan air yang boleh dijadikan baja serta bahan pencuci.
SAMPAH basah dimasukkan ke dalam tong Bokashi. SELEPAS dua minggu sampah ini akan mengeluarkan air yang boleh dijadikan baja serta bahan pencuci.

Dinas Elni turut meminta wanita terutama suri rumah mengamalkan kaedah Bokashi ini kerana banyak faedahnya. Selain menjaga alam sekitar ia juga dapat melatih anak mengenai cara pengurusan sampah dengan betul selain mengelak membuang sampah di merata tempat.

Kini masalah pembaziran makanan menjadi isu utama. Keadaan ini menyebabkan sisa makanan perlu diuruskan dengan betul untuk persekitaran yang lebih bersih dan selamat.

“Sebab itu saya sangat mengesyorkan Bokashi ini dilakukan setiap wanita di rumah. Sekurang-kurangnya mereka ada satu tong Bokashi di rumah,” katanya.

Kosnya juga tidak mahal satu tong Bokashi bersama serbuk Bokashi yang dijual menerusi dalam talian berharga RM150 sehingga RM180. Selepas itu individu hanya perlu mengeluarkan RM18 sebulan untuk pembelian serbuk Bokashi.

“Pada peringkat permulaan mungkin akan rasa kekok apabila perlu mengasingkan sampah basah dan kering. Tetapi lama-kelamaan ia menjadi rutin biasa,” katanya yang turut mengasingkan sampah berbentuk sisi minyak masak dan menjual di beberapa tempat pengumpulan minyak masak terpakai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 4:30 AM