FARAH Asyikin berpeluang tunai umrah berkali-kali kerana sering berkhidmat ke destinasi Jeddah dan Madinah.
FARAH Asyikin berpeluang tunai umrah berkali-kali kerana sering berkhidmat ke destinasi Jeddah dan Madinah.
Siti Nadirah Hafidzin


LAIN bidang lain dugaan, lain juga cabarannya dan paling utama adalah semangat serta kekuatan yang membezakan antara insan berjaya atau sebaliknya. Memilih untuk berkhidmat di awan biru sebagai pramugari pada luarannya tampak indah.

Ramai yang beranggapan kerjaya itu menjanjikan pulangan lumayan selain dapat melancong ke serata lokasi menarik namun di sebalik keindahan itu terselit 1,001 dugaan yang sungguh mencabar.

Bukan saja perlu berkorban dari segi masa dan tenaga malah ia lebih kepada emosi serta kekuatan diri terutama ketika berdepan kecemasan atau dugaan yang tidak dijangka terutama dalam penerbangan.

Selain itu, anda juga perlu bersiap sedia untuk berkhidmat ketika Ramadan juga pada hari raya serta berjauhan daripada insan tersayang.

Semua itu dirasai wanita manis kelahiran Ipoh, Perak, Farah Asyikin Mahmud, 26, yang berkhidmat sebagai pramugari Air Asia X sejak tujuh tahun lalu.

“Saya juga sama seperti wanita lain yang mengidamkan untuk berkhidmat di awan biru atas sebab mahu melancong ke seluruh dunia selain berasakan kerjaya ini sangat seronok serta kena dengan jiwa saya.

KENANGAN terindah mengerjakan umrah.
KENANGAN terindah mengerjakan umrah.

“Semua itu hanyalah persepsi saya sendiri sebelum menceburi bidang ini namun apabila mula berkhidmat segalanya tidak semudah disangka. Baru saya tahu bidang ini bukan sekadar perlu tampil cantik, menyarung busana khas pramugari dan tersenyum manis ketika berkhidmat malah lebih daripada itu,” katanya.

Bukan mudah untuk kekal bermuka manis apabila menghadapi kerenah penumpang yang memeningkan. Kesabaran perlu menjadi pendinding hati kala berdepan dugaan dan kata Farah Asyikin, paling utama perlu berlapang dada sekiranya berdepan kerenah penumpang yang sangat menguji kesabaran.

“Semua ini lumrah dan apabila tekad mahu berkecimpung dalam kerjaya ini bermakna anda perlu bersedia untuk mengorbankan masa, tenaga dan emosi anda untuk berbakti dalam tugas.

“Selain itu, jadual kerja juga tidak menentu, saya juga tidak terkecuali perlu bertugas ketika Ramadan, sedih memang ada namun menerimanya dengan hati terbuka dan sentiasa berfikiran positif. Ini antara pengorbanan yang perlu dilakukan demi kerjaya yang saya pilih dan saya tidak menyesal,” katanya.

Katanya, selain itu, bidang itu juga sangat memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

“Kami dilatih selama lebih dua bulan dan perlu menduduki peperiksaan khas serta lulus untuk mendapat lesen penerbangan bagi memastikan keselamatan penumpang diutamakan. Pada masa sama kami juga mempunyai lesen untuk melakukan bantuan pernafasan (CPR) sekiranya berlaku kecemasan.

“Namun seperti yang saya katakan bidang ini memerlukan anda kuat terutama ketika berdepan detik mencemaskan. Masih segar di ingatan saya berlakunya kecemasan ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jeddah apabila seorang warga emas mengalami serangan jantung sehingga meragut nyawanya di dalam penerbangan itu.

“Bohonglah jika saya katakan kami semua okey ketika itu, tentu saja ada rasa sedih dan terkilan namun kami perlu melaluinya serta menyelesaikan semuanya dengan tenang walaupun jauh di sudut hati ini hanya Tuhan saja yang tahu,” katanya.

Menurutnya, di sebalik pelbagai dugaan dan cabaran itu, dia tidak menyangkal kerjaya di awan biru juga mendatangkan keseronokan serta kepuasan apabila berpeluang menjejakkan kaki ke seluruh dunia.

“Walaupun penat namun semua itu berbaloi apabila anda dapat sampai ke negara yang anda impikan. Paling istimewa apabila saya berpeluang menunaikan umrah berkali-kali kerana sering berkhidmat ke destinasi Jeddah dan Madinah.

“Atas sebab itu juga saya terus memberikan yang terbaik dalam kerjaya ini kerana bagi saya semuanya berbaloi,” ujarnya.

BERKORBAN masa dan tenaga demi bidang diceburi.
BERKORBAN masa dan tenaga demi bidang diceburi.

SUAMI BERI SOKONGAN

Bersyukur kerana ditemukan dengan seorang lelaki yang sangat memahami dengan kerjayanya, Farah Asyikin yang juga graduan jurusan Diploma Kewangan dan Perbankan berkata, bukan saja memberi sokongan malah suaminya adalah individu yang menyiapkan resume dan turut menemaninya ketika proses temu duga kerjaya itu kira-kira lapan tahun lalu.

“Selain suami, keluarga juga adalah tulang belakang saya dalam bidang ini kerana mereka sangat memahami serta memberi semangat untuk saya terus berkhidmat.

“Kini semuanya seolah-olah sudah sebati dengan diri, apa lagi yang saya mahukan apabila dapat berkhidmat dalam bidang yang diminati sejak kecil,” katanya.

Kata Farah Asyikin yang turut aktif sebagai model sambilan apabila mempunyai masa terluang terutama ketika cuti, perkara paling utama adalah perlu memberikan yang terbaik dalam apa juga bidang diceburi.

“Saya mengimpikan untuk menggalas jawatan yang lebih tinggi pada masa akan datang selain dapat membanggakan serta membantu suami dan kehidupan keluarga tersayang.

“Apa juga yang dilakukan cubalah cari ketenangan dan keseronokan, lakukan dengan seikhlas hati dan sentiasa bersyukur. Paling utama jangan suka merungut. Itulah pegangan saya selama ini dan saya yakin dengan rezeki yang ditetapkan untuk kita semua,” ujarnya.

KERJAYA ada keseronokan di sebalik cabaran.  FOTO: Aziah Azmee
KERJAYA ada keseronokan di sebalik cabaran. FOTO: Aziah Azmee

Menurutnya, dia turut menasihatkan kepada wanita yang turut mengimpikan untuk berkhidmat dalam kerjaya itu supaya bersedia dari segi mental dan fizikal supaya tidak terkejut.

“Seperti yang saya katakan, bidang ini bukan semata-mata untuk mengejar nama dan glamor namun lebih ia memerlukan pengorbanan yang tidak ternilai terutama sering berjauhan dengan insan tersayang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 5:00 AM