ANTARA rawatan yang dijalankan di spa.
ANTARA rawatan yang dijalankan di spa.
Siti Nadirah Hafidzin


MEMASUKI Ramadan, rutin harian hampir setiap wanita terutama yang bergelar ibu semakin padat. Mana tidaknya, tempoh 24 jam sehari penuh diisi dengan pelbagai tugasan di rumah mahupun pejabat.

Kesibukan itu juga menyebabkan ada di antara wanita yang hanya tidur kira-kira tiga atau empat jam saja hingga menyebabkan tubuh menjadi lesu dan penat.

Hakikatnya, walau sesibuk mana pun, wanita perlu mencari masa merehatkan diri daripada segala kepenatan ketika Ramadan bagi memastikan diri dapat menjalankan tanggungjawab harian sebagai seorang ibu dan isteri serta pada masa sama menjalani ibadat pada bulan mulia.

Umum mengetahui, urutan antara terapi yang bukan saja melegakan tubuh malah dianggap satu keperluan untuk sesetengah golongan.

Lantas, ada penggemar urutan sanggup berhabis ratusan ringgit di spa atau pusat urutan setiap bulan sekadar untuk menghilangkan kelesuan tubuh.

Sepanjang Ramadan ini, tidak salah kiranya setiap wanita meluangkan masa sekurang-kurangnya dua jam untuk menjalani urutan aromaterapi bagi memastikan tubuh kembali bertenaga sekali gus menghilangkan tekanan. Berkongsi terapi urutan aromaterapi Ruzita Jamaluddin berkata, ramai wanita mengadu sering kepenatan disebabkan rutin harian padat sepanjang Ramadan.

RUZITA (tengah) bersama juruterapi di spanya.
RUZITA (tengah) bersama juruterapi di spanya.

“Tidak cukup tidur, penat menguruskan anak, memasak juadah berbuka dan bersahur serta tekanan di pejabat menjadi antara penyebab mengapa ramai wanita lebih mudah berasa letih serta lesu pada bulan mulia ini.

“Langkah terbaik adalah melakukan urutan aromaterapi bagi melegakan segala tekanan. Selain itu, urutan ini juga membantu menyingkirkan lebihan toksin dalam badan, merehatkan otot yang mengalami ketegangan dan mengurangkan kadar degupan jantung serta tekanan darah,” katanya.

Menurut Ruzita yang mengusahakan spa Mawar Putih di Bandar Bukit Puchong, paling utama, urutan itu berupaya merehatkan minda serta menyegarkan tubuh.

“Urutan aromaterapi berbeza dengan urutan tradisional kerana ia bertujuan untuk memberikan kelegaan. Ramai pelanggan yang terlena ketika diurut disebabkan keasyikan teknik urutan dilakukan.

URUTAN melegakan tekanan.
URUTAN melegakan tekanan.

“Saya lebih menyarankan wanita melakukan urutan aromaterapi yang lebih santai dan relaks kerana ia lebih sesuai dilakukan ketika berpuasa,” ujarnya.

Menurutnya, pelanggan akan diurut menggunakan minyak pati aromaterapi yang bersifat lembut dan sederhana serta sesuai dengan semua golongan.

“Tempoh urutan dijalankan adalah sekitar sejam hingga satu jam setengah bergantung kepada permintaan pelanggan dengan harga sekitar RM80 hingga RM120.

“Selain melegakan kepenatan, urutan aromaterapi juga berupaya melicinkan tekstur kulit selain membentuk tubuh,” katanya.

Katanya, paling utama pelanggan dinasihatkan supaya memaklumkan kepada terapi sekiranya mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum melakukan urutan.

“Walaupun urutan aromaterapi bersifat lebih lembut, kami perlu mengetahui keadaan kesihatan pelanggan terutamanya sekiranya sedang hamil bagi mengelak sebarang risiko,” katanya.

Ruzita berkata, selain urutan aromaterapi, pihaknya turut menjalankan pelbagai rawatan lain termasuk sauna, lulur, rawatan wajah, tangas dan mandi bunga serta mandi susu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 6:00 AM