JOY sarankan solekan harian tidak usah berlebihan.
JOY sarankan solekan harian tidak usah berlebihan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

TAMPIL cantik pada hari biasa tidak sesukar yang dibayangkan oleh sesetengah orang, malah solekan dipakai setiap hari seharusnya adalah minimal.

Secalit solekan tipis sudah cukup untuk menampilkan wajah yang segar tanpa aplikasi bedak asas yang terlalu tebal, teknik bayangan mahupun memakai bulu mata palsu.

Cukup dengan sedikit pelembap, krim BB dan bedak padat untuk tampil berseri selain menggunakan celak kening, maskara, celak mata, pemerah pipi yang dioles tipis bagi memberi efek kulit segar serta gincu tipis sebagai penyeri bibir. Nah, anda sudah pun siap.

Perkara itu diakui jurusolek Joy Husin, 46, yang turut mencadangkan hanya peruntukkan 10 hingga 15 minit daripada waktu anda setiap hari sudah memadai untuk tampil berseri tanpa kelihatan berlebihan.

Katanya, seperti perumpamaan ‘kurang itu lebih’ solekan ringkas ini bukan saja memudahkan wanita untuk bersiap, malah dengan teknik yang betul, solekan dapat dibuat pantas, tetapi hasil begitu menyenangkan hati.

Dalam pada itu katanya, solekan adalah sama seperti fesyen yang sentiasa bergerak mengikut trend terkini. Walaupun ada ketikanya trend ini tidak sesuai dengan suasana di Malaysia namun ia tetap mempengaruhi trend solekan di negara ini.

“YouTube menjadi rujukan utama bagi trend yang dicipta selalunya menjadi kegilaan jurusolek baru dan lama. Sungguhpun begitu ia adalah satu perkara yang bagus kerana kita sentiasa mengikuti trend terkini dan mengolah semula dengan gaya solekan tersendiri.

“Namun, bagi jurusolek yang sentiasa mengekalkan solekan malar segar dalam karyanya tetap menjadi pilihan dalam industri kerana solekan malar segar ini tidak lapuk dek zaman.

“Ia sentiasa segar dan digemari sepanjang zaman kerana identitinya yang tidak keterlaluan dari segi penggunaan warna atau fungsinya menaikkan seri wajah tanpa merubah kecantikan asli.

“Apapun jenis solekan yang kita lakukan, perkara pertama harus kita kenal pasti tujuan solekan dibuat dan majlis yang ingin dihadiri. Pastinya paling utama adalah kehendak pelanggan,” katanya.

Joy berkata, kerjaya sebagai jurusolek semakin mendapat tempat, sama ada lelaki ataupun wanita dan kini, banyak pusat latihan dibuka menawarkan pelbagai kursus solekan dan hiasan pengantin.

Kehadiran jurusolek yang semakin bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan dianggap sebagai persaingan sihat kerana baginya setiap jurusolek mempunyai sentuhan berbeza dan tersendiri.

Mula berkecimpung dalam kerjaya sebagai jurusolek sambilan secara profesional sejak sembilan tahun lalu, Joy berkata, semuanya bermula kerana hobi dan minat yang akhirnya menjadi kerjayanya kini.

Boleh dianggap ‘orang lama’ dalam industri, Joy mengakui perubahan landskap bidang itu amat ketara berbanding 10 tahun lalu. Kini katanya, ada begitu banyak pilihan daripada jenama kosmetik dalam dan luar negara yang memudahkan tugas merias.

“Seiring peredaran zaman, teknik solekan juga berubah. Kita beruntung kerana dengan teknologi terkini banyak pilihan alat solek yang mudah digunakan dan menjadikan solekan tahan lama. Boleh dikatakan ia agak menjimatkan masa dan menjadikan tugasan jurusolek lebih mudah dan pantas,” katanya.

ANTARA pelanggan yang mendapat sentuhan Joy.
ANTARA pelanggan yang mendapat sentuhan Joy.

Sebagai orang yang bertanggungjawab merias banyak wajah untuk tampil cantik, antara faktor penting yang perlu ditekankan ketika menatarias pelanggan termasuk:

• Kebersihan, sama ada kebersihan diri sendiri, peralatan serta barang yang digunakan untuk menyolek.

• Penggunaan barangan solekan yang asli dan penggunaannya hendaklah sesuai dengan jenis kulit pelanggan.

• Sikap dan etika dalam bekerja, atau kata lain profesionalisme. Ia mencakupi prosedur operasi standard (SOP) semasa berkomunikasi, semasa mengeluarkan dokumen sebut harga, urusan pembayaran serta terma yang terbabit selain menepati masa, sikap serta keperibadian.

• Ilmu pengetahuan berkenaan produk dan ilmu dalam solekan juga adalah penting bagi memastikan jurusolek dapat meyakinkan pelanggan di samping hasil yang memberangsangkan.

• Komunikasi yang baik serta menghormati hak pelanggan.

Meskipun semakin bilangan jurusolek semakin ramai, tetapi sikap wanita yang tidak jemu belajar ilmu solekan untuk diri sendiri harus dipuji, selain mendapatkan panduan daripada jurusolek profesional. Pengetahuan ini perlu ada untuk solekan harian ke tempat kerja atau merapi diri bagi tatapan suami. Bagaimanapun, ada beberapa kesilapan yang sering dilakukan wanita dalam soal solekan antaranya:

1. Terlalu kerap mencuci muka menyebabkan kulit muka kering dan kehilangan kelembapan asli. Mencuci muka dua kali sehari pada waktu pagi dan sebelum tidur sudah memadai.

2. Mengenakan mekap pada kulit yang kering. Ini akan menyebabkan mekap tidak sekata, kulit tampak kusam dan letih.

3. Menyapu mekap dengan cara yang salah juga akan membuatkan wajah anda tampak pelik. Hindarkan!

4. Terlalu banyak menggunakan bedak asas. Walaupun ia bertujuan menutup noda pada kulit, tetapi jika terlalu banyak menyebabkan anda tampak seperti pelakon wayang opera!

5. Melukis kening keterlaluan. Ia juga perlu dielakkan kecuali anda mahu menghadiri majlis dengan tema yang membolehkan anda berbuat demikian. Kening seharusnya tampak asli supaya penampilan lebih manis.

6. Menggunakan warna celak dan penggaris mata yang tidak sesuai. Jika anda menggunakan warna hitam dan disapu tebal, ia akan membuatkan wajah tampak garang.

7. Melukis garisan bibir terlalu terang. Ada orang suka menggunakan pensil pewarna bibir untuk memastikan calitan gincu sentiasa kemas. Namun pastikan garisan bibir ini dilukis dengan cermat

dan pilih warna senada dengan gincu supaya

bibir anda tidak nampak pelik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 11:29 AM