ADA sebab tertentu wanita terpaksa bersalin menerusi kaedah pembedahan.
ADA sebab tertentu wanita terpaksa bersalin menerusi kaedah pembedahan.
Siti Zarinah Sahib


Mana lebih baik melahirkan anak secara pembedahan atau normal? Kedua-dua cara kelahiran ini sering menjadi perdebatan dalam kalangan wanita hamil sehingga wujud tanggapan tidak lengkap rasanya gelaran ibu jika tidak melahirkan anak secara normal.

Ada pula tanggapan ibu yang melalui proses kelahiran normal itu hebat manakala yang melalui pembedahan itu sebaliknya.

Sebelum membahas lebih lanjut, anda perlu mengetahui terlebih dulu pro dan kontra kedua-dua prosedur kelahiran ini.

Menerusi laman sesawang Encyclopedia Britannica, kaedah pembedahan bermaksud pengeluaran bayi melalui torehan pada perut manakala secara alaminya melalui vagina.

Menurut Pakar Sakit Puan Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi Dr Wan Masliza Wan Daud, walaupun proses pembedahan nampak mudah berbanding normal, ibu yang mempertimbangkan memilih kelahiran secara pembedahan perlu mengikut pertimbangan doktor mengenai kemampuan fizikal dan keadaan kesihatan dirinya.

Dalam erti kata lain pada peringkat tertentu ada wanita yang sememangnya dijadual atau direncanakan untuk melahirkan anak secara pembedahan manakala kumpulan kedua perlu melaluinya ketika kecemasan.

“Melalui pembedahan yang dijadualkan atau elektif, kelahiran menjadi lebih lancar dan tenang. Si ibu pula sudah mengetahui dan boleh memilih tarikh bersalin untuk melihat buah hati mereka.

“Dari sudut positifnya ibu dapat mempersiapkan diri secara mental untuk proses kelahiran sebegini. Secara tidak langsung ini dapat membantu mengurangi rasa tertekan dan cemas dalam diri wanita yang melaluinya,” katanya.

Jelasnya, sepanjang menjalani pemeriksaan bulanan doktor akan memastikan tahap kesihatan ibu dan bayi. Melalui cara ini mereka akan membuat keputusan sama ada wanita itu boleh melalui kelahiran normal atau sebaliknya.

Kebiasaannya pembedahan berjadual terpaksa dijalankan berikutan masalah tertentu pada bayi seperti bayi besar dengan berat melebihi empat kilogram ke atas manakala tubuh ibu terlalu kecil untuk melaluinya.

“Selain itu kedudukan bayi yang tidak normal iaitu kepala tidak berada di bawah dan dalam laluan yang betul. Bayi melintang, songsang atau senget turut menjadi sebab pembedahan dilakukan ke atas wanita,” ujarnya.

Ibu yang mempunyai masalah uri di bawah atau plasenta previa tahap empat sememangnya tidak boleh melalui kelahiran normal dan perlu dibedah bagi mengelak risiko tumpah darah sehingga membawa maut.

Begitu juga dengan ibu yang melalui proses kehamilan yang sukar dan menjalani proses IVF bagi mengurangkan risiko kepada bayi. Dalam hal ini biasanya mereka akan ditawarkan untuk bersalin secara pembedahan dirancang.

“Semua orang tahu proses IVF memerlukan kos yang tinggi dan kehamilan yang perlu dijaga. Oleh itu bagi mengurangkan tekanan untuk bayi dan ibu ketika proses kelahiran seperti bayi terberak atau terbelit tali pusat, maka pembedahan adalah jalan terbaik,” katanya.

Selain itu, ibu yang mempunyai tekanan darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung yang tidak terkawal juga akan diberikan pilihan untuk melakukan pembedahan bagi mengurangkan risiko kepada ibu dan bayi.

PEMBEDAHAN KELAHIRAN KECEMASAN

Walaupun ada wanita yang hampir boleh melalui kelahiran normal dengan bukaan 10 sentimeter, pada saat akhir doktor terpaksa melakukan pembedahan yang bertujuan menyelamatkan ibu dan bayi.

Keadaan ini dipanggil pembedahan kelahiran kecemasan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kebiasaannya ia disebabkan:

1. Bayi lemas ketika kontraksi berlaku. Proses kelahiran juga mengambil masa terlalu lama (tiada progres) manakala serviks tidak membuka dengan cukup untuk membolehkan bayi bergerak turun masuk ke dalam saluran kelahiran.

2. Ada juga doktor gagal ketika mencuba menggunakan instrumen seperti forsep atau ventuose sehingga menyebabkan pembedahan perlu dilakukan segera.

3. Plasenta tertanggal semasa proses kelahiran yang dipanggil plasenta abrupsi dan meletakkan bayi dalam bahaya.

4. Tali pusat tergelungsur turun melalui serviks mendahului bayi. Komplikasi yang jarang berlaku ini dipanggil prolaps tali pusat. Ada kemungkinan tali pusat akan terhimpit semasa lahir yang seterusnya memotong bekalan oksigen kepada bayi anda. Keadaan ini sangat berbahaya.

Jelas Dr Wan Masliza lagi, berdasarkan pengalamannya mengendalikan proses kelahiran dalam banyak kes, pembedahan kecemasan berlaku juga disebabkan masalah kesihatan dan pembedahan adalah pilihan paling selamat bagi ibu dan bayi.

Namun begitu, kadangkala keputusan untuk membedah wanita turut bergantung kepada penilaian, pengalaman dan kemahiran pakar sakit puan dan ia berbeza mengikut hospital.

“Dalam hal ini wanita perlu faham mengapa mereka terpaksa dibedah. Jangan terlalu taasub kepada sebarang persepsi atau anggapan yang tidak sama dengan orang lain. Elakkan juga membandingkan keadaan anda dengan orang lain kerana ia sudah tentu berbeza,” katanya.

Sebaik-baiknya berbincanglah dengan doktor terlebih dulu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan diri anda. Sentiasa minta pendapat doktor sekiranya tidak pasti sama ada keputusan itu adalah terbaik untuk anda atau sebaliknya.

PROSES PEMULIHAN

Ada beberapa perkara yang perlu diketahui bagi wanita yang menjalani pembedahan kelahiran. Antaranya kesakitan dan rasa kurang selesa pada bahagian luka selepas pembedahan tamat yang dialami selama beberapa minggu.

Keadaan ini berbeza dengan mereka yang bersalin normal kerana proses penyembuhan biasanya lebih mudah dan cepat.

“Oleh itu ibu yang dibedah perlu mengehadkan pergerakan, namun jangan pula langsung tidak bergerak kerana berjalan secara perlahan akan membuatkan pengaliran darah bertambah lancar. Pastikan luka dijaga rapi dan dikeringkan bagi mengelak jangkitan.

“Sama seperti bersalin normal, ibu juga perlu minum banyak air untuk pengaliran susu ibu. Makan makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan supaya luka cepat sembuh,” katanya.

Selain itu menurut Dr Wan Masliza, ada wanita yang baru kali pertama melalui proses pembedahan berhadapan masalah untuk memberikan susu badan kepada bayi.

“Bagi yang memberi bayi susu badan, adalah sangat penting meminta pertolongan daripada orang lain. Ini kerana mereka kurang berkemampuan untuk mula menyusu bayi disebabkan rasa nyeri pada luka.

“Sebaik-baiknya minta suami membantu ketika mahu menyusukan bayi. Namun sekiranya anda sudah bermula dan mahir mengendalikannya, peluang untuk anda berjaya sama sahaja dengan wanita yang bersalin normal,” katanya.

Bagi mereka yang ingin hamil semula sebaik-baiknya selepas dua tahun kelahiran bagi membolehkan bayi dapat menyusu badan sepenuhnya manakala rahim dapat berehat untuk persediaan kehamilan seterusnya.

“Bagi yang dibedah untuk kelahiran pertama usah bimbang kerana mereka turut berpeluang untuk melahirkan anak secara normal untuk kehamilan kedua dengan syarat menjaga kesihatan ketika hamil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 7:58 AM