Nor Affizar Ibrahim

Banyak makanan yang boleh diambil untuk mendapatkan tubuh lebih sihat seperti mengambil germa gandum dalam diet harian.

Mungkin ramai tidak tahu germa gandum kaya dengan kebaikan dan menambahkan lagi khasiat dalam diet harian.

Pakar nutrisi, Nurazimah Salleh berkata, pengambilan germa gandum sememangnya baik untuk kesihatan malah disyorkan dalam pemakanan kerana mempunyai protein berkualiti tinggi, nutrien bermanfaat dan asid lemak Omega-3 yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung .

“Germa gandum ini boleh didapati dalam pelbagai sumber seperti roti bijirin penuh, beras perang, oat dan quinoa.

“Bijiran penuh terdiri daripada tiga komponen penting iaitu bran, endosperma dan germa. Ketiga-tiga bahagian ini diperkaya dengan serat, mineral dan nutrien seperti vitamin B, magnesium, antioksida, asid lemak Omega-3, serat serta protein.

“Ia juga mengandungi vitamin B, mineral dan antioksida yang membantu menurunkan kolesterol dan mengurangkan risiko penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis. Kandungan vitamin B yang terdapat di dalamnya juga dapat membantu memberikan tenaga,” katanya.

Bagaimanapun kata Nurazimah, kesedaran kepentingan terhadap pengambilan germa gandum dan bijirin penuh dalam pemakanan masih pada tahap rendah dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Katanya, salah faham, kos yang tinggi, kurang pemahaman dan pengetahuan antara faktor menyebabkan ramai tidak menghiraukan pengambilannya dalam diet pemakanan.

Bagi pegawai penyelidik, Nurulhuda Abdullah, dia gembira kerana anak-anaknya suka makan roti yang diketahuinya mengandungi germa gandum dan sering menyediakannya untuk sarapan keluarga.

“Anak bongsu yang kini berusia tiga tahun suka roti tekstur lembut manakala anak sulung berusia lima tahun suka roti yang mengandungi bijirin penuh.

“Untuk menjadikan roti itu lebih sedap dimakan, saya sapukan dengan coklat atau letakkan bersama kepingan ayam. Kadang-kadang, saya jadikan ia sandwic tuna. Cara hidangan ini sememangnya membuatkan anak lebih berselera makan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kilang The Italian Baker Sdn Bhd, pengeluar roti Massimo, Lai Fei Siong berkata, sesuai dengan komitmen syarikat kepada pengguna, produk ditawarkan mengambil kira untuk memberikan kebaikan dan kepuasan maksimum.

“Germa gandum adalah makanan tambahan yang harus dimasukkan dalam diet setiap orang. Kami memahami, untuk mengambil germa gandum adalah terbatas kerana masa penyediaannya dan kadang-kadang mungkin disebabkan kemampuan dan ketersediaan.

“Kami menjadikannya mudah untuk pelanggan dengan menghasilkan Roti Sandwic Massimo dengan germa gandum,” katanya.

Diperkenalkan sejak 2011, Roti Sandwic Massimo dengan germa gandum kini diperbaharui dari segi rasa dan aroma sebagai alternatif lebih sihat.

Kini, Roti Sandwic Massimo dengan germa gandum tanpa kolesterol dan bebas lemak trans ini dijual pada harga RM2.59 (400 gram) dan RM3.63 (600 gram).

Ia boleh didapati di hipermarket berhampiran bermula 22 Oktober lalu. Mulakan hari anda dengan gaya hidup sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 10:29 AM