TERDAPAT pelbagai kemungkinan berlaku sekiranya kemahiran motor kasar anak-anak tidak dibentuk.
TERDAPAT pelbagai kemungkinan berlaku sekiranya kemahiran motor kasar anak-anak tidak dibentuk.
Siti Nadirah Hafidzin

Ramai ibu bapa mula panik apabila si anak tersayang lambat bercakap terutama selepas memasuki usia dua tahun, kebimbangan itu mula beralih apabila si kecil dikesan tidak cemerlang dalam akademik sebaik saja memasuki alam persekolahan.

Itu antara kebimbangan paling utama kepada mana-mana ibu bapa kerana hampir semua keluarga lebih mengharapkan si anak cemerlang dalam pelajaran berbanding memikirkan soal kemahiran yang lain.

Tanpa sedar, ramai ibu bapa atau penjaga yang terlepas pandang mengenai kemahiran motor kasar anak, walhal ia antara perkara paling penting dalam perkembangan setiap manusia bermula daripada bayi.

Mengupas mengenai kepentingan kemahiran motor kasar kepada setiap kanak-kanak, Pengurus Latihan & Perundingan Liyanaraya, Norliyana Raya berkata, kemahiran motor kasar boleh didefinisikan sebagai kemahiran pergerakan yang membabitkan sendi-sendi besar iaitu sendi di bahagian atas badan dan sendi di bahagian bawah badan.

Menurutnya, antara pergerakan motor kasar yang dapat dilihat sejak bayi dilahirkan adalah memusingkan badan iaitu ketika berusia tiga bulan diikuti dengan meniarap, meniarap ke depan, merangkak, duduk, berjalan, berlari dan menaiki tangga.

“Kemahiran motor kasar yang lain ialah bermain bola iaitu menangkap, membaling dan menendang, menyeimbangkan badan serta melompat.

“Ramai ibu bapa sering menyatakan kanak-kanak akan sentiasa melalui setiap proses ini kecuali kanak-kanak berkeperluan khas yang mempunyai had keterbatasan otot dan sendi. Namun ramai yang tidak sedar hubung kait di antara pergerakan motor kasar sebenarnya memainkan peranan yang besar untuk kemahiran lain dalam diri kanak-kanak terutama kemahiran kognitif iaitu pemikiran dan pembelajaran,” katanya.

Menurut Norliyana, tidak seperti kemahiran lain yang sering kali diambil peduli seperti percakapan, akademik dan menulis, kemahiran motor kasar antara salah satu kemahiran yang sering terlepas pandang.

“Sama ada sedar atau tidak, kanak-kanak masa kini dilihat lebih banyak menggunakan deria penglihatan dan visual daripada menggunakan otot dan sendi mereka untuk bergerak.

“Salah atau tidak si anak gemar belajar melalui deria pendengaran dan visual seperti belajar melalui YouTube atau watak kartun yang memberi pengisian pembelajaran? Jawapannya tentu saja tidak salah, tetapi situasi itu akan menjadi salah sekiranya ibu bapa mengetepikan pembabitan anak-anak dalam aktiviti yang membabitkan motor kasar,” katanya.

KEMAHIRAN motor kasar penting kepada semua kanak-kanak seawal usia bayi.
KEMAHIRAN motor kasar penting kepada semua kanak-kanak seawal usia bayi.

Tambahnya, penggunaan deria visual dan pendengaran hanya membantu otak menerima input dalam satu arah sedangkan untuk membantu anak-anak dalam proses pembelajaran juga penyelesaian masalah memerlukan sel otak berhubung dan menerima input daripada banyak arah.

“Dalam erti kata yang mudah, anak-anak perlu bergerak dalam banyak arah, bergerak ke depan, ke belakang, kiri dan kanan. Cuba perhatikan pergerakan anak-anak yang berusia tiga tahun secara terperinci apabila diminta menyambut bola, adakah mereka akan membengkokkan sendi siku di kedua-dua tangan, berada dalam posisi sedia untuk menangkap bola dan mengikut arahan anda?

“Jika tidak, awas! Anak anda berkemungkinan besar mempunyai masalah dalam merancang pergerakan. Dia juga akan mempunyai masalah untuk membuat pergerakan yang lancar dalam menurun

dan menaiki tangga dan menjadi kekok serta mempunyai ketahanan badan yang lemah untuk terbabit dalam aktiviti fizikal,” katanya.

Menurutnya, lebih membimbangkan, kanak-kanak itu berkemungkinan besar akan mempunyai masalah menstabilkan bahu, siku dan pergelangan tangan ketika menulis, mengoyak kertas dan menggunting. Semua ini akan memberi impak besar kepada dirinya apabila semakin membesar.

Menurut Norliyana, langkah terbaik adalah memberi peluang kepada anak-anak bergerak dalam persekitarannya serta paling utama percaya kepada kemampuan mereka.

“Saya sedar, amat mencabar dan membimbangkan untuk membenarkan anak-anak bermain di luar pada zaman kini ditambah dengan keadaan cuaca tidak menentu dan risiko anak diculik yang semakin tinggi.

“Atas sebab itu, saya sangat menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak ke taman permainan sama ada dalam bangunan atau di luar. Cuba cari taman permainan yang ada di sekeliling kita dan carilah yang terbaik dan selamat,” katanya.

Menurutnya, apabila membuka YouTube, ibu bapa disaran mencari lagu yang boleh memastikan si kecil tersayang bergerak aktif seperti menari di samping berhibur.

“Jangan hanya biar anak-anak menonton YouTube semata-mata, tetapi tidak bergerak secara fizikal kerana ia berbahaya. Galakkan mereka melompat, menari dan berlari.

“Saya menyeru supaya semua ibu bapa dan penjaga menambah ilmu diri sendiri serta pengetahuan mengenai kemahiran pergerakan motor kasar ini termasuk pembacaan di laman web Internet demi anak-anak tersayang,” katanya.

IBU bapa perlu tahu mengenai kemahiran motor kasar.
IBU bapa perlu tahu mengenai kemahiran motor kasar.

Antara langkah yang boleh dilakukan ibu bapa bagi menggalakkan perkembangan motor kasar kanak-kanak:

1. Rangsangan tulang belakang.

2. Melompat

3. Melontar bola.

4. Menyambut bola.

5. Menyepak bola.

6. Membaling pundi kacang ke arah sasaran atau bermain permainan membaling kasut ke arah sasaran.

7. Menaiki tangga.

8. Berjalan di atas garis lurus ke depan dan ke belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 3:05 PM