NOR Azlini  menjadi  inspirasi kepada  ramai peniaga  lain.
NOR Azlini menjadi inspirasi kepada ramai peniaga lain.
Siti Nadirah Hafidzin

Bertubuh kecil molek, wajahnya manis dipandang, tutur kata tersusun sopan, sesekali mengukir senyuman membuatkan dia senang didampingi.

Di sebalik keayuan dan kelembutan dirinya, tidak siapa menyangka wanita pemalu ini menguruskan sebuah syarikat pembinaan dan kejuruteraan yang banyak dipelopori golongan lelaki.

Dia juga berjaya membuktikan golongan wanita kini mampu mengecapi kejayaan dalam apa juga bidang diceburi asalkan tidak mudah berputus asa.

Pada masa sama, pembabitannya dalam bidang itu juga membuka mata banyak pihak di mana hasil kerja golongan wanita layak diberikan perhatian dan dikagumi.

Berkongsi pengalaman menguruskan Reco Engineering, Nor Azlini Mohamad Luui, 34, berkata, semuanya bermula apabila dia perlu meneruskan perniagaan keluarga dalam bidang terbabit.

“Bohong jika saya katakan saya terimanya dengan gembira kerana pada mulanya tentu ada rasa bimbang. Bimbang sama ada saya boleh lakukan atau sebaliknya.

“Berbekalkan semangat dan tunjuk ajar ibu, saya nekad menguruskan bidang ini walaupun perlu berkorban banyak perkara,” katanya.

Nor Azlini berkata, antara perkara yang perlu dikorbankan adalah masa kerana komitmen dalam menguruskan kerjaya melebihi perkara lain.

“Saya belajar dari bawah kerana tidak mahu bergelar pengurus atau majikan yang hanya tahu memberi arahan tetapi lebih kepada bersama-sama membangunkan syarikat.

“Syukur, selain ibu yang banyak membimbing, saya juga bertuah kerana mempunyai rakan kongsi perniagaan yang bukan saja membantu malah turut sama memberi tunjuk ajar,” ujarnya.

NOR Azlini bersama rakan kongsinya.
NOR Azlini bersama rakan kongsinya.

Perkenalkan kaedah Epoxy

Menurut Nor Azlini, memikirkan persaingan yang agak tinggi dalam bidang diceburi membuatkan dia berusaha mencipta kelainan.

“Selepas membuat kajian dan penyelidikan sendiri dalam tempoh yang agak lama, syukur akhirnya saya dapat menemui kaedah transformasi Epoxy yang menjimatkan kos untuk pelanggan yang mempunyai masalah tandas atau balkoni bocor, lantai licin atau berkulat.

“Kaedah Epoxy ini amat mudah kerana proses pembaikan tidak perlu mengambil masa yang lama iaitu siap dalam tempoh enam hingga lapan jam saja selain jimat. Jubin tidak perlu dipecahkan dan ia mudah serta berkesan,” katanya.

Nor Azlini berkata, pihaknya sebelum ini sudah lama menyediakan perkhidmatan kalis air atau pembaikan kebocoran dengan menggunakan kaedah lama iaitu perlu memecahkan lantai jubin sedia ada sebelum memasang jubin baru.

“Proses pembaikan mengambil masa agak lama dan disebabkan itu, saya bersama rakan kongsi memikirkan kaedah terbaik yang lebih pantas selain menjimatkan sebelum berjaya menemui Epoxy.

“Epoxy antara kaedah terbaru di Malaysia yang masih ramai individu tidak mengetahuinya. Disebabkan itu, saya kini perlu lebih komited bagi memastikan apa yang saya usahakan ini dikenali dengan lebih meluas,” ujarnya.

Menurutnya, kos Epoxy bermula pada harga RM750 dan ia amat berbaloi dan antara kelebihan Epoxy adalah bahan kalis air, tiada habuk dan sampah, tidak bising ketika proses pembaikan, tidak licin dan mempunyai jaminan hingga tiga tahun.

“Pelanggan boleh menghubungi kami melalui Facebook atau ke pejabat kami di Wisma UNIKEB, Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Syukur, sambutan diterima menggalakkan dan kami berjaya membantu pelanggan yang mengalami masalah lantai bocor dan yang berkaitan,” katanya.

SISTEM Epoxy memudahkan proses pembaikan lantai jubin.
SISTEM Epoxy memudahkan proses pembaikan lantai jubin.

Tambah Nor Azlini, selain cabaran memperkenalkan Epoxy, dia juga perlu bijak mengendalikan kakitangannya.

“Semua kakitangan saya adalah lelaki termasuk rakan kongsi. Saya perlu bijak mengawal sikap mereka terutama memastikan semua urusan kerja berjalan lancar.

“Saya tidak boleh terlalu tegas juga tidak boleh berlemah lembut kepada pekerja kerana syarikat saya terbabit dalam sektor perkhidmatan. Kepuasan hati pelanggan adalah perkara paling penting dalam bidang ini dan disebabkan itu, saya perlu bijak mengendalikan semua perkara,” katanya.

Menurutnya, selain komited untuk memperluaskan pengetahuan orang ramai mengenai Epoxy, dia juga komited memperkenalkan pelbagai sistem pembaikan dan pembinaan baru di negara ini.

“Dalam mengendalikan perniagaan, saya bukan sekadar memfokuskan mengenai keuntungan. Apa yang saya cuba bawakan adalah perkhidmatan atau produk yang memudahkan serta menjimatkan ramai.

“Saya juga sentiasa berpegang kepada prinsip selalu memudahkan orang untuk memastikan urusan saya juga dipermudahkan,” ujarnya mengakhiri bicara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 3:31 PM