BARISAN adiwira digital menyeru pelajar mengutamakan keselamatan ketika dalam dunia siber.
BARISAN adiwira digital menyeru pelajar mengutamakan keselamatan ketika dalam dunia siber.
Intan Mas Ayu Shahimi

Sedarkah kita bahawa 84 peratus kanak-kanak di Malaysia kini terkesan dengan pelbagai kes buli, manakala 33 peratus daripadanya terbabit secara langsung dengan buli siber?

Lanjutan misi Yellow Heart untuk memperkasa setiap individu dengan akses Internet di samping bertindak memelihara keselamatan mereka menerusi penggunaan laman digital bertanggungjawab, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) bekerjasama dengan Google Malaysia melancarkan siri video lima bahagian bersifat informatif lagi menyeronokkan.

Sebenarnya, Yellow Heart Cyber Series adalah sebahagian daripada bingkisan digital yang diperoleh melalui pertandingan tahunan Digi, CyberSAFE in Schools 2018.

Pengurus Program Kelestarian Digi, Phillip Ling berkata, CyberSAFE in Schools dizahirkan melalui kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Cybersecurity Malaysia dan Digi pada 2011.

Bermatlamat meningkat­kan kesedaran, membina kapasiti dan memperkasakan pelajar sekolah mahupun guru, program itu menyasarkan daya celik digital serta kemahiran kepenggunaan untuk memelihara keselamatan di ruang Internet.

“Siri video ini dihasil­kan mengikut keperluan golongan kanak-kanak. Kami pilih pendekatan sebegini kerana percaya pada manfaat media dan platform popular, sejajar dengan trend penggunaan saluran berkaitan oleh kanak-kanak.

“Jadi, watak kartun adiwira YouTube digunakan. Matlamatnya adalah untuk mendidik dan memperkasakan golongan cilik dengan kebolehan menangani risiko dunia dalam talian serta memperbaiki tingkah laku kepenggunaan digital.

“Walaupun kebanyakan pelajar sekolah celik teknologi dan mahir menggunakan Internet, namun masih ada di antara mereka yang cenderung meremehkan risiko penggunaan ruang siber. Ada juga yang tidak mengendahkan kesan buruk jangka panjang berpunca daripada sumber berbahaya dalam dunia Internet.

“Ramai juga yang mengaku bahawa mereka tidak sedar mengenai pelbagai jenis risiko sedia ada dan tidak tahu cara betul untuk menanganinya. Justeru, kami harap paparan senario risiko sebenar dan watak yang dekat dengan hati penonton dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran digital pengguna, menyemai tingkah laku kepenggunaan positif, seterusnya mewujudkan pengalaman penggunaan laman siber yang selamat serta menyeronok­kan bagi mereka, rakan-rakan mahupun keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Industri Google Malaysia Su Ann Lim berkata, keselamatan digital antara isu penting yang dihadapi masyarakat kini berikutan generasi baru membesar dengan Internet saban hari.

“Kita harus membantu warga muda hari ini untuk membina sifat bertanggungjawab dan semangat saling membantu di ruang siber. Kerjasama dengan Digi ini cukup bermakna dan kita yakin video bersifat informatif dan menghiburkan berupaya memberi lebih banyak kesan positif kepada masyarakat dalam memahami isu keselamatan, perlunya rasa hormat-menghormati di antara satu sama lain tidak kira di rumah, sekolah mahupun ketika di khalayak.

“Jadi, sehingga 30 September depan pelajar boleh menyertai cabaran video ini di cybersafeinschools.my. Cabaran terbahagi kepada dua kategori iaitu peringkat sekolah dan individu.

“Mereka hanya perlu menonton kesemua lima episod yang dihasilkan juru animasi popular CartoonHooligans yang menampilkan senario harian diharungi pelajar zaman digital kini dan mengikut arahan diberi,” katanya.

Umpamanya, bagi kategori sekolah, pelajar perlu menjawab beberapa soalan berkaitan dengan kandungan video. Setiap jawapan yang betul melayakkan mereka mendapat satu markah dan disenaraikan dalam laman web pertandingan. Sebanyak 25 sekolah (berdasarkan kategori dan wilayah) yang mempunyai markah tertinggi pada akhir kempen akan dinobatkan sebagai juara dan memenangi projektor baru untuk kegunaan mereka.

Bagi kategori individu pula, pelajar perlu menyampaikan apa yang dipelajari daripada siri video berkenaan kepada seorang dewasa, seterusnya menulis karangan ringkas tidak melebihi 200 patah perkataan mengenai pengalaman mereka. Kemudian, hantar karangan berserta gambar mereka sedang ‘mengajar’.

Sebanyak 25 penyertaan dengan markah tertinggi berdasarkan kategori yang dipertandingkan akan memenangi beg galas kalis air serta Sijil Pengiktirafan Google dan Digi.

Antara senario watak

1. Apabila hero menjadi penjahat

Episod pertama meng­ingatkan pelajar untuk berfikir dulu sebelum memuat naik sebarang paparan di Internet. Sesetengah perkara yang mereka anggap lucu mungkin boleh menyakiti orang lain.

2. Dikhianati kawan?

Sorotan mengenai kes penipuan dalam talian juga diketengahkan, episod ini memperlihatkan keburukan tipu muslihat di Internet yang boleh memperdayakan pengguna Internet.

3. Rahsia adalah rahsia

Lanjutan daripada kisah kesedaran mengenai perangkap Internet, episod ini mengajar pelajar membuat kata laluan lebih selamat dan mengingatkan mereka untuk menukarnya secara berkala bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

4. Kawan adalah yang terbaik

Buli siber hadir dalam pelbagai bentuk dan episod ini memperlihatkan kesan komen negatif yang dilontarkan seseorang berbanding kata-kata positif serta mengapa setiap individu harus memilih haluan positif.

5. Berani terhadap bahaya yang tersembunyi!

Episod terakhir menonjolkan dua isu penting iaitu penyisihan yang juga satu bentuk pembulian siber dan ‘cybergrooming’. Pelajar dibimbing untuk menjadi cakna dan peduli terhadap orang lain dan pada masa sama harus merujuk golongan dewasa jika mereka menjadi mangsa kepada kes seperti ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 9:00 AM