KANAK-KANAK didedahkan dengan teknologi buatan masa hadapan.
KANAK-KANAK didedahkan dengan teknologi buatan masa hadapan.
Siti Zarinah Sahib

Kanak-kanak era milenium berinteraksi dengan teknologi melalui telefon pintar, permainan digital dan menonton filem, namun teknologi ini tidak terhad di situ saja sebaliknya membawa kesan positif sekiranya digunakan dengan sebaiknya.

Peralihan kepada zaman teknologi ini tidak mustahil menciptakan bidang kerjaya menjurus ke arah Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik. Justeru apakah persediaan ibu bapa bagi memastikan anak dilengkapi ilmu dan kemahiran bagi menuju negara maju berdaya saing teknologi ini?

Menurut Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad, sebagai bapa sudah pasti dia mengharapkan anak diajar bersedia menghadapi dunia teknologi yang sedang berkembang pesat.

“Teknologi seperti pembantu maya dan robot, rumah pintar dan kenderaan pandu sudah wujud dan saya percaya banyak lagi inovasi unik dicipta pada masa hadapan dan sentiasa berkembang pesat,” katanya.

Bagi Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Google Malaysia Zeffri Yusof, bidang Kecerdasan Buatan adalah salah satu fokus di Google dan ia diperkasakan menerusi pembelajaran menggunakan mesin.

“Dalam erti kata lain, komputer diajar untuk mengenal pasti lebih banyak rekaan dan bukan hanya diprogramkan dengan tetapan tertentu.

“Google memanfaatkan pembelajaran mesin untuk tugasan seperti pemahaman bahasa, penterjemahan, pengecaman pertuturan, penglihatan komputer, skala kedudukan dan pengesyoran. Kami berharap kanak-kanak ini lebih berminat mempelajari secara mendalam mengenai dunia Kecerdasan Buatan ini,” katanya.

Menyedari pentingnya mendedahkan kanak-kanak mengenai teknologi dan Kecerdasan Buatan, KidZania Kuala Lumpur menganjurkan program KidZ & Tech 3.0 bermula 18 Ogos hingga 16 September ini bagi memberi peluang si kecil mengenali lebih dekat kegunaan dan manfaat Kecerdasan Buatan dan Robotik serta fungsinya pada masa hadapan kelak.

Melalui KidZ & Tech 3.0, kanak-kanak diberi peluang belajar secara praktikal atau mengenali teknologi AI. Peranan ini dimainkan Google Malaysia apabila memperkenalkan AI dengan cara menyeronokkan. Kanak-kanak diberi peluang bermain sambil belajar melalui emoji Scavenger Hunt yang juga boleh disertai seluruh keluarga.

Menggunakan rangkaian neural eksperimen AI untuk mengenal pasti objek sebenar, peserta diberi emoji di telefon pintar dan perlu mencari emoji di persekitaran mereka.

Peserta perlu melengkapkan pencarian dengan menangkap gambar sepadan dengan emoji yang diberikan. Permainan itu akan mengesahkan keserasian objek sebelum memberi petunjuk seterusnya.

Selain itu peserta juga boleh mencipta robot menggunakan Makeblock mBots, melalui langkah-langkah pengekodan mudah. Kanak-kanak boleh menguji kemahiran pemanduan dalam Drone Obstacle Challenge.

Mereka akan mengendalikan Airblocks, sebuah robot terbang, diperbuat daripada magnet yang boleh diprogramkan untuk melalui halangan di trek udara.

Secara keseluruhannya, KidZ & Tech 3.0 menawarkan lima program khusus, iaitu AI-inspired Emoji Scavenger Hunt, Virtual & Augmented Reality (permainan VR, Be Internet Awesome, DIY AR Greeting Cards), Coding & Robotics, Forensic Science (penyiasatan di lokasi jenayah menggunakan debu ibu jari dan Eksperimen Cahaya UV oleh Forensik UKM) dan Creative Photography (Canon Light Tail Photography, U Mobile Clone Photography).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 3:24 PM