SAIZ besar memudahkan pemakai menggayakan tudung mengikut kreativiti.
SAIZ besar memudahkan pemakai menggayakan tudung mengikut kreativiti.
Intan Mas Ayu Shahimi

Kali pertama melihat koleksi tudung keluaran BonaSera Hijab dari dekat adalah ketika mengikuti pertunjukan Lebaran Fashion Trends, sekitar April lalu. Berbeza dengan kebanyakan tudung sedia ada di pasaran, jenama ini mengetengahkan ciri terbaik yang dicari kebanyakan wanita, tidak perlu digosok!

Sesuai dengan kemeriahan lebaran, tudung sebegini pastinya mudah dimuatkan di dalam beg untuk dipadankan dengan kurung mahupun kebaya polos, bila-bila masa diperlukan.

Pengasasnya, Suhailah Baharum berkata, lebaran kali ini pihaknya mengeluarkan tiga koleksi tudung bawal tenunan silang pangkah iaitu Canting Batik, Tie-Dye Abstract dan Aster Floral.

“Semua corak adalah rekaan saya sendiri dan tudung ditempah serta diperbuat di Turki. Apa yang menariknya, tudung bawal tenunan silang pangkah ini bukan saja tidak perlu diseterika, tetapi mudah dibentuk.

“Ciri fabriknya yang bersilang pangkah memberi ruang kepada rambut dan kepala untuk bernafas. Ia juga tahan terhadap serangan bakteria, selesa dan menyerap peluh.

“Kita juga tawarkan saiz yang besar (bidang 48 inci) supaya sesuai untuk semua peringkat pembeli. Dalam masa sama, saiz sebegini juga memberi lebih ruang kepada pemakai untuk menggayakan tudung mengikut kreativiti diri,” katanya.

FABRIK tidak perlu diseterika.
FABRIK tidak perlu diseterika.

Jelas Suhailah, beliau memilih fabrik jenis 100 peratus serat poliester kerana cirinya yang tahan lama, tidak mudah berkedut dan lebih cepat kering.

“Bagi koleksi terbaru, Canting Batik diilhamkan dari batik Kelantan dan Terengganu yang ditambah dengan olahan bunga untuk menaikkan seri pemakai. Tie-Dye Abstract pula menonjolkan corak marmar ringan dan santai, sesuai digayakan mereka yang mula berjinak-jinak dengan tudung bercorak. Manakala Aster Floral dihasilkan dengan corak berasaskan bunga ala Inggeris,” katanya.

Menurut Suhailah, tudung bawal bercirikan tenunan silang pangkah ini mendapat sambutan menggalakkan sejak keluaran pertama, Tulip dan seterusnya Jasmine, Clover serta Sakura.

“Justeru, untuk tidak menghampakan pembeli, saya keluarkan tiga koleksi baru sekali gus pada musim perayaan ini untuk memberi lebih pilihan kepada peminat tudung bawal tenunan silang pangkah.

“Kita pilih rona pastel seperti merah jambu, karamel, hijau muda, biru laut, biru denim dan warna kopi yang mudah disuai padan dengan apa saja busana termasuk pakaian kasual,” katanya.

SANTAI dengan tudung mudah dibentuk.
SANTAI dengan tudung mudah dibentuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 8:40 AM