DAPATKAN nasihat doktor jika terdapat gejala sakit belakang.
DAPATKAN nasihat doktor jika terdapat gejala sakit belakang.
MENGHABISKAN masa lama di depan komputer antara risiko sakit belakang pinggang.
MENGHABISKAN masa lama di depan komputer antara risiko sakit belakang pinggang.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Sakit pada bahagian belakang pinggang amat mengganggu aktiviti seharian terutama jika sudah mencapai tahap kronik. Bagi yang mengalaminya, pasti berasa tidak senang duduk mahupun berdiri hingga menjejaskan produktiviti mereka.

Sakit belakang adalah kesakitan paling biasa yang ditemui oleh pengamal perubatan. Malah menurut kajian, lebih 80 peratus orang dewasa akan mengalami sakit belakang dalam hidup mereka.

Di Amerika Syarikat, 25 peratus penduduknya dilaporkan mengalami sakit belakang pinggang yang berlangsung selama sehari dalam tempoh tiga bulan terakhir ini dan lapan peratus melaporkan episod kesakitan teruk dalam tempoh setahun yang lalu.

Menurut Pakar Runding Ortopedik, Pakar Bedah Tulang Belakang dan Intervensi Sakit Dr Ozlan Izma Muhamed Kamil, keadaan itu paling tinggi berlaku dalam usia 30-an dan meningkat dengan umur sehingga 60 ke 65 tahun.

Katanya, kajian di Malaysia menunjukkan 12 peratus kejadian dalam masyarakat luar bandar sehingga kira-kira 60 peratus khususnya dalam kalangan pemandu kenderaan komersial. Ia juga penyebab paling biasa bagi ketidakupayaan bekerja.

“Sakit belakang atau pinggang menyebabkan kesakitan dari bawah tulang rusuk ke atas punggung. Sakit pinggang akut berlaku kurang daripada 12 minggu manakala kesakitan kronik berlaku lebih daripada 12 minggu.

“Terdapat banyak penyebab sakit belakang pinggang dengan paling tinggi tidak khusus atau mekanikal antara 80 ke 90 peratus; kerengsaan saraf - cakera teranjak dan stenosis spina (lima hingga 15 peratus); penyakit spina - jangkitan, malignan, patah dan keradangan (satu hingga dua peratus); sakit visera terujuk daripada buah pinggang, hati/pundi kencing dan aneurisme aorta abdomen (satu peratus); dan lain-lain seperti fibromialgia (dua hingga empat peratus),” katanya.

Dr Ozlan berkata, faktor risiko yang menyebabkan sakit belakang pinggang antaranya keadaan kerja yang setempat misalnya duduk terlalu lama di hadapan komputer, kurang bersenam, berat badan berlebihan, merokok, umur dan penyakit seperti artritis dan keadaan keradangan lain.

Katanya, penyakit itu didiagnosis menerusi sejarah dan pemeriksaan fizikal oleh doktor atau melakukan sinar-X dan pengimejan resonans magnetik (MRI) sekali-sekala tetapi mestilah ditafsirkan dengan berhati-hati, mesti dikaitkan dengan sejarah serta pemeriksaan fizikal.

Rawatan

- Kebanyakan episod kesakitan berlaku tiba-tiba dan merisaukan tetapi tidak berbahaya

- Didapati 90 peratus kesakitan akan reda dalam dua hingga tiga minggu walaupun tanpa rawatan.

- Kesakitan boleh dikurangkan dengan mengambil ubat antikeradangan atau ubat analgesik dengan kerap misalnya, parasetamol.

- Kebanyakan kesakitan akan berkurangan dalam masa tiga hingga lima hari apabila kerap memakan ubat.

- Pek ais atau pek haba yang diletakkan di atas kawasan yang sakit selama 10 hingga 15 minit boleh membantu mengurangkan kesakitan.

- Pek ais boleh digunakan apabila jatuh, terkehel atau tegang.

- Pek haba mungkin berkesan untuk mengurangkan kekejangan otot atau kekakuan sendi.

- Elakkan rehat di atas katil - sedikit pergerakan pada sesuatu masa akan membantu melemahkan otot dan kekakuan sendi.

- Kaedah lain merawat kesakitan termasuk fisioterapi, manipulasi kiropraktik atau akupunktur.

- Tatacara pencegahan sakit yang jarang sekali dilakukan misalnya, ablasi radiofrekuensi boleh dilakukan bagi sakit belakang pinggang berikutan kelegaan dengan membius saraf.

- Suntikan epidural didapati berkesan dalam merawat sakit kaki disebabkan pengherniaan cakera (cakera tergelincir).

- Pembedahan adalah usaha terakhir.

- Pembedahan disarankan sekiranya berlaku ketidakstabilan mekanikal di dalam tulang belakang yang terhasil daripada patah, terkehel, jangkitan atau tumor malignan yang boleh mengakibatkan kecederaan terhadap saraf tunjang seterusnya mengakibatkan lumpuh (paralisis).

- Pembedahan boleh dipertimbangkan bagi pesakit yang mengalami sakit pada kaki yang terhasil daripada pengherniaan cakera atau penyempitan salur spina (stenosis), yang tidak bergerak balas dengan mencukupi terhadap rawatan bukan pembedahan optimum dalam masa yang dijangkakan.

Segera berjumpa doktor jika anda mempunyai gejala ini:

- Sakit yang bermula dari belakang kemudian menjalar ke kaki

- Sakit yang bertambah teruk atau sakit meluru ke bawah ke kaki dengan rasa kebas

- Sakit yang tidak lega selepas berehat atau tidur terganggu

- Sensasi yang terubah atau menyebabkan kelemahan pada kaki

- Tidak boleh membuang air kecil atau mengawal usus dan sensasi yang berkurangan menurut gerak hati

- Sakit belakang dengan demam, berpeluh pada waktu malam dan kehilangan berat badan

- Sakit belakang yang teruk selepas jatuh

- Episod kesakitan yang berulang-ulang

SANGKAL MITOS

Untuk memahami kerumitan penyakit ini dan mencegah daripada bertambah teruk, penjelasan di bawah menyangkal mitos mengenai sakit pinggang.

Jika mengalami sakit belakang pinggang, saya mengalami cakera teranjak (tergelincir)

Cakera teranjak juga dikenali sebagai cakera terhernia. Keadaan ini berlaku apabila cakera teranjak keluar dan merengsa saraf lalu menyebabkan sakit saraf. Bukan semua sakit belakang disebabkan cakera teranjak. Kebanyakan sakit belakang pinggang disebabkan anda melakukan sesuatu yang di luar keupayaan biasa anda. Perubahan postur yang tiba-tiba, kekal berada dalam satu kedudukan untuk masa yang lama, membawa beban berat dan jatuh juga menjadi penyebab sakit pinggang.

Jika mengalami sakit belakang, saya perlu dibedah

Kurang dua pertiga daripada semua pesakit sakit belakang memerlukan pembedahan. Sebenarnya, pembedahan belakang pinggang hanya dapat membetulkan keadaan anatomi yang terhasil daripada ketidakstabilan spina atau kerengsaan saraf.

Sakit belakang pinggang adalah setempat dan tidak akan tersebar

Kebanyakan sakit belakang cenderung berlaku setempat di belakang. Bagaimanapun, apabila berlaku kerengsaan saraf disebabkan cakera tergelincir atau teranjak, sakit belakang boleh tersebar sepanjang akar saraf yang akan menjalar daripada punggung ke betis dan ke tumit.

Saya perlu mengurangkan aktiviti fizikal jika mengalami sakit pinggang

Senaman kerap adalah penting bagi mengekalkan struktur semula jadi tubuh dan melazimkan otot untuk bekerja lebih kuat. Kurang aktiviti fizikal yang biasa akan menyebabkan sendi beransur-ansur kaku dan otot menjadi lemah. Regangan, pengukuhan yang kerap dan latihan aerobik boleh juga membantu mengatasi gejala dan menambah baik keadaan minda.

Sakit belakang adalah tanda penuaan

Kejadian sakit belakang paling tinggi bagi kumpulan umur 35 hingga 55 tahun, sementara kemerosotan cakera adalah proses semula jadi penuaan, yang bukan selalunya disertai dengan rasa sakit. Juga, bukan semua kesakitan adalah sebahagian daripada penuaan atau disebabkan kecederaan, kerana penyakit, jangkitan dan keadaan yang diwarisi boleh juga menyebabkan sakit pinggang. Kebanyakan kesakitan dipercayai disebabkan tingkah laku yang secara amnya kita kurang bergerak apabila semakin tua.

Sakit belakang boleh ditangani dengan ubat tahan sakit yang biasa

Analgesik atau antikeradangan biasa adalah mencukupi untuk melegakan sakit belakang pada kebanyakan masa. Hal ini adalah benar bagi sakit nosiseptif atau sakit keradangan.

Bagaimanapun, sakit saraf adalah berbeza dan memerlukan ubatan yang khusus. Sehingga 37 peratus pesakit dengan sakit pinggang yang kronik mungkin mempunyai komponen neuropati dalam kesakitan mereka.

Imbasan sinar-X atau MRI akan menunjukkan apa sebenarnya yang silap

Terdapat kaitan yang lemah antara keputusan imbasan dengan sumber kesakitan. Kebanyakan orang dewasa tanpa sakit belakang akan mengalami perubahan dalam anatomi tulang belakang yang juga adaptasi berkaitan umur yang boleh dilihat dan tidak mendatangkan apa-apa masalah (adaptasi ini adalah setara spina dengan kekedutan kulit, boleh dilihat tetapi bukan sumber kesakitan).

Menemukan suatu ciri pada imbasan tulang belakang yang bersangkutan dengan kesakitan atau ancaman kesihatan serius jarang berlaku (kurang dari 0.1 peratus).

Saya aktif, jadi tidak sepatutnya mendapat sakit belakang

Sakit belakang boleh mempengaruhi semua orang tanpa mengira tahap aktivitinya. Paling biasa ialah senaman yang tidak betul atau terlebih bersenam yang boleh mengakibatkan sakit belakang. Sesetengah orang yang pernah mengalami kecederaan belakang mungkin mengelak daripada menggerakkan belakang mereka semasa bersenam kerana khuatir akan mencederakan belakangnya semula.

Ketahui pilihan rawatan

Ada banyak cara pesakit boleh mendekati pelan pengurusan kesakitan mereka. Tidak semua kesakitan sama, maka pesakit perlu mengenal pasti dahulu jenis kesakitan yang akan ditangani supaya mereka boleh mendapatkan pelan paling berkesan.

Pelan rawatan yang selanjutnya terhadap belakang pinggang, dengan mengenal pasti kesakitan termasuklah menghuraikan kesakitan dan intensiti sakit, sejarah perubatan yang terperinci dan menentukan kedudukan sumber kesakitan kepada doktor anda.

Pengenalpastian yang betul akan menggalakkan komunikasi berkesan dengan doktor kerana kesakitan adalah pengalaman yang sangat subjektif.

Pesakit boleh membantu doktor untuk memahami kesakitan mereka dengan memberitahu doktor secara terperinci akan kesakitan dialami, misalnya rasa terbakar, sesemut, seperti tusukan jarum, seperti renjatan elektrik atau kebas. Sangat penting bagi pesakit mengenali perkara ini dan memberitahu doktor mereka, dan bukannya berubat sendiri atau tidak menjalani terapi yang bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 12:51 PM