AMPUTASI tubuh boleh menyebabkan kesakitan fantom berterusan jika tidak dirawat.
AMPUTASI tubuh boleh menyebabkan kesakitan fantom berterusan jika tidak dirawat.
Intan Mas Ayu Shahimi

Bahagian kaki dari paras lutut dan ke bawah sudah tiada, namun tanpa sengaja pesakit ini membongkok untuk menggaru betis. Kemudian dia mengadu kepada keluarga, ibu jari kakinya berasa nyeri. Ada waktunya, dia meminta anak mengurut buku lali yang dirasakan lenguh dan sakit. Itu pun selepas bertahun kaki dipotong.

Aneh bukan? Kerana perasaan yang satu ini, mereka yang pernah mengalami amputasi dilabel kurang siuman, tidak dapat menerima hakikat hidup dan paling teruk, mengalami gangguan kesihatan mental.

Kata Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma Gleneagles Kuala Lumpur Dr Abdul Jamal Mohd Thalha, semua situasi berkenaan adalah normal. Lebih tepatnya, ia disebut sebagai kesakitan fantom atau maya.

“Biarpun orang kata aneh, sakit dan nyeri pada bahagian anggota tubuh yang sudah dipotong memang berlaku. Dalam keadaan ini, pesakit rasa seolah-olah kaki mereka masih ada dan sakit walaupun anggota berkenaan sudah lama dipotong.

“Fenomena ini sebenarnya berkait rapat dengan psikologi dan tahap keterukan anggota yang akan dipotong sebelum pembedahan. Selepas amputasi, pesakit masih boleh rasa sakit yang berlanjutan di bahagian anggota dipotong.

“Rasa ini boleh datang dalam pelbagai sensasi seperti sakit bagaikan dicucuk benda tajam, menusuk, nyeri, kejang ataupun panas terbakar. Berapa lama tempoh sakit ini berlangsung tidak sama antara pesakit. Ia bergantung kepada keadaan setiap individu.

“Ada yang datang sesaat dua, minit, jam ataupun kekal bertahun lamanya. Sebab itu sesetengah orang tidak memberitahu saudara atau orang sekeliling mereka mengenai sakit ini. Mereka bimbang dianggap gila kerana sakit di bahagian kaki atau tangan yang sudah tidak ada,” katanya.

Jelas Dr Abdul Jamal, kelompok ini boleh menderita bertahun lamanya kerana tidak mendapatkan rawatan sewajarnya.

DR Abdul Jamal.
DR Abdul Jamal.

“Dalam kebanyakan kes, rawatan diabaikan kerana mereka takut dengan persepsi masyarakat. Mereka rasa sakit, tetapi orang di sekeliling tidak percaya. Lebih teruk, mereka mula mengandaikan perkara tidak masuk akal seperti kesan santau, buatan orang, sihir dan sebagainya.

“Sebenarnya, kesakitan maya berlaku disebabkan campur aduk pengiriman rasa sakit dari otak atau tulang belakang.

“Meskipun anggota tubuh itu sudah tiada, reseptor saraf di lokasi hujung amputasi terus mengirim rasa sakit ke otak, membuat otak secara automatik ‘merasai’ kesakitan berkenaan dan ia inilah yang ditafsirkan sebagai rasa sakit berpunca daripada anggota yang hilang.

“Semua maklumat ini dipercayai berpunca daripada bahagian sensorisomato korteks di otak. Bahagian ini menyimpan data peta somatotopik iaitu pusat penyimpanan segala jenis informasi mengenai bahagian tubuh yang bertanggungjawab untuk pancaindera sentuhan kita,” katanya.

Justeru, walaupun selepas amputasi, persepsi otak terhadap anggota tubuh berkenaan tidak akan hilang dengan automatik dan dimunculkan seperti biasa. Ini sekali gus menyebabkan otak menyambungkan kembali litar saraf yang tidak lagi menerima rangsangan daripada bahagian yang dipotong.

Rangsangan ini kemudiannya menimbulkan fenomena kesakitan maya yang dirasai sebagai rasa sakit nyata. Antara faktor pemicu kepada fenomena kesakitan maya ialah sentuhan, membuang air besar atau kecil, merokok, terdedah kepada udara dingin dan berhubungan kelamin.

Mengatasi kesakitan fantom

Sebagaimana pesakit lain, mereka yang pernah melalui amputasi juga memerlukan sokongan, semangat dan kepercayaan daripada orang di sekeliling mereka.

Kita tahu bahawa kesakitan maya itu memang berlaku, jadi usahlah menganggap mereka ini gila dan tidak siuman. Penting untuk masyarakat, khususnya ahli keluarga supaya memahami penderitaan pesakit yang masih merasai walaupun tahu anggota tubuh yang dimaksudkan sudah hilang.

Di hospital, mereka yang mengalami kesakitan fantom biasanya diberi ubat khusus yang bekerja mengganggu isyarat rasa sakit di otak atau tulang belakang. Antara kategorinya adalah ubat antiradang bukan steroid (NSAIDS), antidepresi, beta blocker, opiod dan antikonvulsan.

DR Abdul Jamal menunjukkan bahagian tubuh yang boleh diamputasi.
DR Abdul Jamal menunjukkan bahagian tubuh yang boleh diamputasi.

“Pemasangan anggota tubuh palsu (prostesis) juga dicadangkan sebagai cara mengubati kesakitan fantom. Ini dapat memulihkan otot bahagian tubuh yang di amputasi sekali gus mengurangkan rasa nyeri.

“Selain daripada ubat dan pemasangan prostesis, pesakit juga boleh mencuba Transcutaneous Electrical Nerve Stimulation (TENS) dan akupuntur. Bagi rawatan kotak cermin, senaman sama dilakukan di kedua belah kaki dengan bantuan cermin di mana pesakit membayangkan pergerakan serupa pada kaki yang diamputasi untuk mengurangkan kesakitan fantom.

“Jika ubat dan rawatan lain tidak berfungsi, kami akan cadangkan pesakit mengikuti terapi invasif seperti sekatan saraf dan stimulasi saraf tunjang. Kaedah rawatan terakhir adalah menerusi stimulasi otak dalam (DBS) menggunakan elektrod dengan bantuan pengimejan resonans magnetik (MRI) dan pemotongan semula saraf di kaki yang terbabit,” katanya.

Tip membantu pesakit fantom

1. Cuba alih perhatian mereka dengan aktiviti lain seperti membaca atau mendengar muzik

2. Kekalkan gaya hidup aktif seperti mengajaknya bersenam, melakukan aktiviti diminati termasuk berkebun, berjalan, berenang atau berbasikal.

3. Pastikan pengambilan ubat mengikut waktu tepat. Ini akan membantu mengawal tahap kesakitan.

4. Sekiranya bercadang mencuba rawatan tradisional, pastikan ia dimaklumkan kepada doktor yang merawat terlebih dulu.

5. Rehatkan otot dan emosi pesakit dengan aktiviti yang boleh membantu seperti mandi air suam atau mempraktikkan teknik bernafas secara berturutan.

6. Pesakit memerlukan sokongan kawan dan keluarga. Pastikan mereka terbabit dengan aktiviti kemasyarakatan seperti di masjid atau persatuan. Ini juga membantu proses penyembuhan secara keseluruhan.

7. Sentiasa peka dan menjaga bekas amputasi. Pastikan pesakit mengikut arahan tepat dalam memasang dan menanggalkan prostesis supaya bekas luka terpelihara dan tidak mengalami sebarang jangkitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 8:05 AM