Cabaran keibubapaan hari ini adalah perkembangan dunia digital tanpa sempadan. Ketagihan anak terhadap gajet banyak menjejaskan kehidupan mereka.
Jika dulu, ibu bapa tidak mengambil peduli soal buruk dan baik menyediakan gajet untuk anak. Kini banyak suara bimbang mula kedengaran. Anak kurang tumpuan di sekolah, tidak pandai bergaul, ketagihan gajet dan paling teruk adalah masalah rabun.
Ternyata pengaruh gajet tidak lagi relevan diukur dengan perilaku dan kesan buruk pada masa depan. Atas kesedaran itu, ramai ibu bapa kini mula menukar tumpuan anak terhadap permainan yang membina dan minat membaca buku.
Menurut penulis buku keibubapaan, Adlil Rajiah Mohd Nasir, buku dan gajet, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri dalam mendidik anak. Namun baginya, buku lebih praktikal kerana tidak mudah mengganggu tumpuan kanak-kanak.
“Sekalipun gajet memiliki banyak pilihan aplikasi pendidikan, ia mempunyai banyak ‘pakej’ gangguan yang boleh merosakkan tumpuan anak.
“Andai diteliti, program hiburan, media sosial media, permainan dan pendidikan, semuanya ada dalam satu alat. Malah, kita sebagai orang dewasa juga lebih banyak gunakan gajet untuk hiburan berbanding pendidikan, bukan?
“Umpamanya, selepas menghadap artikel ilmiah, kita cenderung beralih kepada artikel hiburan atau media sosial. Ini membuatkan input yang benar-benar berguna itu kurang berkualiti dan tidak lekat dalam kepala. Puncanya, semua benda ada dalam satu gajet yang sama.
“Jadi, sedar atau tidak, fokus terhadap tujuan pendidikan itu menjadi kurang. Perkara ini sama dengan anak. Kalau boleh, asingkan bahan pendidikan dan hiburan. Hadkan penggunaan gajet hanya satu jam sehari dan pada masa lain, gunakan buku,” katanya.
BERMAIN DENGAN BUKU
Jelas Rajiah, dia biasa menggunakan tiga kaedah untuk membiasakan anak dengan buku iaitu bermain, membaca dan menonjolkan teladan yang baik. Malah ketika anaknya masih kecil dan belum tahu membaca, dia lebih suka menyepahkan buku berbanding mainan.
“Saya biarkan anak bermain dengan semua buku. Membina menara menggunakan buku, membuat terowong buku, rumah buku dan macam-macam lagi.
“Dari situ, anak mula meneroka apa yang ada pada buku. Dia mula mengambil satu buku dan menyelak setiap helaian, membelek gambar dan akhirnya cuba membaca serta memahami isi buku.
“Sebelum mereka tahu membaca, ibu bapa perlu bijak memainkan peranan dengan membacakan buku kepada anak. Mulakan dengan buku yang ringkas, santai dan 80 peratus mengandungi gambar. Elakkan buku yang terlalu banyak perkataan,” katanya.
Kata Rajiah, tidak susah untuk ibu bapa mula membacakan anak buku setiap malam. Mereka hanya perlu meluangkan antara lima ke 10 minit untuk bersama dan meraih tumpuan anak.
Sekiranya amalan ini dapat dilakukan secara berterusan, lama-kelamaan ia boleh berubah menjadi tabiat. Anak sendiri akan mencapai buku sebelum tidur dan bukannya gajet ataupun alat kawalan jauh televisyen.
“Perkara paling penting dalam mendidik anak adalah menonjolkan kepemimpinan melalui teladan. Ibu bapa sebagai contoh terbaik untuk mereka.
“Bagaimana kita boleh menjangkakan anak suka kepada buku dan gemar membaca, jika diri sendiri tidak menunjukkan contoh serupa kepada mereka?
“Suka atau tidak, ibu bapa perlu menjadikan tabiat membaca sebagai sebahagian daripada gaya hidup dan kurangkan penggunaan gajet di rumah. Anak mungkin tidak mendengar nasihat kita, tetapi mereka sentiasa melihat cara hidup ibu bapa. Oleh itu, tunjukkan contoh yang baik sebagaimana kita mahu mereka menjadi yang terbaik pada masa depan,” katanya.
SENTIASA POSITIF
Satu hal yang kerap menimbulkan persoalan kepada ramai ibu bapa adalah mengenai genre pilihan terbaik dalam memperkenalkan buku kepada anak.
Kata Rajiah, ia terpulang kepada minat dan imaginasi anak. Ada yang sukakan bahan jenaka, tidak kurang juga bacaan menyentuh emosi dan jenis yang terus kepada topik penceritaan.
“Ada anak sukakan buku yang menonjolkan fakta sejarah, bahan bukan fiksyen, carta, bergambar, berkaitan sains dan sebagainya.
“Tidak kira apa pun pilihan, semuanya boleh memberi pengajaran dan mematangkan anak. Seperti anak saya, Ashraf Haikal, dia sukakan seni dan visual. Buku pilihannya menerangkan mekanisme atau kejadian sesuatu perkara seperti pembentukan hujan, siang bertukar malam, pergerakan bulan dan planet, reka cipta kereta dan sebagainya.
“Perlu diakui bahawa pada zaman ini, gajet memang sukar digantikan, dihentikan atau disembunyikan penggunaannya. Tidak kira siapa dan di mana, semua menggunakan gajet dalam urusan harian. Ini termasuk anak.
“Kalau kita hendak menggantikan gajet dengan buku 100 peratus, itu memang mustahil. Kita hanya mampu mengawal penggunaan gajet dan seimbangkan dengan minat terhadap buku,” katanya.
Katanya, buku bukan sekadar untuk dibaca. Ia boleh mengajak kanak-kanak melukis, membuat origami, melakukan aktiviti gunting-tampal, menulis pencapaian harian, menulis matlamat dan sebagainya.
Ibu bapa seharusnya lebih kreatif untuk luaskan penggunaan buku, supaya boleh memberi keseronokan kepada anak.
“Membiasakan anak dengan buku bukan juga bermakna kita mengamalkan keibubapaan yang ketinggalan zaman dalam era digital kini. Jika dilihat, anak sekarang memang dikelilingi dunia digital.
“Di sekolah mereka sudah menggunakan gajet dalam beberapa perkara. Ada juga sekolah yang menghantar kerja rumah dan kertas latihan melalui e-mel, media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
“Semua ini memang memudahkan dan menjimatkan. Tetapi kita juga perlu bijak untuk seimbangkan dan kawal pendedahan tersebut supaya tidak mendatangkan rasa leka kepada anak,” katanya.